TIADA siapa menyangka, seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang asyik membelek teropong mainan itu merupakan anak autistik.
Jika ditilik secara fizikal, Umar Hasfizal kelihatan seperti kanak-kanak seusianya, aktif ke sana-sini dan hanya mahu berseronok.
Saat merapati pelajar tingkatan satu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur itu, lahir perasaan luar biasa yang sukar digambar dengan kata-kata ketika itu.
Sedikit terkejut apabila melihatkan si autistik itu seorang yang mudah mesra dan tidak ragu-ragu bertanya pelbagai soalan kepada penulis.
Walaupun pada mulanya Umar agak malu-malu untuk menjawab soalan yang diajukan, namun selepas diyakini oleh ibunya, dia semakin selesa berkomunikasi.
“Umar tidak banyak kerenah, dia mudah bergaul dan sangat peramah jika dia selesa dengan orang tersebut.
“Mungkin segelintir kanak-kanak autistik mengalami masalah membaca dan menulis, tetapi Umar cepat belajar malah dia juga belajar bersama-sama pelajar normal dalam kelas yang sama,” jelas ibu Umar, Marina Ariff.
Bukan personaliti Umar saja yang menjadikannya istimewa malah, bakat nyanyian yang dimilikinya turut membuatkan orang ramai kagum dengan anak sulung daripada tiga beradik itu.
“Umar amat meminati lagu-lagu Maher Zain, kumpulan Search dan Wings,” tambah Marina lagi.
Bakat muzik Umar tidak terhad terhadap seni suara sahaja, tetapi dia juga mempunyai kebolehan bermain keyboard dan mengenali not-not muzik walaupun baharu kali pertama mendengarnya.
Bagi Abraham Isaac Pereirra, kanak-kanak autistik berusia 12 tahun, ternyata penyakit tersebut tidak menjadi penghalang untuknya berinteraksi dan mengumpul sahabat baru.
Ibu kepada Abraham, Dorothy Dass mengakui, pada awalnya anak bongsu itu memang pernah mengalami masalah untuk berinteraksi.
“Selepas menjalani terapi selama dua tahun, dia semakin pulih dan kini dia hanya mengambil ubat khas bagi mengawal tingkah lakunya.
“Abraham seorang yang berdikari dan dia tidak terlalu bergantung kepada orang bagi melakukan kebanyakan aktiviti hariannya.
“Dia juga amat menggemari mata pelajaran Sains dan Matematik. Lebih mengagumkan apabila dia sudah boleh membaca ketika umurnya baru mencecah tiga tahun,” katanya.
Atasi agresif
Persepsi awam melihat pesakit autisme sebagai kanak-kanak yang sukar untuk bertoleransi dan sukar untuk dikawal memang benar. Namun, sifat agresif dalam diri mereka boleh dibendung menerusi pelbagai cara.
Cara terbaik adalah membiarkan kanak-kanak autistik tersebut bersosial bersama-sama kanak-kanak lain agar mereka dapat membina keyakinan dalam diri.
Menyedari agak sedikit ruang yang diperoleh oleh pesakit autisme untuk bersosial, Suria KLCC mengambil inisiatif menganjurkan Program Amal Teddy Bear dan Kawan-kawan di Luar pada 12 Jun lalu.
Seramai 13 orang kanak-kanak autistik dan 30 penghuni Rumah Titian Kasih diberi peluang bergembira dan berkenalan bersama kira-kira 400 kanak-kanak lain yang turut sama memeriahkan program tersebut.
Aktiviti luar program tersebut diadakan di Taman KLCC sementara aktiviti dalam dijalankan di Dewan 2, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Penganjuran kali ke-11 program tersebut difokuskan kepada pengumpulan dana buat Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) yang disasarkan sebanyak RM20,000.
No comments:
Post a Comment