Merujuk kembali nota berkaitan dengan pengurusan tingkah laku. Pak Yoep sedang menghadapi masalah seorang murid yang sentiasa tantrum dalam kelas sejak awla tahun lagi. Keadaannya telah reda sebelum cuti sekolah pertengahan tahun. Kini kembali tantrum apabila sekolah dibuka kembali. Pelbagai keadah telah digunakan oleh guru kelasnya tapi tidak berhasil. Perlaksanaannya tidak direkodkan. Keadaan semakin meruncing sehingga ibunya menitiskan air mata semasa berjumpa pak yoep. Pak Yoep akan mengambi-alih tugas dalam aspek pengurusan tingkahlaku murid tersebut. Semua aktiviti akan didokumentasikan.
PENGURUSAN TINGKAHLAKU MURID-MURID PENDIDIKAN KHAS BERMASALAH PEMBELAJARAN
- SUBJEK PTL
PENGURUSAN
TINGKAH LAKU MURID PKBP
1.0 PENGENALAN
Setiap ibu bapa mahukan anak-anak yang dilahirkan normal dan cukup sifatnya.
Namun begitu ketentuan Allah SWT tiada siapa yang dapat menghalang. Kelahiran
anak-anak istimewa atau kanak-kanak berkeperluan khas memang menjadi satu
tamparan dan cabaran buat ibu bapa. Sebagai insan, kanak-kanak berkeperluan
khas juga perlu mendapat layanan dan pendidikan yang sewajarnya dari keluarga,
masyarakat dan juga pihak sekolah.
Kanak-kanak berkeperluan khas merupakan kumpulan kanak-kanak yang mengalami
ketidaknormalan sama ada dari segi fizikal, mental, emosi atau tingkah laku.
Mereka merupakan kumpulan kanak-kanak yang telah dikenalpasti dan disahkan oleh
pakar-pakar professional klinikal sebagai mengalami kecacatan yang mengganggu
proses pembelajaran. Kecacatan yang dialami boleh dikategorikan mengikut tahap
kefungsian kanak-kanak seperti kebolehan kognitif tingkah laku (perkembangan
social), penguasaan bahasa lisan (pertuturan) dan membaca, kemahiran
perkembangan dan kemahiran matematik. Seringkali kanak-kanak berkeperluan khas
dikaitkan dengan permasalahan tingkah laku. Tahap kefungsian mereka yang rendah
mendorong timbulnya permasalahan tingkah laku di kalangan mereka. Berbagai
masalah ditimbulkan sama ada semasa berada di dalam kelas, di luar kelas
mahupun di rumah.
Dewasa ini, tingkah laku bermasalah di kalangan kanak-kanak berkeperluan khas
ini juga telah menjadi topik perbincangan yang seringkali diperkatakan.
Sehubungan dengan itu, saya telah membuat rujukan dan kajian berkaitan
permasalahan tingkah laku di kalangan murid-murid berkeperluan khas. Ini
bertujuan mendapatkan maklumat lengkap berkaitan permasalahan tingkah laku yang
sering berlaku di kalangan murid-murid berkeperluan khas.
1.1 DEFINISI DAN KONSEP TINGKAH LAKU
1.1.2 Definisi Tingkah Laku
“Berbagai-bagai ragam dan berbagai-bagai laku”
( Kamus Dewan, 1979 )
“Sesuatu yang dilakukan, cara untuk bertindak balas terhadap persekitaran.”
( Raymond G. Miltenberger, 2001 )
“Tingkah laku adalah apa yang kamu lakukan, cara berinteraksi atau beraksi dan bertindak
balas terhadap persekitaran.”
( Lewis M. Beaker, 2001 )
Pengertian tingkah laku sebenarnya mempunyai pengertian yang amat luas. Tingkah
laku boleh disimpulkan sebagai perangai, gerak-geri, kelakuan, segala perbuatan
yang melibatkan kegiatan motor seperti berjalan, berlari, bergerak,
berinteraksi, dan memberi respon atau tindakbalas terhadap sesuatu sama ada
dalam keadaan sedar ataupun tidak. Malahan tingkah laku juga sebenarnya
mencakupi gambaran emosi dan mental seseorang.
1.1.2
Definisi Tingkah Laku Bermasalah
Menurut Mohd. Nazar Mohamad (1990) yang dipetik daripada Pengurusan Bilik
Darjah dan Tingkahlaku oleh Mok Soon Sang, tingkah laku bermasalah seseorang
individu sebagai tingkah laku yang menggangu perjalanan kehidupannya. Jika
dilihat dari konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada
sebarang tingkah laku pelajar yang boleh menjejaskan kelicinan ataupun
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran khasnya di dalam bilik darjah.
Tingkah laku bermasalah merupakan tingkah laku yang tidak normal iaitu yang
terkeluar dari nilai dan norma masyarakat, termasuk sekolah. Konsepnya
bertentangan dengan tingkah laku normal yang lazimnya dipersepsi, dirasai,
dilakukan dan dialami oleh kebanyakkan orang dalam masyarakat. Tingkah laku bermasalah
murid juga boleh didefinisikan sebagai sebarang aksi murid yang dianggap oleh
guru sebagai mengganggu kerana ia menghalang kelancaran dan kelicinan proses
pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Robert H Woody di dalam bukunya berjudul ‘ The School and the Behaviour
Problem Child ‘ menyatakan semua tingkah laku di sekolah dapat diperlihatkan
dalam berbagai bentuk dan ragam. Kanak-kanak tidak dapat menyesuaikan diri
mereka dengan keadaan dan suasana pembelajaran. Keadaan begini selalu
menjejaskan pelajaran dan keupayaan mereka untuk belajar dan berhubung dengan
orang lain.
1.1.3 Jenis-Jenis Tingkah Laku Bermasalah
Tingkah laku bermasalah boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:
a) Tingkah Laku Bermasalah Positif
b) Tingkah Laku Bermasalah Negatif
Tingkah laku bermasalah positif merupakan keadaan tingkah laku di mana ia
dilihat sebagai satu perkembangan yang baik, tetapi sebenarnya tingkah laku
tersebut mengganggu individu-individu lain. Semasa proses pengajaran dan
pembelajaran, tingkah laku bermasalah positif dilihat pada keadaan murid yang
nampak keterlaluan perasaan ingin tahunya, terlalu cepat belajar, pintar cerdas
dan proaktif. Keadaan ini juga adakalanya dipanggil hiperaktif positif.
Sekalipun keadaan ini adalah sangat baik dan positif tetapi hakikatnya ia
mengganggu kelancaran proses pengajaran-pembelajaran yang sedang dijalankan.
Keadaan in sebenarnya mengganggu murid-murid yang belajar dalam keadaan yang
normal. Selain daripada itu ia akan mengakibatkan ketidakseimbangan dalam
proses pembelajarang yang sedang dijalankan. Keadaan ini juga akan menimbulkan
ketidakselesaan di kalangan murid-murid yang lain dan juga pada guru itu
sendiri.
Tingkah laku bermasalah negatif merangkumi tingkah laku distruptif, distruktif,
pengasingan diri, pergantungan berlebihan, agresif dan kebimbangan. Dalam aspek
pengajaran dan pembelajaran, tingkah laku bermasalah negatif merupakan keadaan
di mana murid mengganggu perjalanan pengajaran dan pembelajaran dengan berbagai
cara melalui tindakan-tindakan ataupun perlakuan-perlakuan yang mengganggu
rakan dan guru ataupun merosakkan peralatan yang terdapat di dalam kelas.
Antara perlakuan negatif yang mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran
ialah membuat bising, mengganggu rakan, bergaduh, melawan cakap guru,
vandalisme, kerap menangis, berbohong, mencuri, mengejek dan tidak menunjukkan
minat dan perhatian dalam pelajaran. Ada juga tingkah laku murid yang kurang
disedari oleh guru tetapi sebenarnya boleh mejejaskan pembelajaran dan
perhubungan sosial yang normal. Tingkah laku ini adalah yang seperti sering
mengasingkan diri, selalu sedih, terlalu pemalu, sering ketakutan dan fantasi.
1.1.4 Ciri-Ciri Kanak-Kanak Bermasalah Tingkah Laku
Terdapat beberapa ciri-ciri kanak-kanak yang bermasalah dalam tingkah laku
seperti di bawah :
i. Suka menakut-nakutkan kanak-kanak yang lebih kecil atau lebih muda dari
mereka.
ii. Mencederakan kanak-kanak atau rakan sebaya mereka
iii. Suka mencari gaduh atau pasal dengan kawan-kawan
iv. Sering bercakap bohong atau bercakap besar
v. Melakukan kegiatan negatif seperti mencuri, menghisap rokok
vi. Suka menyakiti hati kawan-kawan
vii. Menjahanamkan harta benda
viii. Tidak duduk diam
ix. Suka terjerit-jerit dan menjerit apabila bercakap
x. Tidak mendengar arahan atau kata dari orang tua
xi. Panas baran
xii. Tidak menyiapkan kerja rumah atau tugasan yang diberi
( Robert H Woody : The school and the behaviour problem child )
1.2 PUNCA-PUNCA MASALAH TINGKAH LAKU DI KALANGAN MURID PENDIDIKAN KHAS
Umumnya tingkah laku bermasalah di kalangan murid pendidikan khas adalah
berpunca daripada beberapa faktor. Antara faktor-faktor tersebut ialah faktor
baka, faktor persekitaran dan faktor pemakanan. Namun begitu Teori pembelajaran
sosial yang diaplikasikan oleh Bandura (1973) juga merumuskan bahawa perkara
utama yang sering dipelajari oleh kanak-kanak dan remaja ialah melalui
pemerhatian terhadap tingkah laku orang lain, khususnya orang yang signifikan
dengan mereka.
1.2.1 Faktor Baka
Baka atau keturunan merupakan ciri-ciri perwarisan yang dibawa oleh ibu bapa
kepada anak-anak. Baka diperturunkan melalui gen-gen ibu bapa kepada anak-anak.
Baka boleh menguasai penyuburan fizikal dan mental. Ahli psikologi bersetuju
bahawa baka merupakan salah satu punca berlakunya tingkah laku bermasalah di
kalangan kanak-kanak berkeperlan khas. Seseorang kanak-kanak yang lahir itu
pasti akan mewarisi sifat-sifat ibu bapanya. Menurut Norman L.Munn, baka
merupakan ciri-ciri yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya
melalui genetik.
Antaranya sifat yang dipengaruhi oleh genetik ialah sifat introvert dan
ekstrovert. Sifat-sifat ini boleh diwarisi oleh kanak-kanak melalui ibu bapa
mereka. Keadaan emosi yang tidak stabil di kalangan ibu bapa juga boleh
menyebabkan anak mereka mengalami keadaan yang sama. Contohnya jika seseorang
itu mempunyai sifat pemarah, pembengis dan sukar mengawal emosi, kemungkinan
anaknya juga akan berkeadaan sedemikian. Ini akan menyebabkan beberapa masalah
seperti tantrum, suka mengamuk, dan berkemungkinan mencederakan diri sindiri
atau orang lain.
Baka juga akan mempengaruhi perkembangan fizikal seseorang. Kajian telah
menunjukkan bahawa ciri-ciri fizikal luaran, khasnya bentuk fizikal, warna
rambut dan organ deria adalah diwarisi daripada gen-gen ibu bapa. Sebagai
contoh, jika ibu bapa mempunyai saiz badan yang besar dan gemuk, ini juga boleh
menyebabkan kemungkinan anak mereka akan mengalami masalah tubuh badan yang
sama. Saiz tubuh yang terlalu gemuk, terlalu kurus atau terlalu rendah dan
kecil akan menyebabkan timbulnya perasaan rendah diri dan malu dalam diri
seseorang murid itu. Ini seterusnya boleh menyumbang kepada timbulnya tingkah
laku bermasalah seperti tidak mahu bergaul dengan orang lain, mengasingkan
diri, dan tidak mahu melibatkan diri dalam sesi pengajaran dan pengajaran
kerana malu dan takut diejek oleh kawan-kawan.
