Showing posts with label Anakku Autisma. Show all posts
Showing posts with label Anakku Autisma. Show all posts

Tuesday, December 26, 2023

Memori zaman kanak-kanak Faqihah


 


- Info drp Page Blog yg telah gagal berfungsi -


Assalamualaiku dan Slm Sejahtera.

Dikesempatan ini, aku coretkan serba ringkas ttg pengalamanku dlm mendidik Faqihah. Semoga, pengalaman ini akan dpt dikongsi bersama terutama yang baru mengetahui anak masing2 adalah autisma. Banyak dugaan dan cabaran yg bakal ditempuhi. Berilah komitmen yg tinggi dlm mendidik anak2 autisma masing2.

Faqihah, anakku yang mengalami autisma dan hiperaktif sejak lahir. Gambar di atas Wajah Faqihah semasa berumur 4 tahun. Kini (2011) beliau sudah berumur 10 tahun. Bersekolah di SK Seri Mutiara Ipoh. Pada tahun pertama di SK Seri Mutiara, Faqihah berada dalam kelas pertama (PK Dinamik) ditempatkan bersama pelajar-pelajar berumur sehingga 14 tahun disebabkan keupayaannya dalam akademik. Banyak perubahan yang telah berlaku sehingga kini berbanding 10 tahun yang lepas. Faqihah berjaya menerima anugerah setiap tahun sempena Hari Anugerah Gemilang peringkat sekolah.

Dalam memberi pendidikan terbaik untuk Faqihah, cabaran bermula apabila pihak tadika yg sepatutnya Faqihah melapor diri selepas tamat tempoh taska, tidak mahu menerima kehadiran Faqihah kerana tingkahlakunya yg hiperaktif disamping ciri2 autismanya. Mereka mencdgkan kami mencari tadika lain. Banyak tadika yg kami tanya, setelah menceritakan keadaan Faqihah, mereka enggan menerima. Malah ada yg memberi tempoh pemerhatian sementara diterima. Ada juga tadika yg menerima, sanggup terima Faqihah tp sehari shj kami tempatkan Faqihah, lebam2 Faqihah dibuat mereka. Alasan menggangu kanak2 lain tidur tengahari. Bayaran telah dibuat RM220.00, tapi mereka tidak mahu pulangkan wang semula kami walaupun sehari sj kami letakkan Faqihah di situ. Akhirnya, kami membuat keputusan untuk melakukan suatu pengorbanan. Isteriku mengambil cuti tanpa gaji selam 6 bulan untuk uruskan Faqihah.

Dalam tempoh isteriku bercuti, kami hantar Faqihah ke Sekolah Semangat Maju, Tasek Ipoh tp tak lama krn memikirkan aktiviti yg diajar di sana tidak sesuai untuk Faqihah. Sekolah tsbt fokus kepada kemahiran. Selepas itu, kami hantar ke Nasom, juga tak mampu bertahan lama kerana tiada perubahan berlaku kepada Faqihah sebaliknya, Faqihah takut nak datang ke Nasom. Akhirnya, kami diperkenalkan Brighter Future yg dikendalikan oleh Pn Ruby Lee. Alhamdulillah, banyak perubahan yang berlaku. kami terus tempatkan Faqihah di situ sehingga kini, walaupun Brighter Future telah berpindah sebanyak 3 kali. Mula2 dekat, kini dah jauh. Demi Faqihah, kami terus kekalka Faqihah di situ.

Dari segi kewangan, banyak wang telah dibelanjakan. Kadang2, mencecah ribuan juga untuk rawatan Attitude Therapy, Terapi Pertuturan, Nasom dan Brighter Future. Mujurkan Terapi cara kerja percuma sbb anjuran Yayasan Sultan Idris.Kesusahan, kepayahan amat dirasai dalam mendidik faqihah termasuk aspek kewangan untuk pendidikan dan rawatan Faqihah.

Faqihah mendapat rawatan utama di Pusat Rawatan Alternatif ATTITUDE THERAPHY sejak berumur 4 tahun sehingga kini. Alhamdulillah, setelah menjalani rawatan yg berterusan, Faqihah telah hampir pulih sepenuhnya walaupun masih terdapat ciri2 autisma. Sebelum itu, rawatan tradisional (bomoh) juga telah dilakukan untuk menjaga hati ibubapa/mertua tapi tiada sebarang perubahan.

Kami amat bersyukur, Allah beri kekuatan kepada kami sekeluarga menunaikan amanah menjaga Faqihah yang dikategorikan sebagai anak istimewa. Sehingga isteriku terpaksa bercuti tanpa gaji selama 6 bulan untuk mempastikan Faqihah mendapatkan pendidikan dan rawatan sewajarnya. Banyak perbelanjaan telah dikeluarkan untuk tujuan rawatan Faqihah. Aku berkursus selama satu tahun di IPPM, Melaka dalam pendidikan khas bagi meningkatkan pengetahuan mengenai pendidikan khas. Bayangkan suatu pengorbanan isteriku membenarkan aku menimba ilmu pendidikan khas di mana beliau terpaksa menguruskan keluarga seorang diri selama setahun. Aku setiap mggu berulang-alik Ipoh-Melaka bagi memberi sokongan kepada keluargaku setelah seminggu tiada bersama mereka. Manakala, Aku dipaksa menukar kerjayaku drp guru biasa kepada guru pendidikan khas.

Demi Faqihah kami kena berkorban untuk masa depannya. Jika kami telah tiada...bagaimana kehidupan Faqihah. Maka kami perlu membuat pengorbanan. Terima kasih kepada ahli keluarga dan jiran-jiran yang terus memberi sokongan dan dorongan.

Berkat usaha yang berterusan, suatu yang amat mengembirakan kami, dipanjatkan kesyukuran kepada Ilahi, mulai tahun 2012. Faqihah akan ditempatkan bersama2 dgn murid normal untuk mengikuti pelajaran seperti kanak2 normal yang lain.

Kunci Utama dlm usaha kami mendidik Faqihah ialah:
1. KERJASAMA AHLI KELUARGA
2. KETEGASAN IBUBAPA
3. KASIH-SAYANG
4. SOKONGAN MASYARAKAT (Pusat Jagaan, Pusat OT/Terapi, Brighter Future, SK Seri Mutiara.

Alhamdulillah...Segala Puji bagiMU Allah


Di antara senarai barangan yang telah dimusnahkan Faqihah

1. TV - Pecah berderai.
2. Kabinet TV - Cermin pecah
3. Wall paper - Ditarik, musnah semuanya
4. Kereta - Tempat duduk digigit
5. Peti ais - Tak berfungsi sbb dibuka kerapkali
6. Peti ais - Tempat letak brg2 musnah
7. Katil besi - Bengkok
8. Katil kayu - Patah
9. Komputer - Tidak berfungsi
10. Misen basuh - Musnah
11. Basikal - Rosak
12. Tangga rumah - Pemegang
13. Buaian bayi - Patah
14. Kipas - Rosak
15. Sofa - Rosak
16. Kerusi makan - patah
17. Pagar rumah - Hampir patah
18. Handphone - Musnah (masuk akuarium)

Penceritaan pengalaman dalam blog terhenti pada tahun 2012. Umur Faqihah ketika itu 11 tahun. Boleh dapatkan pengalaman mendidik anak autisme dalam post-post yang Pak Yoep hantar secara berkala.

Monday, December 25, 2023

Faqihah VS Lana

Mohon kebenaran Pn Syahirah Omar untuk berkongsi kisah yang sama.

1. Seawal jam 5.30 pagi dia ketuk pintu bilik untuk kejutkan saya. Setiap kali azan dia yang paling awal wudhu dan solat awal waktu.

Faqihah akan tidak tidur sepanjang malam. Kebiasaanya Faqihah akan kejutkan umminya untuk solat tahajud. Solat subuh dan baca Al-Quran diawal pagi. Bila dia tidur selepas jam 6.30-7.30 pagi. 2. Setiap kali nak solat dan baca al-Quran dia akan minta izin terlebih dahulu. Pada awalnya saya tak faham kenapa, rupanya dia tak mahu saya panggil dia waktu dia tengah solat atau mengaji. Terganggu nanti. Faqihah solat dan baca Al-Quran tanpa beritahu sesiapa.

Habis adik adik dia pun dia pastikan untuk terus wudhu dan solat. Dahtu mama takkan nak duduk saja lagi kan. Rasa berdosa sungguh kalau buat keras tak bangun. Faqihah tak kisah dengan adik-adiknya.

