Tuesday, November 29, 2011

Hari Ungu untuk anak autisme














RUANG legar Suria KLCC iaitu pusat membeli-belah yang menjadi mercu tanda ibu negara Kuala Lumpur bertukar wajah apabila disimbahi warna ungu bermula 10 hingga 13 November lalu.

Lazimnya ruang legar tengah Suria KLCC itu hanya menjadi medan lalu lalang pengunjung namun, selama tiga hari aura ungu sangat dominan di ruang tersebut lantaran berlangsungnya Kempen Purple Day 2011 atau Hari Ungu.

Tahun ini merupakan tahun kedua Suria KLCC meneruskan inisiatifnya bagi mengumpul dana sebanyak RM100,000.

Dana yang terkumpul sepanjang kempen diadakan akan disalurkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (National Autism Society of Malaysia) atau Nasom.

Kempen itu diperkenalkan buat julung-julung kalinya pada tahun 2010 untuk membantu Nasom mendidik ibu bapa dan masyarakat Malaysia mengenai autisme.

Membantu anak austisme

Hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Zainal Ariffin Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien dan Pengerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia, Teh Beng Choon.

Autisme merujuk kepada gangguan perkembangan otak yang dicirikan dengan masalah hubungan sosial, komunikasi, emosi, kurang kebolehan imaginasi dan bermain. Penghidapnya juga menunjukkan tingkah laku terhad dan berulang, biasanya berkaitan minat, aktiviti dan perangai.


Anak autisme sering dilabel sebagai kanak-kanak berkelakuan pelik, berada dalam dunianya sendiri dan berkemungkinan besar keciciran dalam pelajaran.

"Pada tahun lalu, kami berjaya mengumpulkan RM42,448 untuk membantu kanak-kanak autisme di Malaysia.

"Kami percaya autisme adalah pilihan tepat bagi inisiatif kemasyarakatan kami. Dengan adanya sokongan padu daripada para penyewa kami serta orang ramai, kami berharap dapat membantu anak-anak autisme menjalani kehidupan yang lebih bermakna," kata Andrew.

Tambahnya, pada tahun ini, pihaknya telah memanjangkan tempoh kempen Purple Day agar lebih ramai pelanggan berpeluang untuk menyertainya.

"Dengan sokongan mereka, kami berupaya untuk mengumpulkan lebih banyak dana buat Nasom dan membantu mereka menyebarkan informasi mengenai autisme," ujarnya.

Pelbagai aktiviti berinformasi dan menyeronokkan disediakan oleh Suria KLCC buat para pengunjungnya dari 10 November hingga 13 November lalu.

Selain menambah pengetahuan mengenai autisme, para pengunjung juga berpeluang untuk beramal.

Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah pameran, jualan hasil karya seni dan persembahan nyanyian oleh kanak-kanak autisme, pertunjukan fesyen dan galeri informasi autisme.

KAKITANGAN Suria KLCC membantu seorang pengunjung cilik untuk bermain permainan yang disediakan.

Orang ramai yang ingin menderma boleh menyertai pelbagai aktiviti menyeronokkan yang disediakan di gerai-gerai sekitar kawasan ruang tengah Suria KLCC dengan bayaran RM3.

Mereka yang berminat untuk bergambar bersama The Purple Man hanya perlu membayar RM5, manakala mereka yang ingin bergambar bersama artis tempatan seperti Hillary Ang dan Cromox hanya perlu membayar RM10.

Orang ramai juga boleh membeli baju T hasil karya adik Akhtar dari Nasom pada harga RM30, manakala beg tote Purple Day dijual pada harga RM25.

Bagi pengunjung Suria KLCC yang didapati memakai apa sahaja barangan berwarna ungu, mereka bakal menerima hadiah misteri daripada Suria KLCC.

Para pembeli yang membelanjakan RM500 ke atas (gabungan dua resit) pula akan menerima hadiah eksklusif Purple Day.

Turun padang gotong-royong

KANAK-KANAK teruja dan seronok menerima belon daripada badut sempena sambutan Hari Ungu.

Selain mengumpulkan wang bagi membantu kanak-kanak autisme, kakitangan Suria KLCC tidak melepaskan peluang turun padang berkunjung ke pusat vokasional dan empat buah rumah pendidikan Nasom yang terletak di Bandar Puteri Klang, Selangor pada 11 November lalu sejajar dengan inisiatif kemasyarakatannya.

Antara aktiviti yang dilakukan termasuklah membersih, mengecat serta membaiki kerosakan yang terdapat di pusat vokasional dan rumah-rumah pendidikan tersebut.

"Memandangkan banyak waktu dihabiskan oleh kanak-kanak ini di pusat vokasional dan rumah-rumah pendidikan ini, memang wajar bagi kami melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat membantu menyediakan suasana pembelajaran yang bersih, selesa dan menyeronokkan," kata Andrew yang turut mengeluarkan peluh di Pusat Nasom untuk mencuci van untuk kegunaan kanak-kanak pusat tersebut. - NURUL IZZA ROSLI (KOSMO

No comments:

Post a Comment