Sunday, December 11, 2011

Terapi Air


PENGENALAN

Pemilihan program terapi air bagi murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) adalah bagi memberi peluang kepada murid-murid bermasalah pembelajaran menjalani aktiviti dan program yang sama seperti murid-murid normal yang lain.

Program yang dirancang biasanya merupakan program awalan atau permulaan renang. Murid diajar berenang dan bermain air di dalam kolam yang cetek. Kawasan yang paling dalam di kolam tersebut berukuran kurang dari 1 meter.

OBJEKTIF

Aktiviti berenang dapat memberi keseronokan dan menggembirakan murid-murid bermasalah pembelajaran ketika berada di dalam kolam atau air di samping dapat membentuk sikap kerjasama dengan rakan-rakan mereka.

Ia juga membolehkan murid-murid bermasalah pembelajaran memperolehi kemahiran renang sama seperti murid-murid normal. Selain itu, renang juga merupakan salah satu latihan terapi (Hidroterapi/Terapi Air) bagi murid-murid PPKI ini.

DEFINISI DAN KONSEP

Terapi Air didapati sesuai untuk perkembangan fizikal dan pergerakan motor kasar dan motor halus serta mental murid-murid berkeperluan khas di mana segala otot-otot dan otak mereka dapat dirangsang, pergerakan dalam air lebih mudah dan bebas, serta tidak dibebani seperti keperluan alat sokongan yang menghadkan pergerakan.

Imbangan dalam air bukanlah masalah utama. Oleh itu lebih banyak pergerakan dapat dilakukan dan daya penumpuan individu dapat dipertingkatkan dan masalah tingkahlaku didapati tidak seperti lazimnya. Ini disebabkan oleh ransangan air secara semulajadi.

Walau bagaimanapun, murid-murid PPKI mungkin mengalami sedikit rasa takut dengan air. Di sinilah guru memainkan peranan membantu dalam membina keyakinan diri.

Hasilnya murid-murid akan dapat membina konsep diri yang positif melalui aktiviti terapi air ini. Melalui terapi air juga, ianya dapat memantapkan perkembangan fizikal melalui pelbagai aktiviti seperti regangan, melembutkan sendi-sendi, meningkatkan daya ketahanan otot-otot dan jantung. Banyak aktiviti dan pergerakan yang tidak dapat dilakukan di darat dapat dipraktikkan di dalam air.

Dalam hubungan ini, terapi air dapat meneroka pergerakan-pergerakan yang boleh dilakukan oleh murid-murid PPKI ini. Bagi sesetengah murid, mereka didapati lebih berkeyakinan di air berbanding di darat.

Kejayaan sesuatu program pengajaran bergantung pada prosedur pengajaran yang jelas, sokongan dan garis panduan yang diberi. Walau bagaimanapun garis panduan adalah sama untuk semua, hanya penyesuaian dan modifikasi diperlukan terhadap individu berkeperluan yang unik ini.


KEPENTINGAN TERAPI AIR

Terapi Air merupakan suatu bidang yang agak luas bertujuan untuk mengembalikan, memelihara dan memulih keadaan emosi, fizikal, psikologi dan spiritual kepada keadaan yang lebih baik atau normal.

Antara kepentingan Terapi Air ini ialah:

i. Menghilangkan tekanan
ii. Keupayaan berkomunikasi
iii. Simulasi sistem otak
iv. Bina keyakinan diri
v. Kreativiti
vi. Kawalan diri
vii. Latihan ‘Social skill’
viii. Merangsang pertuturan
ix. Melatih sikap bekerjasama
x. Meningkatkan kesabaran
xi. Pengamatan
xii. Latihan koordinasi badan dan anggota badan yang lain
xiii. Latihan daya kepimpinan
xiv. Manipulasi tangan dan jari-jemari
xv. Daya konsentrasi
xvi. Pembentukan ‘body image’
xvii. Peningkatan ‘self-esteem’

PANDUAN KESELAMATAN

Sebelum menjayakan aktiviti renang untuk murid-murid PPKI ini, faktor yang paling penting dan perlu diambil kira adalah faktor keselamatan. Kita melihat faktor keselamatan ini dalam sudut ketidakupayaan fizikal dan tahap ketidakupayaan intelektual murid-murid tersebut.

i. Ketidakupayaan Fizikal

Guru hendaklah berada di dalam air dan bersedia untuk menerima murid ke dalam kolam. Semasa berada di dalam air hendaklah dalam kedudukan berdiri dengan kaki terbuka dan kepala berada di atas paras air.