Sebab dia hidup berutin. Cukup masa dia memang terus buat. Tepat jam 7.30 malam dia akan ketuk pintu bilik untuk saya tasmik bacaan dia. Habis takkan saya tak menghafal dah kalau dia begitu kan. Faqihah tak buat macam tu. Dia baca sendiri-sendiri. Kadang-kadang baca Al-Quran bersama umminya.

Dia yang banyak ' jaga ' dan betulkan mama sebenarnya.
3. Bila keluar rumah dia akan pastikan semua suis, api di dapur dah tutup. Membebel jugalah kalau kami keluar toilet lupa tutup lampu. Yang selalu lupa tu 3 orang dalam rumah ni. Dia je ingat.

Faqihah jarang lakukan perkara ini. Selalunya abah yang buat. Bila abah yang buat, Faqihah tak ambil kisah.

Jadi memang kami redha sungguh kalau dia membebel.
4. Bila guna telefon bimbit, dia hanya akan guna untuk tempoh 1 jam maximum. Kemudian terus letak dalam bilik saya. Habis dia tutup TV kalau jam 7 malam adik belum berhenti.

Faqihah bebas menggunakan tap. Kadang-kadang menggunakan hanpdhone umminya. Tak pasti apa yang ditengoknya. Mungkin wasap kot.

5. Setiap pagi dia akan kemas bilik tidur dia, uruskan diri. Kemudian dia akan kemas rumah, sodok tahi kucing, buang sampah. Malam pun begitu, dia yang pastikan tak ada sampah dalam rumah.

Semua Faqihah buat sendiri. Kami tak bela kucing walaupun ada permintaan untuk Faqihah membela kucing. Abah yang tak suka bela kucing. Bela boleh bela tapi nak urus tahinya nanti ada masalah.

6. Bila nampak sampah dia terus kutip atau vacuum. Bila ada kain dalam bakul dia terus masukkan dalam mesin dan basuh. Kalau saya tak sempat sidai dia yang buatkan. Bila ada kain perlu dilipat dia akan asingkan ikut kategori. Dia lipat baju dia saja. Memang semua orang kena lipat baju sendiri.

Hal sampah Faqihah uruskan. Hal kain Faqihah uruskan termasuk sidal kain. Orang lain tak boleh tolong. Lipat kain hanya kainnya sahaja. Kain lain dimasukkan dalam bakul.

7. Dia dah tahu adjust rutin harian dia kalau ada kelas online. Jam berapa perlu mandi, jam berapa perlu makan supaya dia tak kelam kabut nanti. Tak tamat persekolahan. 8. Nak kirim barang kat kedai pun dia dah boleh belikan dah. Kalau kirim asam jawa pes adabi tapi habis, dia belikan je jenis ada biji. Asalkan beli. Kirim telur kedai A habis, dia cari kedai B. Walaupun saya cuma pesan beli telur di kedai A. Tak terlibat tapi boleh beli barang sekiranya pergi kedai bersama keluarga.

9. Bila mama struggle ajar adik buat kerja sekolah, dia terus volunteer nak ajarkan. Time tu barulah adik dia menggelabah sebab kakak garang kan. Alhamdulillah 30 minit mama ajar nak fahamkan Mayraa, sekejap sangat kakak ajar adik dah faham. Faqihah tak kisah hal belajar adik-adiknya.
Tapi tu la bila tanya minat tak nak jadi cikgu, tak nak katanya. Seorang student pun dia dah pening kalau ramai-ramai boleh migraine katanya.
Hmmm okeh. Masih berminat nak kerja di Taska.

Pesan Pn Syahirah Omar
"MasyaAllah anak, dah lebih apa yang mama nak sebenarnya pencapaian kamu ni. Bukan kerana usaha dan doa mama pun🥺 Allah Maha baik, mama minta sikit Allah beri lebih lagi dari apa yang mama bayangkan.
When Allah tests you, it is NEVER to destroy you. Semoga membesar dengan baik dan sentiasa dalam jagaan Allah."

Terima Kasih Teacher Ruby.

Kami terhutang budi yang sangat terhingga kepada Teacher Ruby yang telah mendidik Faqihah sebaik mungkin semasa bermula usianya 4 tahun.







 

Ragam REMAJA Autisme - Kasut










Setelah hampir 3 tahun, kembali menulis pasal ragam Faqihah dalam laman blog ini. Ragam-ragam Faqihah kekal dan banyak ditulis di laman FB.


25/12/2023 Faqihah dibawa jalan-jalan ke Ipoh Parade bersama adik-adiknya. Umminya pakai kasut Faqihah (Gambar di atas) tanpa pengetahuan Faqihah. Apa yang berlaku, dia sedar Umminya pakai kasut tersebut di Ipoh Parade.

Kebiasaannya dia tidak benarkan sesiapa menggunakan barang-barangnya. Barang-barang dia hanya dia sahaja yang boleh guna. Tiada istilah kongsi-kongsi.

Waktu balik, apabila sampai di rumah tanpa sempat umminya keluar kereta terus dia ambil kasutnya di kaki umminya. 

Kasut yang umminya pakai digantikan dengan kasut yang lain sambil membebel tidak benarkan kasutnya dipakai oleh orang lain.

Banyak cubaan untuk latih Faqihah berkongsi barang-barang tapi masih gagal.


Tuesday, January 28, 2020

Ibubapa WAJIB Berkorban

Semasa Faqihah masih kecil, umminya bercuti tanpa gaji.selama 6 bulan. 

Dalam perancangan umminya nak berhenti kerja. 

Ditakdirkan kami temui pusat jagaan yang boleh memberi didikan terbaik untuk Faqihah walaupun kosnya tinggi dan lokasinya amat jauh. 

Pusat jagaan tersebut telah berpindah sebanyak 3 kali tapi kami masih setia kerana perkhidmatan yang diberikannya adalah terbaik. 

Impaknya sampai kini. 

Terima kasih Teacher Ruby dan Staf Brighter Future. 

Happy New Year. Selamat Tahun Baru Cina. Faqihah mampu berdikari walaupun gagal berada di arus perdana. 

Terkilan juga rasanya sebab Faqihah tiada masalah dalam 3M tapi terpinggir. 

Kami sebagai ibubapa tidak boleh bertepuk sebelah tangan. 

Peringatan buat pihak sekolah. 

Berilah ruang dan peluang kpd anak istimewa sekiranya mereka berkemampuan dalam 3M untuk bersaing di arus perdana.

Sekiranya melepasi prosedur yg ditetapkan. 

Teruskan legasi sekiranya guru yg bertanggungjawab bertukar. 

Anda akan dipertanggungjawabkan sekiranya tidak melakukan apa-apa terutama pihak pengurusan ppki. 

Anak-anak istimewa ini akan menuntut hak mereka kelak. 

Bila? 

Tuan/puan boleh mencari jawapannya sendiri.

Friday, October 11, 2019

Faqihah - Bayi 3

Faqihah semasa bayi amat mudah dijaga. 
Kerjanya tidur sahaja sepanjang hari. 
Tabiatnya suka guntil siku abah sebelum tidur. 
Faqihah tidur abahnya pun tumpang lena sekali. 
Senang umminya semasa Faqihah masih bayi kerana tidak banyak kerenah.

Thursday, October 10, 2019

Faqihah - Bayi 2

Faqihah dilahir secara normal. 
Suatu yang terasa kelainannya ialah Faqihah tidak menangis semasa dilahirkan. 
Kenapa? 
Faqihah dilahirkan keluar bersama karungnya. 
Doktor terpaksa membelah karung tersebut. 
Apabila karung telah terbelah, barulah kedengaran suara Faqihah menangis.


Wednesday, October 9, 2019

Ulangtahun KAA ke-10 : Faqihah Bayi 1

Kelab Anak Autisme dah genap sedekad (10 tahun) berada dialam maya berkongsi pengalaman mendidik anak autisme. 
Kewujudan FB ini atas kesedaran sukar untuk pak yoep berkongsi ilmu & pengalaman dengan ibubapa yang ada anak autisme. 
Kini anak pak yoep, Faqihah, sudah remaja. Umur dah18 tahun. Masih bersekolah.
Sempena ulangtahun sedekat FB Kelab Anak Autisme dengan sokongan melebihi 17308 pengikut, pak yoep ingin mengimbau kembali perjalanan hidup Faqihah sebagai anak autisme.

Kisahnya bermula

Faqihah telah dilahirkan pada 17 Nov 2001 jam 12.58 pm di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh diberi nama Noor Faqihah Izzah Iwani.

