Wednesday, February 15, 2012

Al-Fatihah buat DJ ABDUL RAZAK ARBAIN, IKIM fm.

IKIMfm menerima berita yang menyedihkan di awal pagi tadi apabila penyampainya Dj Abdul Razak Arbain telah menyambut panggilan ilahi. Beliau dikatakan terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lagi motosikal. Difahamkan menjadi rutin arwah untuk menghantar anaknya ke sekolah setiap pagi dengan motorsikalnya. Beliau meninggal dunia dalam usia 46 tahun.

Arwah yang merupakan Juruhebah Sambilan di IKIMfm telah berkhidmat sejak 3 Julai 2006. Sebelum berkhidmat di IKIMfm, beliau merupakan anggota tentera dan pernah ditempatkan di beberapa kem tentera seperti di Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu DiRaja, Kem Rasah, Kem Wira Waja Janda Baik dan lain-lain. Beliau juga pernah bertugas sebagai juruhebah Radio Kementah (Mindef) di Cawangan Perhubungan Awam(PR).

Arwah Razak cukup disenangi peminat kerana begitu mesra melayan setiap panggilan dan permintaan pendengar. Beliau seorang yang tidak lokek senyum dan amat mesra dengan setiap orang ditemui. Di kalangan rakan sekerja, beliau merupakan rakan yang suka menolong dan membantu orang lain, walaupun ada ketikanya menyusahkan diri beliau sendiri. Setiap kali pertolongan diperlukan dari beliau, jarang beliau membantah atau memberi alasan tidak mampu melaksanakannya melainkan beliau menghulurkan bantuan dengan sepenuhnya. Ini diakui sendiri oleh Pengarah Radio IKIMfm, Encik Nik Roskiman Abdul Samad, bahawa arwah adalah antara rakan sekerja yang terbaik dan sentiasa mudah mengikut arahan.

Arwah juga sentiasa ikut serta turun padang bersama para penyampai IKIMfm yang lain. Terbaharu dan terakhir ialah apabila beliau bersama dalam program Bonanza Amal Hope 2 Walk di Muzium Negara, program anjuran Islamic Aid Malaysia dan IKIMfm dalam mencari dana membantu adik Annur yang mengidap Celebral Palsy.

Pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar untuk IKIMfm dan bukan sahaja ditangisi oleh rakan sekerja tetapi oleh ribuan pendengar setia IKIMfm dan peminat beliau yang sentiasa ternanti-nanti kemunculan beliau di ruang udara.

Beliau yang dilahirkan pada 13 Mac 1966 meninggalkan seorang balu, Rosnani binti Haji Dali dan tiga orang anak, 2 perempuan dan seorang lelaki.

Moga-moga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Abdul Razak Arbain dan menempatkan rohnya bersama orang-orang solihin. Sama-sama kita hadiahkan al-Fatihah untuk almarhum.


"Antara gambar terakhir Arwah Dj Abdul Razak Arbain (kanan sekali) yang dirakamkan ketika beliau turut serta dalam program Bonanza Hope 2 Walk yang diadakan di Muzium Negara pada 4 Februari lalu anjuran Islamic Aid Malaysia (AIM) dan IKIMfm. Kelihatan dalam gambar ialah Dj Fairuz, Dj Erwan dan adik Annur Mohd Affandi, yang mengidap lumpuh otak (cerebral palsy)."


Berita HARIAN METRO:

Juruhebah IKIMfm Abdul Razak Arbain meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Juruhebah Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Abdul Razak Arbain meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku di Taman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bukit Jalil, di sini, awal pagi tadi.

Kemalangan tersebut berlaku pada jam 7.15 pagi ketika motosikal yang ditunggang Abdul Razak bertembung dengan motosikal lain sewaktu beliau dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah, menurut kenyataan IKIM.

Abdul Razak, 46 memulakan tugas sebagai juruhebah di IKIMfm sejak tahun 2006 dan merupakan seorang juruhebah yang disegani ramai melalui slot kendaliannya 'Dini Hari' yang ke udara setiap Selasa dan Rabu, jam 2 hingga 6 pagi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, dan tiga orang anak yang berusia antara 10 dan 19 tahun.


Catatan:

Jumlah pengunjung terbanyak melayari laman ini setakat ini berjumlah 313 org pd 16/2/2012 jam 2146 yg bersama2 menghulurkan Af-Fatihah buat Arwah Dj Razak.

No comments:

Post a Comment