Perkembangan mental seseorang juga boleh dipengaruhi oleh baka. Sekiranya ibu
bapa mempunyai tahap kemampuan mental yang rendah, kemungkinan anak mereka juga
akan menghadapi masalah yang sama. Ini seterusnya akan menyebabkan anak
ketinggalan dalam pelajaran dan akhirnya menjadi tidak minat untuk belajar. Hal
ini akan menyebabkan berlakunya tingkah laku yang tidak diingini seperti
kemurungan, suka mengasingkan diri dan mempunyai tahap kebergantungan yang
tinggi. Keadaan ini juga akhirnya boleh membawa kepada tingkah bermasalah yang
lain yang akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung.
1.2.2 Faktor Persekitaran
Persekitaran merupakan faktor penting yang mungkin menjadi punca kepada
permasalahan tingkah laku di kalangan murid-murid berkeperluan khas. Faktor
persekitaran boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu faktor keluarga,
faktor rakan sebaya, faktor sekolah dan faktor masyarakat dan budaya.
1.2.2.1 Faktor Keluarga
Coleman dan Cressey (1993: 110) mentakrifkan keluarga sebagai ‘a group of
people by marriage, ancestry or adoption who live together in a common
household’, (Kamus Dewan 1994) mencatitkan definisi keluarga sebagai ‘seisi
rumahtangga yang terdiri daripada suami dan isteri sahaja atau berserta
anak-anak’. Mahmood (1997) mentakrif keluarga sebagai unit sosial yang terdiri
daripada bapa, ibu dan anak dan yang paling penting ialah wujudnya suatu
pertalian hidup tertentu dalam kelompok social berkenaan.
Mengikut Parsona ( 1964 ) bahawa rumah adalah kilang menghasilkan peribadi
manusia. Jika ibu bapa gagal memproses anak-anak mereka di kilang ini maka
hasilnya ialah anak-anak yang tidak bermoral. Insititusi kekeluargaan
memainkan peranan penting dalam pembentukan tingkah laku kanak-kanak
berkeperluan khas. Keluarga boleh menjadi satu punca kepada timbulnya
permasalahan tingkah laku di kalangan kanak-kanak berkeperluan khas.
Kajian-kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa pelajar yang bermasalah
kebanyakannya adalah berlatar belakangkan keluarga yang bermasalah (Dishion, et
al., 1991; Rutter, 1985; Vuchinich, 1992).
Dapatan kajian oleh Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (1993),
merujuk punca salah laku di kalangan pelajar disebabkan oleh pelbagai faktor.
Faktor keluarga merupakan penyumbang tertinggi dalam peningkatan permasalahan
tingkah laku palajar. Kajian yang telah dijalankan pada tahun 1993, menunjukkan
bahawa 81.03 peratus pelajar melakukan kesalahan kerana faktor kekeluargaan,
4.10 peratus disebabkan oleh rakan sebaya dan 1.24 peratus disebabkan oleh
faktor persekolahan (Dewan Masyarakat, April, 1995).
a) Penceraian dan perpisahan ibu bapa
Menurut Coleman, penceraian berlaku akibat tekanan yang dialami oleh individu.
Tekanan menyebabkan hubungan di kalangan ahli keluarga menjadi renggang.
Benokraitis mentakrifkan penceraian sebagai ‘penamatan suatu perkahwinan yang
sah dan formal’ (Nijole V Benokraitis, 1996).
Banyak kajian menunjukkan bahawa masalah salah laku sering dialami oleh
kanak-kanak apabila berlaku penceraian di kalangan ibu bapa mereka. Corak
tingkah laku berbeza di antara kanak-kanak dan ia berhubungkait dengan
perkara-perkara seperti jantina dan usia. Kanak-kanak yang terganggu emosinya
lebih sering mengeluh sakit seperti demam, sakit tekak, sakit perut dan
sebagainya. Keadaan emosi mereka juga tidak stabil dan kadangkala berlaku
kecelaruan emosi di kalangan kanak-kanak mangsa penceraian.
Seseorang akan merasa marah terhadap ibu bapanya kerana bercerai dan akan
melepaskan perasaan marahnya itu melalui perubahan sikap mendadak. Kanak-kanak
akan menjadi degil, bersikap panas baran, bertumbuk dengan budak-budak lain,
mencuri, ponteng sekolah, bercampur dengan kumpulan budak-budak nakal dan
menghisap rokok. Mereka juga akan menjadi penyedih dan tidak suka bergaul,
asyik menyendiri, menangis seorang diri, tidak tidur lena malam dan kelihatan
malas. Semua ini adalah kesan daripada gangguan emosi dan perasaan yang dialami
akibat daripada penceraian kedua ibu bapa. Hal ini akan menjadi bertambah buruk
apabila kanak-kanak tersebut terpaksa diheret sama ke dalam kancah penceraian
tersebut terutamanya apabila berlaku kes perebutan hak penjagaan anak.
Sigurdsson dan rakan-rakan (1996) dan Sokol-Katz dan rakan-rakan (1997)
menekankan bahawa perkembangan personaliti negatif dan tingkah laku bermasalah
adalah hasil daripada kegagalan dalam ikatan kekeluargaan.
b) Gaya asuhan dan cara mendisiplinkan anak
Menurut Kamus Dewan (2003), gaya asuhan didefinisikan sebagai perihal mendidik,
peliharaan, penjagaan, tunjuk ajar dan bimbingan. Menurut Darling dan Steinberg
(1993), gaya asuhan didefinisikan sebagai sikap yang ada pada ibu bapa
berkaitan dengan membesarkan anak, seperti yang digambarkan melalui interaksi
mereka dengan anak mereka.
Kegagalan ibu bapa dalam mengasuh, mendidik dan mendisiplinkan anak-anak mereka
juga dilihat sebagai salah satu faktor berlakunya masalah tingkah laku. Latar
belakang tingkah laku anti sosial adalah kesan daripada kekurangan,
ketidaksesuaian atau kawalan disiplin yang tidak konsisten semasa kanak-kanak
(Jacobvitz et al., 1996). Kebanyakan tingkah laku bermasalah juga berpunca
daripada kegagalan cara gaya keibubapaan dan pengurusan keluarga (Jacobvitz et
al., 1996, Vuchinich, 1992).
Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam mengawasi perkembangan
tingkah laku kanak-kanak berkeperluan khas. Sekiranya disiplin tidak diterapkan
di peringkat awal lagi, maka kemungkinan untuk menyebabkan timbulnya tingkah
laku bermasalah di kalangan murid-murid berkeperluan khas adalah lebih tinggi.