# ulangtahunkelabanakautismeke10

Saturday, October 5, 2019

Faqihah LARI dari rumah

18. 3. 2019 Cabaran TERBESAR kami dalam mendidik anak autisme remaja. 
Faqihah LARI dari rumah. Mujur umminya sedar awal akan ketiadaannya. 
Walaubagaimanapun, terpaksa umminya guna kenderaan mencarinya. 
Dah berjalan jauh dari kawasan perumahan dengan berjalan kaki sehelai sepingang. 
Abah tiada di rumah. 
Punca lari akibat dimarahi umminya. 
Umminya jarang memarahi Faqihah. 
Malah amat rapat dengan umminya. 
Sebaliknya abah sentiasa tegas dengan Faqihah. 
Mungkin Faqihah terasa sangat. Merasai umminya dah tidak sayangkannya. 
Bermula saat ini, kami perlu berhati-hati dalam menjaga hati Faqihah agar tidak mengulangi perkara yang sama. 
Didikan anak autisme remaja, tidak sama dengan cara mendidik mereka di zaman kanak-kanak. 
Ummi dan Abah Sayang Faqihah...
# Faqihah - 17 tahun 3 bulan.
# Masih bersekolah di kelas pendidikan khas.
# Autisme + Hiperaktif

Friday, October 4, 2019

Faqihah Tahun 2019.. Azam Pak Yoep

Lama dah tak bercerita tentang Faqihah di laman ini.

Kisahnya banyak dipostkan dalam FB atau IG. Banyak laman sosial yang nak dihandle. Tertinggal pulak nak menulis dalam blog.

Nak cuba kuatkan azam kerap menulis dalam laman ini.

Nak menulis dalam blog ini leceh sikit berbanding dengan FB dan IG yang boleh dicapai dengan segera.

In Shaa Allah...

Pak Yoep akan cuba menulis kembali.

Pengunjung 5 Okt 2019 - 981983

Monday, July 16, 2018

Autisme... Kalau dah rutinnya


Itu yang terjadi pada Faqihah

Ianya ketara walaupun dah remaja

Apa yang terjadi pada Faqihah

Diantaranya ialah...

KAIN

... dalam urusan membasuh
... dalam urusan menjemur
... dalam urusan melipat
... dalam urusan mengosok kain

Semua kerja-kerja yang dilakukannya

Tidak boleh disentuh orang lain

INTERNET

... Arah diberikan pada Faqihah
... Buka jam 5 ptg tutup jam 7 mlm
... Buka jam 8 mlm tutup jam 10 mlm

Faqihah akur dengan arahan tersebut tanpa gagal

Melaksanakan tugasan tersebut

PETI AIS

... Faqihah akan memastikan peti ais
... Semua botol diisikan dengan air
... Semua botol air dibenarkannya diminum oleh orang lain
... Kecuali SATU botol
... Tiada siapa boleh menggunakannya
... Termasuk ummi dan abah.

Banyak lagi situasi seumpama di atas.

Akur sajalah...








Wednesday, June 27, 2018

Faqihah vs Internet


Faqihah amat mengemari melayari internet.

Lokasi komputernya di ruang tamu.

Sebab?

Mudah membuat pemantauan.

Tempoh penggunaan internet dihadkan penggunaannya.

Sebelum ini...

Jumaat petang hingga Ahad malam sahaja.

Bila dah remaja.

Penggunaan dipanjangkan.

Setiap hari bermula jam 5 ptg hingga 10 malam.

Waktu maghrib ditutup seketika.

Tanpa diarahkan.

Faqihah menutup internet tepat jam 7 malam.

Tetap jam 10 mlm akan ditutup sendiri.

Tanpa perlu disuruh.

Kekal disiplin tersebut sejak dulu hingga kini.

Walaupun broadband ada... tidak disimpan.

Faqihah tidak buka internet sehingga jam 5 ptg.

Untuk ibubapa diluar sana..

Tidak sukar untuk anak-anak autisme laksana rutin seperti ini.

Perlu dilatih.. pasti anak-anak ini.

Berdisiplin dalam penggunaan internet.

In Shaa Allah.

Tuesday, June 19, 2018

Hasil Seni Faqihah Jun 2018


Faqihah melukis gambar ahli keluarga.

Cuba perhatikan.

Gambar Faqihah di mana...?

Faqihah masih tidak menerima hakikat....

Dirinya dah remaja.

Sebaliknya dilukis gambarnya masih kecil.

