Monday, December 12, 2011

Didikan awal bermula di rumah

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
fatin@bharian.com.my
2011/12/06

pix_gal0
Didik sikap menghormati di kalangan kanak-kanak

BAPA melangkah masuk ke ruang tamu sambil memimpin tangan anak bongsunya yang cacat fizikal. Melihat anak sulung lelakinya yang terbaring sambil bermain permainan videonya dengan penuh tekun. Tatkala disapa, budak itu hanya membisu sambil mengangkat kening dan meneruskan aktiviti yang dilakukan.
Melihat reaksi itu, bapa pun enggan mengganggu anak lelakinya itu, lalu melangkah masuk ke dapur untuk menyediakan hidangan buat anak bongsunya sambil terdengar suara anak perempuan dan isterinya yang baru saja menamatkan perbualannya mereka.
“Salam Sara, bagaimana dengan peperiksaan hari ini. Hujung minggu ini bolehlah kita sekeluarga keluar bercuti untuk merehatkan diri memandangkan ia juga hari jadi ayah,” jelas bapa yang mengharapkan maklum balas memberangsangkan daripada anak sulungnya itu.

“Tak mahu. Sarah bosan bila kita keluar bersama lagipun saya nak keluar menonton wayang dengan rakan sekelas. Ayah pergilah dengan adik dan jangan ganggu saya,” jawab anak gadis itu lantas meninggalkan bapanya terpinga-pinga di dapur.

Apakah sebenarnya yang berlaku dan di mana letak pertuturan dan perilaku sopan apatah lagi menghormati bapa yang membesarkan anak-anaknya itu. Mengapa pula adik yang cacat fizikal dipinggirkan sedemikian sedangkan dia juga seorang insan yang ingin bersahabat dan berkasih sayang.

Pengusaha Tadika, Anna Subashini Sivanathan, berpendapat segala didikan awal perlu bermula dari rumah seawal usia kanak-kanak. Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk mencerminkan sikap positif anak supaya mereka dapat menilai erti kehidupan secara adil tanpa sebarang pengelasan.
Jelasnya, senario kanak-kanak kelainan upaya diejek atau dibuli bukanlah perkara yang aneh lagi, bahkan anak pada awal usia juga sudah tahu mempermainkan golongan yang istimewa itu.

Tidak hanya, masalah buli di kalangan pelajar sekolah rendah juga semakin berleluasa walaupun pelbagai cara diambil untuk mengatasi masalah itu, ia tetap tidak memberikan kesan terhadap mereka bahkan keadaan kadang kala berubah menjadi lebih teruk.

“Isu pelajar membuli rakan yang lemah atau yang berkeperluan khas bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Bahkan masalah seumpama itu sudah semakin berleluasa termasuk membabitkan murid sekolah rendah. Mungkin ia berlaku kerana pengaruh negatif yang diserap sepanjang membesar atau sebalik mereka menerima tekanan daripada keluarga sendiri.

“Persekitaran yang tidak sihat untuk si kecil yang membesar mampu memberikan impak maksimum terhadap mereka bila dewasa kelak. Sedikit sebanyak tingkah laku yang tidak elok boleh dilihat sepanjang zaman persekolahan. Jika tiada bimbingan atau dorongan, dikhuatiri perkara jadi lebih serius.

“Sikap mereka yang suka memandang rendah kepada kanak-kanak lain yang tidak bernasib baik seharusnya dipantau oleh semua pihak terutama ibu bapa dan guru dengan menunjukkan sikap kasih sayang serta hormat menghormati sesama insan,” jelasnya ketika sesi temuramah dianjurkan Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2011 dengan memberi penekanan terhadap sikap menghormati antara sesama insan bertemakan ‘Teach Respect’.

Tahun ini, UNICEF mengajak ibu bapa untuk mendidik anak mereka bagi menghormati masyarakat begitu juga mendidik si kecil untuk tidak mendiskriminasi golongan yang dilahirkan berbeza daripada mereka baik dari segi mental, fizikal mahupun kisah kehidupan yang dilalui.

Terdahulu, Anna Subashini berpendapat bahawa kanak-kanak ibarat kain putih yang perlu dicorakkan penjaganya. Pembelajaran pertama bermula di rumah kerana separuh daripada pengenalan kehidupan mereka bermula di rumah. Jika ibu dan ayah tidak menunjukkan sikap hormat menghormati dan menyayangi, bagaimana si kecil yang baru memulakan hidup hendak belajar.