Asuhan di peringkat awal serta penerapan disiplin yang sesuai dan istiqamah
akan memastikan tingkah laku bermasalah tidak timbul di kalangan kanak-kanak
berkeperluan khas.
c) Pengaruh Ibu Bapa
Ibu bapa merupakan model terhampir kepada kanak-kanak. Kanak-kanak terutamanya
kanak-kanak berkeperluan khas seringkali menjadi ibu bapa sebagai idola ataupun
model untuk diikuti. Sikap dan tingkah laku ibu bapa sama ada positif ataupun
negatif seringkali menjadi ikutan kepada kanak-kanak berkeperluan khas. Apa
sahaja tingkah laku yang dilakukan oleh ibu bapa di hadapan anak-anak baik dari
segi verbal mahu pun perbuatan akan diperhatikan oleh anak-anak dan tidak
mustahil anak-anak akan terikut-ikut dengan tingkah laku tersebut. Sekiranya
tingkah laku tersebut baik dan positif, maka anak-anak akan turut menjadi
sedemikian. Sebaliknya jika tingkah laku ibu bapa lebih banyak ke arah yang
kurang baik dan negatif, maka anak-anak juga akan terdidik dengan sifat-sifat
yang negatif dan kurang baik.
Mengikut Hoffman (1994), keluarga telah membentuk personaliti seseorang sejak
kecil dan terus memberikan pengaruh yang amat besar kepada tingkah laku, sikap
dan pemikiran seseorang dalam alam dewasa. Ini bermakna pengaruh ibu bapa amat
kuat dalam membentuk tingkah laku kanak-kanak dan tingkah laku ibu bapa juga
amat cenderung diikuti oleh kanak-kanak.
d) Hubungan keluarga dengan kanak-kanak
Keharmonian berkeluarga dicapai melalui hubungan baik
antara semua ahli keluarga. Hubungan ini merangkumi perhubungan spiritual
(agama), emosi seperti kasih sayang, sifat hormat-menghormati,
bertanggungjawab, berpendidikan serta sifat-sifat kebendaan (pakaian, makanan,
rumah dan sebagainya).
Suasana rumah yang mesra dan harmonis akan menggalakkan ketenteraman tingkah
laku terkawal. Perhubungan ibu bapa yang baik akan menjamin suasana rumah yang
tenteram yang amat diperlukan untuk kestabilan emosi. Kasih sayang, layanan,
asuhan dan perhatian yang diberi oleh ibu bapa akan secara langsung membantu
perkembangan emosi. Sebaliknya, ibu bapa yang tidak pengasih boleh menyebabkan
salah laku, anaknya melawan, kurang bercakap dan berasa iri hati.Misalnya ibu bapa
yang mewujudkan perasaan tegang dalam keluarga menyebabkan anak-anak tidak
diterima, rasa tersingkir dan kurang selesa.
Kajian oleh Patterson dan rakan-rakan (1989) dan Yoshikawa (1994) mendapati
bahawa kegagalan keluarga dalam berinteraksi secara berkesan dengan anak-anak
menyebabkan anak-anak mudah terpengaruh dengan tingkah laku bermasalah. Di
samping itu, kajian juga menunjukkan bahawa anak-anak yang bertingkah laku
agresif mempunyai hubungan yang kurang baik dengan ahli keluarga (Coie, et.al.,
1992; Henggeler dan Hall, 1992; Stattin dan Magnusson, 1994).
e) Keluarga bermasalah
Keluarga bermasalah adalah keluarga yang mempunyai
krisis yang meruncing di dalam rumahtangga akibat daripada masalah keluarga (
Utusan Malaysia, 27 September 1990:12). Krisis-krisis ini kemudiannya telah
mengakibatkan timbul berbagai keadaan negatif dalam perhubungan keluarga
tersebut. Tingkah laku bermasalah di kalangan kanak-kanak berkeperluan khas
juga mungkin berpunca daripada permasalahan ini. Kanak-kanak yang berada dalam
lingkungan keluarga yang bermasalah seringkali mengalami gangguan emosi dan
perasaan yang akhirnya menyebabkan berbagai permasalahan tingkah laku
ditimbulkan sama ada di rumah, sekolah mahupun di dalam masyarakat.
Jika kehidupan harian di rumah dicirikan oleh emosi
kebimbangan atau ketakutan, perbalahan yang kerap berlaku, ketiadaan jaminan
keselamatan, sikap ibu bapa yang terlalu kasar, garang dan dominan ataupun
terlalu mengongkong dan memanjakan, atau gangguan neurotik, mereka akan
membesar dalam suasana emosi dan sosial yang tidak dapat mengembangkan kualiti
kebebasan dan keyakinan diri yang penting untuk mencapai kemajuan dalam
persekolahan. Akhirnya kanak-kanak akan mempunyai sikap dan tingkah laku yang
tidak diingini. Sikap seperti ini akan menggalakkan kanak-kanak menjadi tidak
berdisiplin, tidak tahu mengurus diri, tidak mempunyai peraturan, sanggup
menipu dan tidak jujur dalam kerja-kerja sekolah, sehingga mengibatkan
kemunduran akademik dan juga tingkah laku.
f) Penderaan kanak-kanak
Kanak-kanak berkeperluan khas ada kalanya tidak dapat diterima kehadirannya
dalam sesebuah keluarga. Mereka dianggap sebagai memalukan serta membebankan
keluarga. Akibatnya ada di antara kanak-kanak berekeperluan khas ini telah
didera dan diperlakukan dengan tindakan yang tidak sepatutnya oleh ibu bapa dan
ahli keluarga mereka sendiri.
