Sunday, November 27, 2011

OKU sepakat berdikari



Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 19, 2011
OKU sepakat berdikari

GEORGETOWN – Bagi anda yang mahu melihat sendiri bagaimana orang kurang upaya (OKU) memberikan perkhidmatan mencuci pakaian kini bolehlah mencubanya di Komtar.

Kira-kira tiga hingga lima OKU di sana menyediakan perkhidmatan dobi kepada orang ramai.

Salah seorangnya, Chen Soon Mei, 27, berkata, dia berlatih mencuci pakaian dalam beberapa minggu.

Menurutnya, pendorong utamanya untuk berjaya ialah rakan-rakan dan juga ketuanya di Kedai OKU Dobi berkenaan.

“Saya belajar sehingga tamat tingkatan lima dan kemudiannya hanya duduk di rumah sahaja.

“Dengan adannya peluang sebegini, saya mampu mendapatkan wang tambahan untuk diri sendiri selain seronok meluangkan masa memberikan bantuan kepada orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian.

Kedai ini diilhamkan Pengerusi Koperasi OKU Pulau Pinang, Saw Hock Eng.

Setelah Universal Holdings Berhad menyerahkan wang bantuan sebanyak RM65,000 buat kanak-kanak cacat, latihan terus diberikan buat OKU yang terdiri daripada kumpulan dewasa.

Pengerusi Projek Kedai OKU Dobi Pulau Pinang, Nutan Shah berkata, kebanyakan OKU dewasa tidak mempunyai pekerjaan setelah pulang daripada pusat latihan masing-masing.

“Mereka hanya balik dan kemudiannya menunggu tibanya hari esok, jadi dengan adanya kedai dobi yang menggunakan tenaga mereka ini, ia pasti dapat mengisi masa lapang serta dalam masa yang sama memberikan mereka wang untuk menyara kehidupan.

“Ia bukan sahaja melatih mereka berhadapan dengan masyarakat, malah dalam masa yang sama melatih supaya mereka tidak bergantung kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Kedai OKU Dobi Pulau Pinang di Komtar, hadir sama Pengarah Kawasan Utara Ambank, Tan Leong Theng dan Ketua Kumpulan Hubungan Awam Ambank, Syed Anuar Syed Ali.

Sementara itu, Syed Anuar berkata, kedai dobi berkenaan adalah yang kedua berada di Malaysia setelah yang pertama seumpamanya wujud di Midvalley, Kuala Lumpur.

Menurutnya, Ambank turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM63,000 bagi membangunkan kedai ini.

“Kami yakin OKU juga mampu seperti manusia normal lain dan kerana itulah projek yang mendapat sokongan Ambank ini sudah wujud buat kali keduanya pula,” katanya.

Bagi anda yang mahu menyokong usaha OKU ini, bolehlah melihat sendiri bagaimana mereka menjalankan tanggungjawab seperti orang normal lain di tingkat bawah Komtar.

Kedai OKU Dobi ini mula dibuka jam 10 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali hari Ahad, dan menariknya mereka turut menyediakan cucian tudung manik dengan harga semurah RM4 sekilogram.

No comments:

Post a Comment