Jika dibandingkan kak longnya.

Kalau diikutkan saiz badannya dengan kak long....

Dah sama saiz.

Bukan seperti yang digambarkan dalam gambar di atas.

Faqihah... Faqihah....

Pada tahap umur Faqihah sekarang... 17 Tahun.

Banyak sumbangannya kepada keluarga.

Terutama dalam melaksanakan...

Kerja-kerja rumah tanpa disuruh...

Dilaksanakan secara automatik.

Alhamdulillah....

Untuk ibubapa yang ada anak autisme.

Anak2 istimewa ini perlu dibimbing..

Anak2 istimewa ini perlu dilatih...

Dilatih secara konsisten.

Tanpa jemu dan putus asa...

Anak2 istimewa ini...

Mampu berdikari...

Mampu membantu kita...

In Shaa Allah.



Sunday, June 3, 2018

Rutin Anak Autisme


Faqihah dah hampir mencecah 17 Tahun.

Walaupun banyak perkembangan positif yang berlaku pada Faqihah.

Masih wujud lagi beberapa ciri-ciri autisme yang kekal.

Yang paling ketara.

Rutin hariannya tidak boleh diubah.

Seperti...

Dalam tugasan menjemur kain.

Tidak boleh diubah lokasi pakaian yang dijemur.

Tuala dan kain.

Rutinnya dijemur dalam rumah.

Jika dipindahkan keluar rumah.

Agar cepat kering.

Faqihah akan pindahkan kembali.

ke dalam rumah.

Itu adalah satu contoh.

Banyak lagi contoh yang ada.

Sukar untuk melatihnya.

Menukar rutin seperti di atas.

Apa-apa pun Faqihah dah banyak membantu....

Membuat kerja-kerja rumah.

Alhamdulillah.


Wednesday, May 30, 2018

Rajin SANGAT Faqihah


Faqihah masih terus konsisten melakukan kerja-kerja rumah.

Tugasan utama yang dilakukan berkaitan kain, pinggan mangkuk, air, nasi dan kekemasan rumah.

KAIN
- Kumpul
- Masuk Misen Basuh
- Jemur 
- Angkat 
- Lipat

PINGGAN-MANGKUK
- Basuh
- Kekemasan

AIR
- Memasukkan air ke dalam bekas
- Menyediakan bekal air ahli keluarga

NASI
- Memasak nasi

KEKEMASAN
- Bilik tidur sendiri
- Ruang tamu
- Dapur

Semua kerja-kerja tersebut dilaksanakan tanpa arahan dari ummi dan abah.

Memerhati kerja-kerja rumah yang dilakukan oleh ummi/abah. Melaksanakannya tanpa disuruh.

Walaubagaimanapun apa yang berlaku ini tidak terjadi dengan semulajadi.

Ummi/abah telah melatihnya sejak kecil lagi.

Hasilnya...

Faqihah dapat meringankan tugasan kerja rumah ummi/abah.

Kekangan pasti ada.

Setiap tugasan kerja rumah yang dilakukannya TIDAK BOLEH dibantu sesiapa.

Faqihah akan menghalang jika ada sesiapa yang hendak membantunya.

Masih dalam proses mengajarnya agar saling berkerjasama melakukan kerja rumah.

Masalahnya...

Tugasan kerja rumah yang dilakukkannya memakan masa yang lama.

Banyak kerja yang dilakukannya dalam satu masa.

Termasuk aktiviti rutinnya menulis dan melukis disamping melayari internet.

Penggunaan internet dihadkan penggunaannya.

Banyak yang perlu ummi/abah lakukan agar Faqihah dapat melaksanakan tugasan mengikut cara yang terbaik.

Tuesday, May 29, 2018

Faqihah berhenti Home Schooling


Berhasrat tamatkan Home Schooling Faqihah bermula Jun 2018.

Terpaksa ditamatkan atas kekangan faktor kewangan.

Kewangan tersebut terpaksa digunakan untuk meneruskan sesi pengajian Kak Long di UTP.

Yuran pengajian melebihi RM6500 semester.

Ada 3 semester... mencecah hampir RM 18000.

Terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

Permohonan pembiayaan Mara dan UTP gagal.

Aktiviti Faqihah akan diisi dengan sesi pengajian Al-Quran.

Tingkatkan kemahirannya membaca Al-Quran.