Coleman dan Cressey mengkategorikan penderaan kanak-kanak dalam kes keganasan
rumahtangga. Ianya berlaku akibat gangguan emosi yang dialami oleh ibu bapa
berpunca daripada tekanan (stress). Kemungkinan tekanan yang dihadapi apabila
menerima anak yang dikategorikan sebagai kanak-kanak berkeperluan khas
mengakibatkan ibu bapa melepaskan kemarahan kepada anak mereka. Kanak-kanak
yang didera, kerap mengalami gangguan emosi di mana mereka seringkali menjadi
terlalu takut, rendah diri, emosi tidak stabil, pendendam dan pasif. Kesan
gangguan emosi ini akan menyebabkan timbulnya permasalahan tingkah laku yang
tidak diingini. Adakalanya kanak-kanak ini akan memberontak dengan cara melakukan
kekerasan dan keganasan terhadap rakan sebaya mereka sepertimana yang dilakukan
oleh ibu bapa terhadap mereka. Ada juga kanak-kanak ini yang menjadi terlalu
pasif dan sering mangasingkan diri.
g) Sosio ekonomi keluarga
Faktor ekonomi memainkan peranan penting dalam pembentukan tingkah laku
kanak-kanak. Kemiskinan yang dihadapi oleh sesebuah akan menimbulkan ketegangan
dalam keluarga tersebut. Kemiskinan ditakrifkan sebagai satu keadaan apabila
sesebuah isirumah tidak memperoleh pendapatan yang cukup bagi menampung
perbelanjaan keperluan asas (seperti makanan, pakaian, tempat tinggal) dan juga
perubatan serta pengangkutan yang diperlukan oleh ahli keluarga bagi
membolehkan mereka menjalankan kegiatan harian dengan baik (Tamadun, April
1998:18).
Apabila masalah kewangan sering berlaku dan keadaan
rumah serta persekitaran tidak selesa, ahli keluarga sering mengalami tekanan
emosi. Pergaduhan dan pertelingkahan sering berlaku di antara suami dan isteri
berpunca daripada kekurangan wang. Dalam keadaan begini anaklah yang seringkali
menjadi mangsa. Anak-anak dalam keluarga ini akan menempuh satu suasana yang
tidak stabil, serba kekurangan dan dengan sendiri menimbulkan masalah tingkah
laku mereka.
1.2.2.2 Faktor Rakan Sebaya
Apabila seseorang itu berada di luar rumah ia akan bergaul dengan rakan sebaya.
Rakan sebaya ini terdiri daripada pelajar-pelajar atau remaja yang mempunyai
umur yang hampir-hampir sama di antara satu sama lain. Ahli sosiologi
mengistilahkan rakan sebaya sebagai kumpulan kanak-kanak ataupun remaja yang
mempunyai lingkungan umur yang sama ( Hazil Abdul Hamid : 1990; 89). Kumpulan
rakan sebaya ini mempunyai pengaruh yang kuat dalam menentukan tingkah laku
seseorang kanak-kanak.
Ahli sosiologi mengistilahkan rakan sebaya sebagai kumpulan kanak-kanak ataupun
kumpulan remaja yang mempunyai lingkungan umur yang sama (Hazil Abdul Hamid:
1990; 89). Kumpulan rakan sebaya ini mempunyai peranan dalam aktiviti sosial.
Ia adalah agensi tidak formal yang memberikan pengalaman yang tidak dapat
diperolehi daripada keluarga dan juga di sekolah.
Mustafa Fahmi (1971) menyatakan kanak-kanak atau remaja cenderung menuruti
tingkah laku kumpulan yang mana ia berada di dalamnya. Mereka akan
bersungguh-sungguh mencuba bertingkah laku seperti tingkahlaku kumpulannya.
Mereka juga akan melakukan atau membuat apa yang dilakukan atau dibuat oleh
kumpulannya. Hal ini termasuklah perlakuan atau tingkah laku bermasalah yang
terdapat dalam kumpulan mereka.
Menurut Klausmerier et. al (1975) di dalam hal-hal seperti tanggungjawab moral,
keberanian, kejuran, kemesraan dan lain-lain "para remaja dipengaruhi oleh
pendapat dan pandangan rakan sebaya yang lebih tinggi daripada pengaruh ibu
bapa. Ini bermakna rakan sebaya memainkan peranan penting dan menjadi salah
satu punca kepada permasalah tingkah laku di kalangan kanak-kanak.
Begitu juga halnya yang berlaku di kalangan kanak-kanak berkeperluan khas.
Dengan keadaan mereka yang serba kekurangan sama ada dari segi fizikal, tahap
kemampuan berfikir dan tahap kemampuan mental, kanak-kanak berkeperluan khas
seringkali menjadi rakan sebaya sebagai model dan ikutan mereka apatah lagi
sekiranya keluarga kurang menerima dan memberi perhatian terhadap mereka.
Penerimaan rakan sebaya dianggap sebagai satu penghargaan dan akhirnya
menjadikan rakan sebaya sebagai idola dan ikutan. Akhirnya mereka lebih
cenderung melakukan aktiviti atau tingkah laku yang tidak diingini dan
bermasalah.
Disebabkan tahap kemampuan berfikir yang rendah di kalangan kanak-kanak berekeperluan
khas, mereka adakalanya lebih mudah dipergunakan dan dipengaruhi oleh rakan
sebaya untuk melakukan aktiviti-aktiviti atau perlakuan negatif seperti
mencuri, memeras ugut dan terlibat dalam pergaduhan.
Perkembangan tingkah laku negatif dan penglibatan dengan kumpulan rakan sebaya
negatif boleh difahami melalui rangka kerja yang diperkenalkan oleh
Bronfenbrenner (1979). Menurut teori yang diperkenalkan oleh beliau, seseorang
individu bergaul dengan berbagai sistem dalam kehidupan harian. Mikrosistem
seperti rumah dan sekolah, merupakan perkara yang kanak-kanak akan terlibat
secara terus. Tingkah laku yang dipelajari daripada salah satu mikrosistem akan
terbawa-bawa kepada mikrosistem yang lain.
Dalam keadaan ini, tingkah laku yang dipelajari dari luar, dalam konteks
hubungan rakan sebaya, akan terbawa-bawa ke rumah dan digunakan dalam
menjalankan hubungan dengan ahli keluarga. Begitu juga di mana tingkah laku
yang dipelajari dari rakan sebaya untuk digunakan dalam menjalankan hubungan
dengan guru dan persekitaran sekolah yang boleh menganggu proses pengajaran dan
pembelajaran.
1.2.2.3 Faktor Sekolah
Menurut Kamus Dewan Edisi Tiga (1994) sekolah ialah ‘tempat untuk belajar dan
mengajar’. Dalam seharian hampir separuh masa murid-murid dihabiskan di sekolah.