Gunakan bahagian atas badan untuk mengawal imbangan dan sentiasa apungkan badan. Elakkan daripada menunjukkan perasaan bimbang kepada murid sewaktu berada di dalam air kerana ini boleh menyebabkan mereka menjadi bimbang dan takut.

Guru perlu sentiasa bercakap dan memberi galakkan kepada murid semasa mereka hendak masuk ke dalam air. ‘Eye Contact’ boleh membantu membina keyakinan murid. Latihan hendaklah dimulakan dengan memasuki kawasan sudut kolam yang cetek.

ii. Ketidakupayaan Intelektual

Ketidakupayaan intelek juga dialami oleh murid PPKI di mana tahap tumpuan yang singkat menyebabkan maklumat yang diberi tidak dapat disimpan dengan sempurna. Oleh itu, penjelasan guru perlulah ringkas dan tepat.

Ada murid-murid PPKI yang kurang persepsi kemahiran motor dan persepsi mengenai jarak atau kedalaman kolam renang. Maka persepsi yang tepat dan betul perlu disampaikan kepada mereka. Guru juga harus ingat bahawa murid-murid PPKI tidak mempunyai pencapaian kemahiran yang sama, namun pada satu keadaan atau ketika mereka mungkin boleh menguasainya.

AKTIVITI TERAPI AIR

i. Pendahuluan

• Memanaskan badan dan meregangkan otot.

ii. Isi Pelajaran

• Bermain-main di tepi air.
• Murid masuk ke dalam kolam dengan bantuan guru dengan cara yang betul
• Guru membantu murid mengadakan aktiviti-aktiviti ampungan.
• Melakukan aktiviti berjalan di dalam kolam dengan bantuan guru.
• Aktiviti renang dengan bantuan guru.
• Aktiviti renang bebas menggunakan bola dengan pemerhatian guru.
• Murid keluar daripada kolam dengan menggunakan kaedah tertentu.

iii. Penutup

• Aktiviti kelonggaran dan regangan tangan dan kaki.
• Mengemaskan dan membersihkan diri.

Catatan:
Terapi Air di lihat sesuai untuk perkembangan fizikal kerana kombinasi pergerakan motor kasar dan halus serta mental murid dapat dirangsang secara serentak. Pergerakan dalam air didapati lebih mudah dan bebas serta tidak dibebani oleh keperluan alatan sokongan selain daya apungan air sahaja.

Rangsangan air yang secara semulajadi dapat membantu murid tenang walaupun pada permulaannya sesetengah murid akan berasa takut untuk masuk ke dalam air. Perkara ini dapat diatasi dengan membawa murid ke kawasan cetek sebelum berpindah ke kawasan yang lebih dalam.

Secara tidak langsung guru-guru telah melatih membina keyakinan diri murid-murid "water confidence". Melalui terapi seumpama ini, ianya dapat memantapkan perkembangan fizikal dengan aktiviti-aktivi seperti regangan seterusnya melembutkan sendi dan meningkatkan daya ketahanan jantung dan otot-otot rangka.

Sepanjang pengalaman saya mengendalikan murid-murid pendidikan khas untuk menjalani terapi air ini, kebanyakkan murid ADHD dilihat tidak lagi berkelakuan aktif ketika berada di dalam air. Mereka kelihatan leka dan asyik bermain dengan objek-objek yang terapung di dalam air.

No comments:

Post a Comment