Friday, January 30, 2015

Dari Instagram, kini miliki butik sendiri

  • Fairul Hafizi bersama antara koleksi kasut The Geroboc.Fairul Hafizi bersama antara koleksi kasut The Geroboc.
 1 / 2 
SIAPA sangka pengasas jenama kasut wanita yang menjadi kegilaan ramai di Instagram,  The Geroboc adalah pemuda hanya berusia 25 tahun, Fairul Hafizi Ariffin.

The Geroboc bermula di Instagram pada September 2013 hanya dengan menjual kasut tapak rata atau dikenali sebagai ‘super comfy shoe’ dengan harga serendah RM30 hingga RM80 sepasang.

Fairul Hafizi tidak menyangka jenama kasut itu menjadi kegilaan ramai. Ketika itu, dia masih bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat kewangan.

Mengulas makna The Geroboc, dia  berkata, pilihan nama Geroboc diilhamkan menerusi panggilan lain bagi almari.


Kejayaan hari ini bukanlah semudah disangka, bercerita mengenai sejarah penubuhan The Geroboc, Fairul Hafizi berkata, dia mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dengan hanya menjual pelbagai jenis barangan daripada pakaian sehinggalah kasut.

"Sejak jual kasut,  saya lihat permintaan tinggi. Bermula daripada 50 pasang, 300 pasang sehinggalah 800 pasang kasut semua habis dijual.

"Bermula dari itu, saya sedar permintaan kasut ini tinggi. Sejak itu saya tukar perancangan hanya jual dan memberi tumpuan pada kasut," katanya.

Menurutnya, bagi mendapatkan lebih ramai pelanggan selain daripada menerusi jualan dan promosi atas talian (online), dia turut menjual di tapak niaga Uptown Kota Damansara seorang diri, pasar-pasar malam atau hujung minggu sambil mempromosikan Instagram, The Geroboc.


Kini miliki kedai sendiri

Selain menerusi online, jenama The Geroboc juga kini mempunyai butik sendiri yang berada di The Strand, Kota Damansara.

Pembukaan butik pertama itu pada Ogos lalu diharap dapat memudahkan pelanggan dan peminat kasut mendapatkan koleksi terkini jenamanya.

Pada awal perniagaan, Fairul Hafizi berkata, dia akan sentiasa memastikan kesemua stok kasut habis dijual sebelum menggunakan semula wang itu untuk menggandakan stok seterusnya.

Daripada situ Fairul Hafizi dapat mengumpul wang untuk membuka butiknya sendiri.

“Kini saya mempunyai dua pekerja yang akan membantu saya menguruskan tempahan dan pesanan sama ada di Instagram atau pun yang datang terus ke butik,” katanya.

Fairul Hafizi berkata, pada mulanya tapak butik itu adalah kedai bagi menyimpan stok kasut sejak Jun lalu. Namun, selepas melihat lokasinya yang strategik akhirnya dia membuat keputusan untuk membuka butik.

Sehingga kini, sambutan The Geroboc menggalakkan dan mampu menjual lebih daripada 1,000 pasang kasut sebulan.


Jimmy Choo sumber inspirasi

Menjadikan pereka kasut terkenal, Jimmy Choo sebagai sumber inspirasi, Fairul Hafizi turut merancang membuka rangkaian butik The Geroboc.

Menurutnya, sasarannya adalah membuka butik di tiga negeri yang mempunyai permintaan yang tinggi iaitu Johor, Kelantan dan Pulau Pinang.

"Kita akan lihat sejauh mana permintaan dan jika mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan di negeri-negeri berkenaan.

"Selain itu, saya juga merancang membuka cawangan di Indonesia, Brunei dan Singapura," katanya.

Menurutnya, pemilihan tiga negara itu kerana The Geroboc mempunyai ramai pelanggan dari sana menerusi Instagram.

Katanya, dia menyasarkan meneroka pasaran salah sebuah negara berkenaan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun akan datang.


Ingin jadi jenama pilihan wanita

"Jika boleh, impian saya ingin melihat kasut jenama The Geroboc dimiliki oleh setiap wanita,” katanya.

Fairul Hafizi berkata, bagi mengukuhkan lagi jenamanya di pasaran tempatan dalam usaha bersaing dengan jenama sedia ada.

The Geroboc telah melaburkan kira-kira RM50,000 daripada wang perniagaan dan simpanannya sendiri untuk meningkatkan pemasaran jenama itu.

Setakat ini, The Geroboc  mempunyai hampir 84,000 pengikut di Instagram.

“Selain jumlah ‘follower’ menjadi faktor untuk melariskan jualan,  kualiti yang ditawarkan juga perlu diambil kira.

"Saya akan memastikan kasut-kasut yang dijual benar-benar selesa selain dijual pada harga yang berpatutan," katanya.

Kasut jenama The Geroboc kini dijual serendah RM79 sehingga RM109 sepasang.

Fairul Hafizi berkata, kesemua kasut jenamanya direka sendiri dan dikilangkan di tiga negara iaitu Vietnam, China dan Thailand.


Jangan ambil mudah ketika berniaga

Bagi usahawan baharu yang mula berjinak-jinak dengan perniagaan online, Fairul Hafizi menasihatkan peniaga usah mengambil kerja mudah ketika menjalankan perniagaan.

“Jika ingin meniaga, produk mesti ada. Harus mengenali produk sebelum memasarkannya. Ini memudahkan kita berurusan dengan pelanggan yang bertanyakan tentang produk itu.

“Lebih elok jika kita memuat naik gambar asli yang dirakam sendiri. Ada yang sanggup mencuri gambar daripada peniaga lain atau menggunakan gambar di internet untuk meyakinkan pelanggan. Jika pelanggan merasa tertipu atau terpedaya, ini hanya memburukkan perniagaan kita sendiri,” katanya.


Sumber - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment