Saturday, January 7, 2012

Tips Memotivasi Anak Belajar

Pejam celik, pejam celik.. cuti panjang persekolahan 2011 dah pun berakhir. Kini ibu bapa mulai sibuk membuat persiapan terakhir buat anak-anak yang mulai bersekolah minggu ini. Persiapan tidak seharusnya tertumpu kepada barang-barang keperluan sekolah semata-mata. Persediaan mental yang berupa motivasi juga perlu diberi perhatian terutama bagi anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan besar tahun 2012. Ada kanak-kanak yang mempunyai motivasi belajar yang konsisten, ada pula yang sebaliknya. Walaupun ibu bapa tidak mampu menyumbang 100% motivasi kepada anak untuk belajar, sekurang-kurangnya dapat membantu meningkatkan motivasi anak-anak mereka dengan keupayaan yang ada. Berikut adalah beberapa langkah mudah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk memotivasi anak belajar.

1. Penetapan matlamat. Sekiranya anak-anak mempunyai cita-cita yang tinggi dan jelas, mereka akan mempunyai semangat belajar yang tinggi berbanding dengan anak-anak yang kabur tentang cita-cita dan matlamat hidup. Bantu mereka untuk menentukan matlamat dan cita-cita, perkukuhkan dari semasa ke semasa.

2. Menyediakan tempat belajar yang mempunyai persekitaran belajar yang sesuai untuk pembelajaran. Tidak semestinya bilik khas yang mewah, meja makan juga boleh dimanfaatkan sebagai meja belajar. Yang penting cukup cahaya, pengudaraan yang baik, jauhkan daripada kebisingan, tv, video games dan seumpamanya ketika belajar.

3. Menetapkan masa, dan belajar bersama. Ibu bapa perlu berbincang dan menetapkan masa belajar anak. Peruntukkan masa belajar bersama anak-anak bagi mendorong semangat belajar.

4. Menghargai usaha anak. Memuji pencapaian dan bukan hanya memuji kemampuan otak. Kadang-kadang kepintaran anak tak seberapa menyerlah, oleh itu dengan memuji usaha yang dilakukan akan meningkatkan prestasi mereka untuk pencapaian yang seterusnya. Contohnya “Tahniah kerana Farid telah berusaha menulis dengan kemas sekali”… ini adalah kata-kata pengukuhan untuk mengekalkan tabiat baik anak tersebut.

5. Gunakan perkara-perkara kesukaan mereka untuk mendorong diri mereka belajar. Katakan mereka suka bermain games, beri peluang mereka bermain games minda setelah selesai 1-2 jam belajar. Sekiranya mereka suka sesuatu barang permainan, hadiahkan permainan tersebut setelah mereka dapat menunjukkan sesuatu pencapaian yang memuaskan atau menunjukkan prestasi yang baik.

6. Tidur dan rehat yang mencukupi. Nampak macam remeh, tetapi tidur yang cukup juga mampu meningkatkan motivasi anak belajar serta bersedia menghadapi pembelajaran keesokan harinya……

Demikianlah beberapa langkah mudah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mendorong anak belajar … Semoga ianya dapat dipraktikkan.

“SELAMAT TAHUN BARU 2012”

No comments:

Post a Comment