IBU memberi Zhariff ruang dan kebebasan untuk meneroka setiap cabaran.
'GIVING a hand... with a foot' (beri tangan... dengan kaki). Besar pengertian.
Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my
2011/12/17
"kata-kata ini dalam hidup Muhammad Zhariff Afandi, 29. Kekurangan diri bagi anak muda ini suatu kekuatan untuk menggapai kejayaan. Mari selami semangat dan jiwa besar anak muda ini..."
TERBIT rasa kagum pertama kali bertentang mata dengan susuk personaliti ini. Biarpun lahir dengan ciri-ciri fizikal yang terbatas, semangat anak muda ini tampak terserlah hingga timbul keinsafan dalam hati.
“Individu ternama yang berjaya seperti Bill Gates, Steve Jobs dan ramai lagi pernah melalui banyak kegagalan sebelum melakar kejayaan. Jadi, untuk apa kita perlu berasa gagal dalam setiap usaha yang ingin dilakukan.
“Usah sesekali mengehadkan apa yang sudah kita lakukan, sebaliknya kita harus mencuba di luar sempadan yang ada untuk maju ke depan,” kata Muhammad Zhariff pada pertemuan itu. Jejaka ini memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang perkembangan psikologi dari Universiti Graffith, Australia serta sarjana muda sastera dalam jurusan sosiologi di Kolej Damansara Utama (KDU), Kuala Lumpur.
Pada usia yang menginjak 30 tahun, Muhammad Zhariff sudah lebih 10 tahun terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan hingga menubuhkan The Zhariff Initiative (TZI) iaitu suatu platform yang berkongsi inspirasi, pengetahuan, pengalaman dan kemahiran kepada komuniti lain.
“Zhariff Initiative bertujuan memupuk dan membangunkan nilai-nilai sosial yang bertanggungjawab untuk agensi korporat, kerajaan, institusi akademik dan pertubuhan lain,” kata penerima Anugerah Belia Perdana 2011 ini.
Ikuti inspirasi hidup Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Operasi (CEO) TZI Sdn Bhd ini dan selami jiwa kentalnya...
Apa yang mendorong anda menubuhkan syarikat yang memfokuskan inisiatif kepada komuniti?
Saya berazam untuk memiliki sebuah syarikat apabila berusia 30 tahun. Alhamdulillah, akhirnya, sebelum mencecah usia 30 tahun, saya berjaya menubuhkan syarikat yang memfokuskan usaha bagi membantu komuniti.
Sebelum nekad menubuhkan syarikat sendiri, saya menimba ilmu dan bekerja sebagai Ketua Bahagian Pembangunan di sebuah NGO yang membantu pesakit kanser payu dara selama setahun.
Saya juga ditawarkan bekerja di Kelab Rekreasi Dan Berkuda Denai Alam Selangor (DARC) untuk membangunkan model perniagaan baru yang mampu menggalakkan komuniti setempat menuggang kuda.
Boleh ceritakan lebih lanjut pengalaman ketika bekerja?
Sebenarnya, suatu ketika dulu, saya pernah menganggap mudah untuk mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian di Australia. Namun, sangkaan saya itu jauh meleset kerana daripada temu duga yang saya hadiri, baik di agensi kerajaan mahupun swasta, mereka tidak yakin dengan kemampuan.
Mereka tidak yakin walaupun melihat saya memiliki pengalaman dan rekod baik ketika menguruskan program NGO. Malah, ada juga syarikat yang kurang yakin kredibiliti saya untuk memohon jawatan pengurus acara disebabkan faktor fizikal diri ini. Inilah antara penguat semangat untuk saya buktikan kemampuan sebenar saya.
Bagaimana akhirnya TZI ditubuhkan?
Terus terang, saya memang bercita-cita untuk memiliki syarikat sendiri dan membantu komuniti. Selama lebih setahun berkhidmat di DARC dan melihat kejayaan model perniagaan ini sekalipun tidak berteraskan keuntungan, saya terdorong menubuhkan TZI.
Sudah sampai masanya untuk saya meneruskan cabaran lain berdasarkan keyakinan dan pengalaman, seterusnya membuat keputusan sendiri.
Apa agaknya cabaran dalam menubuhkan TZI?
Bukan mudah untuk meyakinkan pemberi modal kerana saya perlu mengambil masa lebih kurang tiga bulan menjalankan kajian dan menunjukkan model perniagaan. Selepas semuanya diatasi, saya akhirnya membangunkan syarikat yang pada asalnya ada tiga pekerja saja.
Saya bersyukur kerana bapa banyak membantu dan memperkenalkan dengan kenalannya. Saya akui agak tertekan pada mulanya kerana perlu menguruskan kakitangan, merangka strategi pemasaran dan mengendalikan acara. Namun, semua ini pengalaman berharga yang membolehkan kita berfikir di luar kotak minda.