Sekolah juga memainkan peranan dalam menyumbang kepada berlakunya tingkah laku
bermasalah di kalangan kanak-kanak berkeperluan khas. Jenis kepimpinan dan
suasana sekolah mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak. Contohnya, pengetua yang
tegas melaksanakan disiplin adalah penting bagi menjamin kejayaan perlaksanaan
satu-satu tugas. Sekiranya sebaliknya, menyebabkan kanak-kanak pasif, menarik
diri, takut mengambil bahagian dan lain-lain lagi.
Selain daripada itu persekitaran sekolah yang tenang dan selesa akan membantu
memupuk tingkah laku yang diingini. Saiz sekolah juga memberi kesan kepada
tingkah laku murid. Sekolah yang besar atau keadaan bersesak-sesak mempunyai
pertalian yang disignifikan dengan masalah tidak berdispilin ( Balley, 1971 dan
Reynolds, 1977 )
Iklim kelas yang kemas, selesa dan kondusif akan menyebabkan kanak-kanak dapat
belajar dengan tenang. Sekiranya keadaan kelas tidak kondusif, ini boleh
mengakibatkan timbulnya tingkah laku bermasalah di kalangan kanak-kanak.
Menurut Dunhill ( 1965 ) mendapati keadaan dalam kelas yang tidak dikelolakan
dengan baik akan menimbulkan disiplin kerana keadaan demikian akan menimbulkan
watak yang kurang baik di kalangan murid. Dalam erti kata lain, murid akan
lebih tenang dari segi emosi dan kesediaan belajar apabila keadaan kelas mereka
sentisa dikelolakan dengan baik.
Menurut Teori Pembelajaran Sosial yang dipelopori oleh Albert Bandura individu
bertingkah laku berdasarkan pengalaman dengan melihat orang lain yang dianggap
sebagai model. Guru perlu menjadi model yang terbaik kepada pelajar (Bandura
1977). Pelajar memerlukan sentuhan guru untuk mereka menjadi bertambah baik
daripada sedia ada. Sekiranya semua guru menonjolkan model yang terbaik kepada
murid-murid, maka mustahil pelajar tidak terpengaruh untuk menjadi pelajar yang
baik tingkah lakunya. Ini bermakna guru perlu menjadi model dan contoh yang
terbaik kepada anak didiknya.
Selain daripada itu sikap dan tingkah laku guru juga perlu dipelihara kerana
dengan sikap yang tidak menyenangkan akan menjejaskan tingkah laku kanak-kanak.
Banyak perkara yang dilakukan oleh guru tanpa disedari boleh mengubah tingkah
laku yang tidak menyenangkan. Mereka akan mula bosan, malas dan nakal apabila
berhadapan dengan situasi yang membosankan. Apatah lagi sekiranya kanak-kanak
tersebut adalah kanak-kanak berekeperluan khas. Segala masalah yang timbul juga
perlu ditangani dengan bijak dan adil. Sekiranya keadaan tidak diberi
perhatian, masalah tingkah laku mungkin akan berlaku di kalangan kanak-kanak
berkeperluan khas.
Keadaan di mana guru kurang memberi perhatian dan sering sibuk dengan tugasan
akan menyebabkan murid merasa diri mereka tidak dihiraukan dan menyebabkan
mereka bertindak mengikut kehendak mereka. Guru perlu lebih bijak menangani
masalah dan memberi perhatian yang sepatutnya agar kanak-kanak berkeperluan
tidak rasa tersisih dan terabai. Guru perlu melayan kanak-kanak berkeperluan
khas secara berbeza kerana kepelbagaian masalah kanak-kanak berkeperluan khas.
Mereka perlu dilayan sebagai individu secara berasingan dan bukan secara pukal.
Walaupun agak sukar untuk guru melakukannya kerana jumlah pelajar yang ramai,
namun hakikat yang perlu diterima oleh guru ialah mereka adalah seorang
pendidik dan mampu mengubah pemasalahan yang timbul sekiranya bijak menangani
sesuatu permasalahan itu.
1.2.2.4 Faktor Masyarakat dan budaya
Thrasher ( 1963 ) dan Whyte ( 1943 ) mengatakan apabila salah laku itu sudah
menjadi kebudayaan kecil ( sub-culture ) di sesuatu kawasan itu maka
individu-individu di dalamnya akan menyesuaikan diri dengan keadaan itu.
Persekitaran masyarakat akan mempengaruhi sikap dan tingkah laku kanak-kanak.
Nilai dan taraf tingkah laku masyarakat boleh mempengaruhi kanak-kanak. Sebagai
contoh, kanak-kanak akan lebih mudah dan cepat tepengaruh dengan
perkara-perkara negatif yang terdapat dalam masyarakat sekeliling mereka.
Budaya-budaya yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat juga akan memberi kesan
terhadap tingkah laku kanak-kanak. Sekiranya murid sentiasa terdedah dengan
budaya kurang sihat yang diamalkan masyarakat sebagai contoh budaya gangsterism
dan vandalisme, mereka akan lebih mudah terikut-ikut dengan budaya tersebut.
Budaya dan pengaruh media massa juga menjadi punca kepada permasalahan tingkah
laku kanak-kanak berkeperluan khas. Jika kanak-kanak sentiasa didedahkan kepada
tayangan video atau filem yang berunsurkan pergaduhan, kezaliman dan keganasan,
mereka akan cenderung untuk memperolehi tingkah laku yang agresif. Bandura
(1977), mendapati kanak-kanak akan mencontohi tingkah laku agresif selepas
menonton filem yang berunsurkan aksi agresif (Eron, 1982). Namun begitu
sekiranya ibu bapa mengawal dan memberi penekanan kepada unsur agama,
nilai-nilai murni dan budaya yang positif, maka kanak-kanak yang dibesarkan
dengan kebudayaan ini akan mempunyai tingkah laku yang stabil.
1.2.3 Faktor Pemakanan dan Kesihatan
Makanan seimbang yang disediakan adalah penting untuk perkembangan kanak-kanak
secara keseluruhan. Kekurangan satu-satu jenis makanan boleh menyebabkan
kanak-kanak itu letih dan mudah terkena penyakit. Kanak-kanak yang mendapat
kurang makan khususnya makanan yang berzat selalunya tidak aktif, tidak sihat
dan kurang bertenaga untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan di
sekolah. Kanak-kanak begini lazimnya pemalu, mudah tersinggung dan seringkali
bersedih dan menangis. Ini menyebabkan tehasilnya tingkah laku yang tidak
diingini seperti tidak mahu melibatkan diri, suka menyendiri dan kerap tidak
hadir ke sekolah.
Kesihatan juga amat penting dalam menentukan tingkah laku kanak-kanak
berkeperluan khas. Menurut Belock & Breslow (1972), tabiat kesihatan yang
baik akan mengurangkan risisko penyakit, rasa lebih sihat dan kurang masalah
tidak berupaya. Ini akan menyumbang kepada tingkah laku yang lebih posotof.
Kanak-kanak yang kurang bertenaga disebabkan kerap sakit dan penyakit tertentu
akan berasa malu, bersifat pendiam, mudah marah dan menarik diri. Akibatnya
kanak-kanak berkenaan tidak dapat membina hubungan yang baik dengan kanak-kanak
lain. Dengan itu dia akan berasa sedih dan mengalami kesunyian.
Selain daripada itu, kanak-kanak berkeperluan khas yang mempunyai kecacatan
anggota seperti tempang, sumbing, kudung kaki, tangan dan lain-lain kecacatan
juga akan menunjukkan tingkah laku yang berbeza dengan kanak-kanak normal. Mereka
akan menunjukkan tingkah laku bermasalah seperti pengunduran diri, pengasingan,
rendah diri dan menjadi pasif. Ini disebabkan mereka merasakan kekurangan yang
ada pada mereka membuatkan mereka merasa terasing dan kurang keyakinan diri
1.3 DEFINISI DAN KONSEP PENGURUSAN TINGKAH LAKU
1.3.1 Pengenalan
Pengurusan tingkah laku merupakan satu rancangan untuk memodifikasikan tingkah
laku bermasalah ke satu matlamat yang telah ditetapkan dengan teknik-teknik
atau kaedah-kaedah yang sesuai. Dalam melaksanakan pengurusan tingkah laku,
guru perlu memberitahu murid-murid tentang tingkah laku yang harus diamalkan di
sekolah dan peraturan-peraturan sosial yang harus ditunjukkan di dalam bilik
darjah.
Pengurusan tingkah laku juga adalah tindakan yang dilakukan oleh guru, ibubapa
atau pihak-pihak tertentu untuk membentuk perlakuan luaran atau dalaman
individu atau kumpulan supaya mempunyai tingkah laku yang bermanfaat, produktif
dan diterima oleh masyarakat
Menurut Stone (2007), kalau tingkah laku boleh dipelajari maka sudah tentu ia
juga boleh diubah atau diubahsuai. Kebanyakan tingkah laku berbentuk operan dan
bukannya responden . Oleh itu tingkah laku berubah apabila persekitaran berubah
dan menyediakan konsekuens yang berbeza.
Dalam
menjayakan pengurusan tingkah laku, guru mesti selalu memodelkan tingkah laku
yang positif. Guru juga harus menggunakan contoh-contoh visual dan konkrit
untuk menunjukkan interaksi yang positif dalam sistem persekolahan. Disamping
itu, guru juga harus membetulkan tingkah laku murid yang salah dengan
menunjukkan mereka tingkah laku yang betul.
1.3.2 Definisi Pengurusan Tingkah Laku
“Pengurusan tingkah laku adalah tugas guru untuk menyediakan murid-murid supaya
hendak belajar.”
( Bradley, King, Sears dan Teassier – Switlick, 1997 )
Pengurusan tingkah laku adalah merupakan langkah yang sistematik untuk
mengubah tingkah laku negatif kepada tingkah laku yang positif.”
( Behaviour Modification )
“Pengurusan tingkah laku adalah program tingkah laku yang berbentuk saintifik
yang dibuat secara analisis untuk menghasilkan perubahan tingkah laku sosial
yang positif bagi seorang individu.”
( Bear, Wolf dan Risley, 1968 )
1.3.2 Prinsip-Prinsip Pengurusan Tingkah Laku
Di antara prinsip-prinsip yang diamalkan dalam pengurusan tingkah laku ialah:-
i. Semua tingkah laku adalah dipelajari
ii. Semua tingkah laku adalah ‘stimulus spesifik’
iii. Tingkah laku boleh diajar dan diubah
iv. Matlamat perlu jelas dan specifik
v. Program yang dijalankan perlu secara individu
vi. Program yang dijalankan perlu fokus pada masa kini dan persekitaran
kanak-kanak
1.3.4 Teknik-Teknik Pengurusan Tingkah Laku
Terdapat banyak teknik yang biasanya digunakan dalam pengurusan tingkah laku.
Guru seharusnya bijak memilih teknik yang bersesuaian dengan murid sebelum
pengurusan tingkah laku dijalankan. Guru perlu mengambil kira faktor fizikal,
emosi, mental, tahap keseriusan tingkah laku, faktor persekitaran dan
jangkamasa perlaksanaan sebelum sesuatu pengurusan tingkah laku dijalankan ke
atas murid. Di antara teknik-teknik pengurusan tingkah laku ialah:
i. Ganjaran
ii. Dendaan
iii. Pengasingan
iv. Shaping (Pembentukan)
v. Prompting
vi. Pelenturan
vii. Modeling
viii. Pengasingan
ix. Kontrak perjanjian
x. Kaunseling
1.3.5 Langkah-Langkah Pengurusan Tingkah Laku
Dalam melaksanakan pengurusan tingkah laku adalah menjadi tugas penting guru
untuk meneliti, melakukan penilaian, merancang dan melaksanakan program secara
objektif. Tujuan utama pengurusan tingkah laku adalah untuk mendisiplinkan diri
individu. Dalam tugasan ini, akan disentuh secara terperinci tentang
langkah-langkah dalam melaksanakan pengurusan tingkah laku.
Terdapat beberapa 10 langkah yang telah ditetapkan dalam proses memodifikasikan
tingkah laku murid-murid. Langkah-langkah tersebut ialah :
1. Membuat pemerhatian dan penilaian serta merekodkan tingkah laku bermasalah.
a. Guru harus mengenalpasti tingkah laku bermasalah yang ditunjukkan oleh
murid.
b. Setelah tingkah laku dikenal pasti, pemerhatian dan merekodkan tingkah laku
haruslah dibuat oleh guru.
2. Memilih tingkah laku yang perlu diubah berdasarkan keutamaan
a. Guru hendaklah memilih tingkah laku yang dirasakan perlu diubah terlebih
dahulu mengikut keutamaan.
3. Menentukan tingkah laku sasaran yang hendak dicapai
a. Guru juga harus mengenalpasti dan menetapkan
matlamat tingkah laku yang diingini.
4. Mengenal pasti masa pelaksanaan bagi tiap peringkat
a. Guru haruslah menetapkan masa yang sesuai bagi melaksanakan sasaran yang
telah ditetapkan.
5. Memilih strategi dan kaedah yang perlu diguna pakai
a. Setelah mengenal pasti tingkah laku yang hendak diubah, guru bolehlah
memilih kaedah atau strategi yang sesuai.
6. Menentukan ganjaran dan dendaan
a. Guru juga harus menentukan ganjaran sekiranya berlaku modifikasi tingkah
laku terhadap murid guru juga perlu hendaklah menentukan dendaan yang sesuai
sekiranya modifikasi tinghkah laku tidak berlaku.
b. Contoh ganjaran ialah shaping, token ekonomi, pujian.
c. Contoh dendaan ialah time out, pengasingan.
7. Menjalankan program
a. Program pengurusan tingkah laku boleh dilaksanakan setelah perancangan
disediakan.
8. Melakukan penilaian secara berterusan atau secara berkala
a. Semasa
program pengurusan tingkah laku dijalankan, guru bolehlah melakukan penilaian
secara berterusan ataupun jika tingkah laku itu berkurangan, guru bolehlah
membuatnya secara berkala.
9. Tindakan/ intervensi susulan (berhenti apabila tingkah laku sasaran dicapai)
a. Dari penilaian yang telah dijalankan, guru boleh membuat keputusan dimana
jika tingkah laku sasaran telah tercapai, maka modifikasi tingkah laku telah
berjaya.
10. Memastikan supaya tingkah laku negatif tidak
berulang dan tingkah laku yang telah dipulih (positif) dikekalkan atau
ditingkatkan.
a. Guru harus memastikan tingkah laku negatif itu tidak akan berulang manakala
jika sasaran tingkah laku telah tercapai, guru haruslah mengekalkan atau
meningkatkan lagi tingkah laku positif i
1.4 KEPENTINGAN PENGURUSAN TINGKAH LAKU DAN PERKAITANNYA DENGAN TEORI-TEORI
TINGKAH LAKU
Pengurusan tingkah laku merupakan satu aspek penting yang harus diketahui dan
difahami oleh setiap pendidik. Aspek ini penting kerana ramai guru menghadapi
masalah untuk menangani masalah tingkah laku murid-murid bermasalah
pembelajaran. Apabila keadaan ini berlaku, guru tidak dapat menyampaikan
pengajaran dengan sempurna dan seterusnya boleh mengganggu perasaan dan emosi
guru yang akhirnya menyebabkan guru merasa begitu tertekan.
Pengurusan tingkah laku juga merupakan aspek penting yang perlu dijalankan
kerana ia dapat menjamin suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan afektif.
Persekitaran yang kondusif dan afektif ini akan menjamin pembelajaran yang
lebih selesa.
Tingkah laku bermasalah sekiranya tidak diuruskan dengan bijak akan
mengakibatkan kesan yang lebih buruk di masa hadapan. Apabila seseorang murid
itu sudah biasa dengan tingkah laku bermasalah, situasi ini akan mengundang
masalah dalam perhubungan sosial murid tersebut dengan keluarga, rakan-rakan,
guru dan juga masyarakat amnya. Seorang guru perlu bijak merancang dan memilih
kaedah yang paling sesuai untuk menguruskan sesuatu masalah tingkah laku yang
timbul.
Mengikut pendekatan teori tingkahlaku yang
dipolopori oleh Pavlov, Thorndike dan Skinner berpendapat pembelajaran adalah
berkaitan dengan perubahan tingkah laku. Mereka mengaitkan perhubungan
ransangan dan gerak balas yang menghasilkan perubahan tingkah laku. Setiap
rangsangan menimbulkan tindakbalas dan pembelajaran yang berlaku akibat kaitan
dengan rangsangan dan gerak balas. Sesuatu rangsangan yang berkaitan dengan
rangsangan yang lain akan mendatangkan pembelajaran yang dikenali sebagai
pelaziman. Guru yang kurang daya inisiatif dari segi strategi dan teknik
pengajaran akan gagal untuk menarik dan meransang minat murid-murid untuk
mengikuti proses pembelajaran semasa di dalam bilik darjah. Ini akan
menimbulkan tingkah laku yang tidak diingini. Ini menunjukkan bahawa teori ini
berkait rapat dengan perubahan tingkah laku murid.
Sekinner melalui Teori Pelaziman Operan Skinner (1953) telah menekankan tentang
proses pembiasaan dalam membentuk tingkah laku dan mengemukakan beberapa rumusan
tentang pembelajaran manusia. Menurut Skinner, pembelajaran berlaku melalui
pelaziman dan peneguhan positif pula merupakan rangsangan yang penting dalam
menambahkan kebarangkalian gerak balas pelajar. Oleh itu peneguhan positif
perlu diberi dari semasa ke semasa untuk mengubah tingkah laku yang tidak
diingini sekaligus menjayakan proses pengubahsuaian tingkah lau yang
dijalankan. Manakala peneguhan negatif pula membawa kesan yang tidak
menyeronokkan dan pelajar akan mengulangi tingkah laku operan yang diingini.
Beliau berpendapat bahawa dalam proses pembelajaran, konsep diskriminasi adalah
penting untuk mencapai kejayaan.
Melalui teori Skinner ini, pendekatan yang boleh digunakan dalam proses
pengubahsuaian tingkah laku ialah dengan memberi ganjaran dan peneguhan kepada
murid. Dengan ganjaran dan peneguhan yang bersesuaian, diharapkan dapat
menghapuskan tingkah laku bermasalah yang ditunjukkan. Pendekatan inilah yang
telah saya guna pakai semasa saya menjalankan program pengurusan tingkah laku
ke atas murid-murid pendidikan khas di sekolah saya.