Sunday, January 1, 2012

OKU perlu tukar kad baru

Oleh : ZUBIR SULAIMAN
Tarikh : January 2, 2012
oku

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menasihatkan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dapat menukarkan kepada kad OKU baru dalam usaha memastikan golongan itu mendapat akses terbaik bagi mendapatkan pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan.

Pengarahnya, Zuhami Omar berkata, proses penukaran kad baru ini sudah bermula sejak Ogos lalu dan sehingga kini lebih 1,000 ahli sudah menggunakan kad baru yang lebih berkualiti mirip MyKad.

Justeru katanya, mana-mana OKU yang sudah berdaftar mahupun belum, diharap dapat berbuat demikian di pejabat JKM berdekatan atau boleh mendaftar secara dalam talian bagi mempercepatkan mereka mendapat kad tersebut.

“Sehingga kini seramai 10,000 OKU sudah mendaftar dengan JKM di negeri ini dan kita yakin menjelang pertengahan 2012 nanti, kita mampu menyelesaikan semua urusan menukar kad lama kepada kad yang baru ini.

“Dengan kad ini, golongan OKU layak memohon pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan khusus untuk mereka termasuk elaun untuk pekerja kurang upaya, elaun penjaga pesakit kronik dan insurans sebagaimana disebut dalam Bajet 2012,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari OKU 2011 Peringkat Negeri Terengganu di sini, kelmarin.

Hadir sama, Isteri Setiausaha Kerajaan Negeri, To’ Puan Rohani Abdullah dan Pengerusi Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Mohd Fauzi Mansor.

Dalam pada itu, Zuhami berkata, sepanjang tahun ini kerajaan telah memperuntukkan hampir RM10.5 juta di negeri ini dalam menyalurkan bantuan kepada golongan OKU yang layak mengikut jenis bantuan yang diluluskan JKM.

Menurutnya, sehingga Disember 2011, seramai 3,370 penerima sudah menerima bantuan masing-masing melibatkan pelancaran geran bantuan sebanyak RM380,000 (163 penerima), elaun pekerja cacat RM9.4 juta (2,893) dan bantuan alat tiruan RM700,000 (314).

“Selain itu, kita juga menyalurkan bantuan kepada lebih 1,400 kanak-kanak OKU di 40 Pusat Dalam Komuniti (PDK) yang beroperasi di negeri ini melibatkan pelbagai aktiviti sepanjang tahun.

“Sehubungan itu, kita berharap ibu bapa, pemimpin masyarakat dan mereka yang berkenaan dapat menyalurkan maklumat jika masih ada OKU yang belum mendaftar supaya berbuat demikian di pejabat kebajikan berhampiran agar bantuan dapat disalurkan kepada mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment