Friday, December 2, 2011

OKU Boleh!!!

Tajuk: Tak tersisih

Oleh Mohamad Danial Mohamad Saad
am@hmetro.com.my
2/12/2011

NIBONG TEBAL: Meskipun menyedari perkhemahan yang disertai dipenuhi aktiviti lasak, ia tidak menghalang seorang anak muda daripada golongan orang kelainan upaya (OKU), bersama-sama 400 penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menyertai Rover Challenge 2001 di Pulau Aman, di sini.

Bokhuri Ali, 23, tetap bersemangat menghabiskan program yang dijalankan selama empat hari walaupun mengalami kecacatan pada tangan dan kaki sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.


Semangat yang ditunjukkan Bokhuri yang menghabiskan hampir semua aktiviti sepanjang program seperti meredah hutan menarik perhatian peserta lain sehingga mereka kagum dengan kesungguhan dan keazaman pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, (Polimas) itu.

Dia yang menuntut dalam jurusan Teknologi Maklumat berkata, kekurangan pada dirinya tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak membabitkan diri dalam aktiviti malah memberi semangat kepadanya untuk bersama-sama peserta lain terbabit dalam program itu.


“Saya mahu membuktikan serta menunjukkan bahawa OKU seperti saya boleh melakukan apa jua aktiviti jika tidak patah semangat.


“Ia diharap menjadi contoh kepada orang lain dan mahu rakan-rakan senasib membuka mata agar turut sama dengan masyarakat dan jangan merasa tersisih disebabkan kecacatan,” katanya yang berasal dari Jitra, Kedah.

Program Rover Challenge 2001 itu dianjurkan Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM), Politeknik Seberang Perai dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Daerah Balik Pulau serta Persatuan Nelayan Pulau Aman dan Kariah Pulau Aman. Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program termasuk menjala ikan, memproses siput kapih, berakit dan perkhemahan.


Majlis penutup program disempurnakan Penolong Ketua Pesuruhjaya Negeri KLKM, Hassan Hashim. Turut hadir Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Seberang Perai, Mohd Najib Yaacob.

Sementara itu, Hassan berkata, Pulau Aman dipilih untuk menjalankan program itu kerana ia memberi cabaran fizikal dan mental kepada peserta.


“Pengalaman yang diperolehi perserta amat berbeza dengan program lain kerana suasana di kawasan pulau ini amat unik.


“Pendedahan cara hidup seharian penduduk tempatan juga memberi pengalaman baru kepada peserta dan saya yakin program ini dapat menerapkan nilai positif kepada peserta,” katanya.

No comments:

Post a Comment