Friday, January 13, 2012

Anak buang ibu-bapa


Apalah nasibku ini....!

Setelah hampir 20 tahun saya bekerja di bidang perubatan, saya didedahkan dengan pelbagai pengalaman yang mengembirakan dan juga yang sangat menyedihkan hati.

Seperkara yang menyedihkan saya ialah apabila menyaksikan semakin ramai ibu-bapa yang dibuang oleh anak-anak mereka sendiri samada di hospital, rumah orang-orang tua dan ada juga yang dibuang ke masjid atau ke surau.

Kalau dulu, perkara seumpama ini banyak berlaku di kalangan masyarakat Cina terutamanya di kalangan mereka yang berada tetapi kini ianya telah menular kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam.

Semakin kerap kedengaran berita anak-anak yang sibuk dengan kerjaya mereka menghantar ibubapanya ke rumah kebajikan orang tua. Apalagi apabila anak yang beragama Islam itu menghantar ibu atau ayahnya ke rumah kebajikan orang tua bukan Islam yang menjadi pilihan untuk dia membuang orang tuanya !

Tidakkah mungkin mereka berusaha mendapatkan pembantu rumah yang boleh menjaga dan membantu urusan kehidupan orang tua yang dahagakan kasih sayang mereka dan cucu-cicit mereka ?

Sudah tiada tempatkah untuk orang tuanya di rumah kebajikan Islam? Mungkin juga dia merasakan orang tuanya akan dapat layanan terbaik di sana atau ada niat yang tersirat dalam memerli orang tuanya?

Saya sangat khuatir bahawa anak-anak yang kurang adab dan akhlaknya kepada orang tua mereka ini akan menerima nasib yang sama atau mungkin lebih teruk apabila mereka sendiri meniti usia senja nanti…..!

Bapa malang yang ditinggalkan, bahkan duit juga dikebas anaknya...

Kasihanilah ibu bapa dan garaplah kehebatan syurga melalui kasih-sayang dan bersabar dengan karenah ibu bapa yang berada di penghujung usia.

Sesungguhnya budaya menghormati dan mengasihi ibu bapa akan mewujudkan suasana yang harmoni, damai dan tenang dalam keluarga. Mari kita perhatikan maksud hadith Rasulullah saw ini sebagai peringatan kepada kita dalam menjaga adab dan berkasih-sayang dengan ibu bapa.

“Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Hadis riwayat Tabrani).

Dalam hadith yang lain, baginda mengatakan bahawa perbuatan menderhaka kepada kepada ibu bapa merupakan maksiat yang akan di balas dengan segera di dunia ini.

“Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Ingatlah saudaraku,

Syurgamu kelak adalah pada redha ibumu, redha ibumu, redha ibumu dan juga pada redha bapamu…..!

No comments:

Post a Comment