Thursday, January 26, 2012

Perlukah Pekerja

Semalam saya duduk-duduk dan minum dengan saudara Hilmi Isa, iaitu penulis bersama buku 'PIKAT REMAJA DENGAN KATA-KATA'. Beliau memberitahu saya bahawa ada trainer yang memaklumkan padanya bahawa seorang trainer cukup dengan bekerja sebagai 'freelance' sahaja, tidak perlu susah-susah cari pekerja dan bayar gaji. Tetapi katanya, dia tengok saya pula bertindak sebaliknya. Saya ada staf, ada ofis dan ada bilik latihan yang lengkap. Soalannya, "Tidakkah ini menyusahkan Dr.?".

Jawapan saya:

Saya sentiasa berpandukan kepada hadis berikut:

Hadith :
Dari Hakim bin Hizam r.a katanya:”Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya.”

(al-Bukhari)

Apabila saya ada pekerja, saya berkongsi sebahagian daripada rezeki yang Allah berikan melalui bakat dan kebolehan saya dengan orang lain. Saya harap Allah pandang perbuatan saya itu sebagai satu ibadah.

Apabila saya ada perkerja, mereka sentiasa doakan murah rezeki dan secara tidak langsung mendoakan juga saya dan tempatnya bekerja.

Apabila saya ada pekerja, saya tidak perlu lakukan semua perkara sendiri. Saya boleh fokus kepada perkara yang memerlukan daya intelek dan kekuatan akal saya.

Apabila saya ada pekerja, saya memiliki satu keluarga yang besar yang apabila melihat anak-anak mereka membesar dan bersekolah melalui rezeki yang diterimanya membuatkan hati saya bahagia.

Apabila saya ada pekerja, kalau Allah mahu tutup rezeki saya, bermakna Allah juga menutup rezeki mereka yang menumpang saya. Pekerja saya adalah benteng rezeki saya.

Sebab itulah saya sayang pekerja saya. Mereka adalah keluarga saya. Saudara saya. Kehidupan saya.

sekian.

Rujukan: Dr. Tengku Asmadi bin T. Mohamad

No comments:

Post a Comment