Masih dalam pertimbangan.

Sebab..

Apabila diberitahu kepada Faqihah.

Sesi Home Schooling bakal ditamatkan.

Reaksinya amat menyedihkan.

Tak mahu berhenti di Home Schooling tersebut.

Merayu diteruskan.

Pilu juga ummi dan abah.

Tunggu perkembangan terkini kak long.

Samada kekal di UTP atau

Pindah ke UM.

Ya Allah...

Moga dipermudahkan urusan kami.

Ameen.

Thursday, May 17, 2018

Faqihah Mei 2018


Faqihah telah melangkaui 16 tahun.

Masih bersekolah di SMK Seri Intan dan mengikuti program Home Schooling di Brighter Future di Tambun.

Terdapat beberapa perubahan yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

1. Telah melupakan watak-watak kanak-kanak seperti Snow White, Cindirella dll.
2. Telah melupakan pencipta watak-watak di atas (Grim bersaudara) di mana faqiha begitu taksub dengan pencipta watak tersebut. Dapat menceritakan biodata mereka sekali.
3. Amat mengambil berat kerja-kerja rumah seperti urusan pakaian, pinggan-mangkuk, kekemasan rumah dan air minuman.
4. Solat memang tidak pernah tinggal.
5. Makan wajib membaca doa.
6. Sentiasa berinteraksi dengan ahli keluarga.
7. Berkemampuan untuk memasak sendiri tanpa pengawasan.

Alhamdulullah... Bersyukur ke hadrat Allah.

Penat lelah mendidiknya semasa kecil berbaloi dibalas dengan keupayaannya dalam pelbagai aspek terutama dalam urusan rumahtangga. Amat membantu tugasan umminya di rumah.

Ianya tidak hadir dengan semulajadi tapi perlu kepada didikan dan latihan yang berterusan.

Kesabaran dan sikap tidak berputus-asa pasti mendatangkan hasil seumpama ini. Iringan doa juga amat diperlukan bagi merealisasi ke tahap ini.

Semua ibubapa yang mempunyai anak-anak istimewa juga mampu melakukanya..

In Shaa Allah.


Monday, February 26, 2018

Faqihah hadir Home Schooling

Faqihah telah mengikuti Home Schooling di Brighter Future bermula 7 Feb 2018.

Home Schooling seminggu 2 kali pada hari Rabu dan Khamis.

Bayaran dikenakan RM300.00 sebulan.

Pendaftaran melibatkan perbelanjaan RM1400.00 termasuk kos bahan pengajaran dan pembelajaran.

Lokasi jauh daripada tempat tinggal kami.

Pergi-balik memakan masa 1 jam 30 minit.

Kelas bermula 9 pagi dan tamat jam 1.00 petang.

Hantar Faqihah - UMMI

Ambil Faqihah - ABAH

Pengorbanan kami untuk Faqihah untuk laluan kerjaya di masa depan.

Pengorbanan sama yang pernah kami lalui semasa Faqihah berumur 4 tahun.

Mengurus hantar dan ambil dari lokasi tempat belajar yang jauh.

Ibubapa perlu berkorban.

Wang ringgit, masa dan tenaga untuk anak autisme.


Thursday, January 11, 2018

Blog Pak Yoep Stabil

Alhamdulillah.

Buat masa ini, laman blog pak yoep telah kembali stabil.

Beberapa tindakan diambil telah memberi kesan.

Pencerobohan terhadap blog pak yoep telah dapat di atasi setakat ini.

Harapan agar terus kekal dapat dilayari oleh pengunjung tanpa sebarang gangguan yang berlaku sebelum ini.

In Shaa Allah.

Tuesday, January 2, 2018

Program Faqihah 2018

Umur Faqihah dah menjangkau 17 tahun.

Kalau diikutkan bakal menduduki SPM pada tahun ini.

Apakan daya.... tiada rezeki Faqihah.

Kekal berada di kelas pendidikan khas.

Memandangkan usianya dah hampir tamat sesi persekolahan dalam 3 tahun lagi.

Sesuatu perlu dilakukan.

Hasil perbincangkan dengan pihak sekolah dan Teacher Ruby, Brighter Future.

Faqihah akan mengikuti program yang dianjurkan oleh Brighter Future.

Dijangka selama 2 hari seminggu.

Persiapan kerjayanya di masa depan.

Ameen.