Siapa sumber inspirasi anda?
Tentunya keluarga terutama ibu bapa saya yang sudah melakukan tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik sejak saya kecil lagi. Saya dapat rasakan betapa cinta dan kasih sayang mereka hingga memberi saya setiap ruang dan kebebasan untuk meneroka setiap cabaran.
Ibu bapa tidak pernah menghalang untuk saya melakukan sesuatu walaupun menyedari kekurangan yang ada. Selain itu, kehadiran kedua orang datuk saya memberikan makna cukup besar dalam hidup.
Selain itu, kesungguhan seorang kenalan iaitu Ellynita Hazlina Lamin yang saya ketemu pada misi amal di Acheh, Indonesia, cukup membanggakan saya. Ellynita Hazlina yang menghidap barah dan saya memiliki kesungguhan dan minat sama.
Apa agaknya detik yang membanggakan anda sejak terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan?
Saua rasa bangga apabila dapat membantu masyarakat. Apatah lagi dapat berinteraksi dengan orang ramai, bertemu insan istimewa, melakukan sesuatu yang membanggakan dan berkongsi cerita dan minat yang sama.
Saya anggar hingga hari ini, saya sudah berjumpa lebih 10,000 orang dan berkongsi pengalaman. Malah, saya baru saja diundang berucap di Ted Talk di Universiti Tun Abdul Razak. Saya akan berbicara soal inovasi sosial yang boleh mengubah batasan untuk maju ke depan.
Forum yang memberi kesempatan kita untuk berucap selama 15 hingga 18 minit ini menjadi platform terbaik bertukar pendapat dan boleh disaksikan di seluruh dunia.
Pernahkah anda mengalami kekecewaan dalam hidup?
Berasa kecewa dan patah semangat bagi saya sesuatu yang normal dalam kehidupan. Tidak semua orang senang atau tidak ada kerja yang mudah. Setiap kali perasaan itu datang, saya memikirkan semula perkara yang benar-benar saya cintai.
Buat apa lakukan perkara yang kita tidak minat. Walaupun mungkin gagal, tetapi itulah cabaran yang memerlukan kita mencari jalan lain sama ada berfikir di dalam kotak atau di luar kotak.
Pernahkan anda melihat individu yang berubah atas inisiatif anda?
Setiap kali diundang memberikan ucapan, saya datang semata-mata mahu memberikan motivasi. Saya bukan cikgu, bukan juga seorang profesor tetapi melalui pengalaman, minat dan idea untuk berkongsi, itulah yang menjadi perangsang untuk orang lain.
Saya melihat perubahan seperti seorang mak cik datang memperkenalkan anaknya dan meminta saya memberi nasihat. Bagi saya, itu semua menambah motivasi saya untuk terus membantu komuniti.
Apa agaknya azam dan sasaran anda?
Buat apa yang terbaik untuk mengubah dunia. Lakukan cara sederhana dan jadikan komuniti lebih menarik dengan daya usaha dan minat. Suka menyahut cabaran dan tidak takut mencuba. Pada masa yang sama, cinta diri sendiri dan orang sekeliling kita.
Menyentuh mengenai kerja pula, saya ada misi besar tahun depan. Pastinya, saya mahu merangka strategi mengembangkan syarikat termasuk syarikat yang baru saya miliki iaitu The Movemint yang mentadbir soal muzik, acara, kesenian dan pengurusan artis.
Teman serata dunia
BERKONGSI cerita menarik, seorang kenalan Facebook dari Amerika Syarika (AS) sering bertanya Muhammad Zhariff mengenai keadaan fizikal dirinya.
Beliau berkata, pemuda terbabit yang mendakwa bekerja di pusat fisioterapi, sering bertanya dirinya mengenai kemampuan emosi serta keupayaan fizikal individu yang hilang anggota tubuh.
“Saya sering dijadikan tempat rujukan oleh jejaka AS ini dalam mendapatkan maklumat serta menjadikan pengalaman saya berdepan situasi ini (tidak memiliki anggota badan) kepada pesakitnya. Melalui maklumat yang diberi, ada pesakitanya hilang kaki dan tangan kerana terbabit dalam peperangan.
“Maklumat ini perlu bagi memastikan pesakit memperoleh motivasi baru untuk mengharungi kehidupan seperti biasa. Ini termasuk dalam melakukan kerja seperti menaip, dan menggunakan anggota lain sebagai sokongan,” katanya yang sering berinteraksi dengan rakan-rakan Facebook dari serata dunia.
Muhammad Zhariff juga berkongsi maklumat melalui klip video di laman Youtube bagi berkongsi tip kepada golongan kurang upaya untuk mengharungi kehidupan seperti biasa.
“Melalui teknologi yang tiada sempadan ini, saya dapat menjalin hubungan perniagaan merentasi Eropah, AS dan Australia,” katanya.
No comments:
Post a Comment