“Ibu bapa juga perlu menunjukkan sikap menghormati sesama mereka untuk menghidupkan lagi persekitaran yang positif agar kanak-kanak dapat membesar tanpa membawa sikap mendiskriminasi rakan seusia yang kurang bernasib baik atau tampil berbeza.

“Didik dan berbincang dengan mereka tentang keadaan sekeliling. Ibu bapa juga perlu bertindak adil dalam mengajar mereka dan elakkan keganasan terhadap anak kerana tindakan itu boleh menjadikan mereka lebih agresif bahkan mula melakukan perbuatan sama pada rakan atau adik beradik lain,” jelasnya lagi.

Katanya, di samping itu sikap permuafakatan antara masyarakat juga perlu ditekankan oleh guru dan masyarakat. Bantuan dan sokongan seharusnya disampaikan terhadap mereka yang memerlukan agar si kecil mampu membesar menjadi seorang insan yang berjiwa besar.

Sementara itu, anak perempuannya, Shilpa Lazarus, 15, berpendapat tindakan rakannya yang suka mengejek pelajar kurang upaya serta datang daripada keluarga bermasalah tidak wajar.

Katanya, setiap insan yang dilahirkan ke dunia ini adalah istimewa dan perlu dihargai apatah lagi menghormati antara satu sama lain tanpa mengambil kira kedudukan dan keadaannya .

Shilpa yang pernah menjadi sahabat baik kepada penghidap sindrom down, Siti Nur Aisyah Shahimee, 12, berkata dia juga tidak setuju dengan kerenah segelintir pelajar yang suka memperolok-olokkan pelajar lain yang kurang bernasib baik.

“Tindakan sesetengah remaja yang suka membuli atau memperlekehkan rakan yang tidak bernasib baik adalah sungguh teruk dan tidak bermoral. Mereka perlu belajar untuk menghormati antara sesama sendiri tanpa mementingkan keadaan fizikal individu lain,” jelasnya.

Ketika bercerita mengenai pengalamannya bersahabat baik dengan Aisyah, remaja itu berkata ia adalah pengalaman yang indah dan masih mengenang kemanisan saat itu.

“Ketika itu, Aisyah belajar di tadika ibu saya. Persahabatan ketika itu bermula apabila saya memakaikan kasut Aisyah kerana hanya dia saja yang tertinggal di kelas dan pergerakannya agak lambat. Oleh kerana melihat Aisyah bersendirian, lantas saya pun dengan sukarela menghulurkan bantuan dan sejak itu kami mula menjadi sahabat.

“Saya tidak bersahabat dengannya kerana kasihan dan tidak pernah rasa malu untuk bergaul dengannya. Sebaliknya melihat dia sebagai seorang rakan yang menyeronokkan. dia suka menyanyi bila dia gembira dan Aisyah juga mudah untuk diajak berbual dan dia tidak ubah seperti rakan lain yang tidak mempunyai masalah sepertinya.

“Tidak hanya itu, Aisyah juga pernah berkongsi menu makanan kegemaran yang sama begitu juga permainan anak patung Barbie. Walaupun keadaan fizikalnya begitu, dia juga hebat bermain bola,” katanya tersenyum manis.

Menyambung penjelasannya, Shilpa berkata bagaimanapun persahabatan mereka semakin renggang memandangkan masing-masing sudah bersekolah dan sibuk dengan aktiviti tambahan.

“Selepas masuk ke bangku persekolahan, saya dan Aisyah jarang berjumpa kerana kami berada di sekolah yang berbeza. Jadual yang ketat juga menjarakkan lagi persahabatan kami. Namun, apabila berkesempatan atau mengadakan parti, saya pasti akan menjemputnya datang,” katanya sebelum menamatkan perbualan pada petang itu.

INFO

Cara mendidik anak untuk menghormati antara satu sama lain:


  • Jika anda ingin melihat anak membesar sebagai seorang anak yang tahu menghormati insan lain, anda perlu tunjukkan sikap itu kepada mereka sejak mereka kecil lagi.

  • Jangan letakkan tanggapan yang terlalu tinggi terhadap anak, sebaliknya dekati dan bimbing mereka.

  • Didik anak dengan menghormati hak sendiri.

  • Puji mereka setiap kali menggunakan perkataan atau melakukan pilihan yang bijak dan hormati keputusan mereka.

  • Bincang dengan si kecil apabila melihat individu lain yang mencerminkan sikap negatif.

  • Perbaiki kelemahan dan kesilapan. Anda juga perlu tegas dalam mendidik sikap hormat menghormati.

  • Elakkan menggunakan perkataan yang boleh menunjukkan sikap negatif di hadapan anak anda.

No comments:

Post a Comment