Wednesday, January 25, 2012

Tutur kata baik menunjukkan akhlak mulia mukmin

Tutur kata baik menunjukkan akhlak mulia mukmin
Oleh Mohd Kamel Mat Salleh
2012/01/25

SIFAT orang yang beriman sangat banyak disebut di dalam ayat al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW. Ini menunjukkan bahawa seseorang Islam perlu memiliki pakej yang lengkap untuk melayakkan mereka menjadi seorang mukmin yang sebenar.

Antara sifat orang yang beriman ialah bercakap benar dan menjauhi dusta, bohong dan kata-kata palsu. Ini menggambarkan bahawa Islam amat menekankan kepada pembinaan akhlak mulia melalui penjagaan tutur kata yang baik. Justeru, apabila ada orang yang sikapnya selalu bercakap bohong, adu domba, mengumpat, menyebarkan fitnah dan khabar angin yang semuanya berpunca dari lisan adalah tidak menggambarkan akan kebaikan dirinya sebagai orang mukmin.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata yang baik, atau hendaklah ia diam” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menjelaskan nilai peradaban yang cukup tinggi kerana mulut yang baik sebenarnya bukan hanya bermanfaat kepada individu itu sendiri malah akan dapat menjaga keharmonian berkeluarga, sahabat handai, teman sekerja, masyarakat setempat dan keseluruhan umat Islam itu sendiri.

Dalam hal ini Imam al-Syafie ada menyatakan bahawa hadis ini bermaksud, apabila seseorang itu mahu berkata-kata hendaklah ia berfikir terlebih dulu. Jika tiada apa-apa yang bahaya pada kata-katanya itu bolehlah ia meneruskan perbicaraannya, tetapi jika kata-katanya boleh mengundang bahaya dan masalah kepada orang lain, lebih elok ia berdiam diri saja.

Hadis ini amat sinonim dengan hadis lain yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Di antara keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan apa-apa yang tidak berguna kepada dirinya”. Termasuk menolak perkara yang tidak mendatangkan apa-apa faedah ialah meninggalkan kata-kata dusta yang menyakiti orang lain.
Memutar belit kata-kata digambarkan oleh al-Quran sebagai sifat dan perangai orang kafir, munafik, Yahudi dan Bani Israel. Kaum ini memang terkenal dengan pembohongannya kepada Allah dan sekalian Rasul yang diutuskan kepada mereka. Walaupun telah berjanji untuk taat dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya, namun akhirnya mereka berpaling dan bersifat talam dua muka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Di antara manusia ada yang mengatakan: kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu diri sendiri sedang mereka tidak menyedari” (Surah al-Baqarah : 8-9).

Keburukan sifat mereka ini dilanjutkan seterusnya dalam ayat 11-14 surah yang sama. Kisah orang Yahudi dan Bani Israel bersama Nabi Musa ada dinukilkan dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 40-61. Putar belit mereka dalam isu penyembelihan sapi betina dirakamkan dalam ayat 67-74.

Apabila keburukan perilaku ini diulang-ulang pada ayat dan surah yang lain menjelaskan bahawa sifat berkata dusta adalah satu yang amat dilarang dan mesti dijauhi dari menghiasi setiap individu Muslim.

Mengumpat atau memperkatakan yang buruk di belakang orang adalah antara dosa mulut yang dilarang Allah SWT. Yang menjadi satu kehairanan ialah bukan sedikit manusia Muslim yang mengetahui akan dosa ini tetapi entah di mana silapnya, semakin dijelaskan kesan perbuatan mengumpat, semakin seronok pula mulut berbisik-bisik menceritakan keburukan orang lain.

Surah al-Hujurat mengandungi mesej yang sangat bermakna kepada kaum muslimin untuk mengawal lisan daripada berkata-kata yang tidak baik. Firman Allah SWT dalam ayat 2-3 dalam surah ini mendidik para sahabat agar tidak meninggikan suara melebihi suara Nabi SAW.

Dalam ayat 6, Allah SWT memberi amaran kepada kaum muslimin agar tidak mudah menerima perkhabaran yang datang dari orang fasik, yang pastinya khabar angin dan fitnah itu datang dalam bentuk berita yang dihimpunkan dalam bentuk lisan oleh orang yang membawa cerita.

Firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak tertimpa dengan satu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu akhirnya menyesal atas perbuatanmu itu” (Surah al-Hujurat : 6).

Ayat itu sebenarnya ada sabda nuzulnya (sebab penurunan). Seorang pemuda bernama al-Harith telah memeluk Islam dan berjanji kepada Rasulullah akan mengislamkan serta mengumpulkan zakat kaumnya yang memeluk Islam. Sampai waktu yang dijanjikan, Rasulullah menghantar al-Walid bin Uqbah untuk memungut zakat yang dijanjikan. Dalam perjalanan al-Walid ke perkampungan al-Harith, beliau tiba-tiba merasa takut dan bimbang lantas pulang semula ke Madinah dengan membawa khabar palsu bahawa al-Harith enggan membayar zakat malah mahu membunuhnya.

Imam Fakhurrazi menyebut bahawa al-Walid nampak penduduk kampung al-Harith berkumpul beramai-ramai yang sememangnya menunggu kedatangan wakil Rasulullah untuk membayar zakat, tetapi al-Walid menyangka bahawa kaum al-Harith mahu menyerangnya lalu pulang terus ke Madinah.

Mendengarkan cerita ini lantas Rasulullah SAW. menghantar sekumpulan tentera untuk memerangi al-Harith. Beliau kemudian memaklumkan kepada Rasulullah bahawa tiada sesiapa pun wakil yang datang memungut zakat yang dijanjikan. Ini bermakna al-Walid telah melakukan pembohongan dan turunlah ayat 6 surah al-Hujurat.

Akibat dosa lisan juga, keharmonian rumah tangga Nabi SAW berkocak lantaran buah mulut yang dibawa kononnya Saidatina Aisyah berlaku tidak baik dengan sahabat yang bernama Safwan bin Ma’tal. Peristiwa al-ifk ini memberi kesan yang sangat besar betapa bahaya lisan ini jika tidak dibendung boleh menyebabkan keruntuhan sebuah keluarga. Begitu hebat bahana fitnah yang tidak kenal sesiapa walaupun Nabi dan isteri Baginda sendiri.

- Penulis ialah Penolong Pengarah, Pusat Pemantapan Akidah (JAKIM), Jelebu, Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment