RAMAI ibu bapa yang memiliki anak-anak autisme buntu mengenai bagaimana cara penjagaan anak ini. Hasilnya, ramai kanak-kanak autisme disisihkan dan tidak diberikan pendidikan yang sewajarnya.

Mereka dilabel cacat, malah di sekolah guru lebih mengenali kanak-kanak ini sebagai murid bermasalah.

Secara ringkasnya autisme adalah sejenis penyakit yang melibatkan kecacatan neurologi iaitu satu kecacatan yang tidak kelihatan. Ia ditakrifkan sebagai kecacatan perkembangan yang melibatkan otak atau dalam bahasa saintifiknya Pervasive Developmental Disorder (gangguan perkembangan menyeluruh).

Secara amnya, kebanyakan pesakit autisme mengalami masalah dari segi komunikasi, emosi, karakter diri dan perhubungan sosial. Autisme jarang dikesan pada peringkat awal oleh ibu bapa. Anak-anak autisme hanya memperlihatkan tanda-tanda seawal 5 hingga 6 bulan dan ia dapat dikesan seawal 3 tahun.

Banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan program untuk autisme tetapi, lebih menumpukan kepada pembangunan pesakit tersebut. Mereka menyediakan pendidikan dan di akhirnya pesakit autisme mampu menguruskan diri sendiri.

Berdasarkan pengalaman penulis, apabila anak didiagnosis, ibu bapa tidak tahu apa hendak buat. Mereka tidak tahu ke mana harus dituju. Emosi mereka tidak stabil.

Itulah yang terjadi pada penulis dahulu. Sewaktu anaknya didiagnosis sebagai autisme, dia juga buntu dan hilang arah. mereka merujuk pada doktor dan disuruh melakukan terapi di hospital kerajaan. Tetapi, di hospital, kepakaran dan kemudahan agak terhad dan pesakit pula ramai. Ini menyebabkan pesakit hanya boleh melakukan terapi lebih kurang sekali sebulan sahaja.

Ibubapa perlu ada ilmu maka mereka menjaga dan didik anak autisme, kebergantungan kepada terapi di hospital itu akan berkurang.


Di Malaysia, kesedaran agak kurang namun dari masa ke masa ia semakin berkembang. Cuma, ibu bapa kena sabar. Cabarannya memang banyak. Misalnya terdapat segelintir sekolah, walaupun ada kelas pendidikan khas, tetapi mereka hendakkan kriteria yang rumit. Hendak yang pandai mengurus diri dan sebagainya. 

Diharapkan masyarakat agar tidak memandang negatif kepada pesakit ini. Anak-anak autisme punyai kelainan pada cara berfikir dan melakukan sesuatu. Justeru, sokongan dan kesedaran masyarakat amat penting untuk membantu pesakit autisme menjalani hidup.


Sumber - Sinar Harian