Amalan hidup sihat, elak rosak lima organ utama tubuh rosak

Ramai rakyat Malaysia yang masih tidak begitu kisah dan takut penyakit diabetes sedang angka pesakit menderita disebabkan semakin meningkat setiap tahun.
Lebih buruk lagi, diabetes penyebab kepada kerosakan lima organ utama tubuh iaitu strok (otak), jantung, buah pinggang, mata dan kaki . Malah diabetes turut dikaitkan dengan risiko berdepan dengan pesakit angin ahmar, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang.

Diabetes dilihat seperti tidak menakutkan berbanding kesan dihidapi pesakit kanser atau HIV kerana orang ramai jarang mengaitkan diabetes dengan kematian walaupun pada hakikatnya, penghidap diabetes berisiko berdepan angin ahmar, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang," - Lau Beng Long, Ketua Pegawai Eksekutif SunMed

Justeru, pelbagai pihak tidak seharusnya memandang remeh penyakit ini. Mengikut statistik, seramai 2.6 juta pesakit diabetes didaftarkan Kementerian Kesihatan sepanjang tahun ini.

Pada masa sama ia menunjukkan isu yang tidak seharusnya dipandang remeh berikut jumlahnya yang semakin meningkat setiap tahun. Bagi menangani kadar penyakit diabetes daripada terus meningkat, Pusat Perubatan Sunway (SunMed) mengambil inisiatif meneruskan penganjuran kempen ‘Let’s Take 5!’ sempena Hari Diabetes Sedunia, November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SunMed, Lau Beng Long, berkata SunMed berhasrat mempelopori sambutan Hari Diabetes Sedunia dengan mengadakan aktiviti berbentuk interaktif bertujuan menarik perhatian orang ramai terhadap kesan penyakit ini.

Katanya, kempen ‘Let’s Take 5!’ akan memfokuskan kepada komplikasi diabetes terhadap organ utama tubuh iaitu strok (otak), jantung, buah pinggang, mata dan kaki melalui pendekatan menyeluruh bagi memastikan keberkesanan kempen.
“Diabetes dilihat seperti tidak menakutkan berbanding kesan dihidapi pesakit kanser atau HIV kerana orang ramai jarang mengaitkan diabetes dengan kematian walaupun pada hakikatnya, penghidap diabetes berisiko berdepan angin ahmar, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang.

“Harapan kami, melalui kempen ini orang ramai sedar mengenai komplikasi
diabetes terhadap lima organ utama badan, lima minit untuk mengesan dan lima tahun, pesakit bakal berdepan komplikasi serius terutama angin ahmar,” katanya pada sidang media Menu Sajian Sihat ‘Let’s Take 5!’, di sini baru-baru ini.

Strok dipilih sebagai tema untuk tahun ini kerana ia menjejaskan kesihatan ramai rakyat Malaysia dan punca utama mereka dimasukkan ke hospital.

Kata Lau, SunMed komited membantu pesakit diabetes melalui penubuhan Pusat Penjagaan Diabetes, sebahagian daripada komitmen adalah untuk memberikan penjagaan dan rawatan berkualiti untuk mereka.

Galak gaya hidup sihat

Bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, SunMed turut memperkenalkan program menarik, Cabaran Sunweight khusus untuk warga kerja Kumpulan Sunway.

Cabaran selama empat bulan itu disertai 27 kakitangan yang berdepan masalah mengurangkan berat badan melalui kaedah senaman dan pemakanan sihat.

Satu lagi inisiatif adalah Kem Kesihatan Pusat Perubatan Sunway bertujuan mendekati masyarakat meningkatkan kesedaran mengenai diabetes dan mendidik mereka menjaga kesihatan.

Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat SunMed, Nadiah Wan, berkata tiga kem di Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang; Sunway Giza, Kota Damansara dan SACC Mall, Shah Alam menyertai program itu.

Bertepatan dengan pelancaran kempen, Sunway Resort Hotel & Spa turut menyediakan menu sihat di Restoran Fuzion mulai 13 November hingga 16 November ini untuk pilihan pelanggan.

Menu sihat

Sementara itu, Sous Chefnya, Khder Alissa, berkata penyediaan tiga set berasaskan ayam, ikan dan kambing akan disediakan dengan merujuk kepada pakar nutrisi.

“Menu diabetes atau menu sihat ini sedia untuk dipesan secara ala carte bagi hidangan makan tengahari dan malam. Selain itu, di setiap kaunter makanan, ada juga beberapa hidangan sihat ditawarkan dan diletakkan label khas bagi memudahkan pengunjung membuat pilihan,” katanya.

Tambah Chef Khder, selain kaedah masakan tanpa minyak seperti kukus dan panggang, individu yang mengutamakan kesihatan perlu mengehadkan kuantiti makanan dimakan.

Sebagai menyokong usaha global memerangi diabetes, bangunan dan tapak ikonik seluruh dunia akan diterangi lampu berwarna biru. Tahun ini, Kumpulan Sunway juga akan menyalakan lampu biru di kawasan Sunway Resort City iaitu Pusat Perubatan Sunway, Sunway Resort Hotel & Spa dan pusat beli-belah Sunway Pyramid.

INFO: Kesan diabetes
  • 2.6 juta pesakit diabetes berdaftar dengan Kementerian Kesihatan sejak awal tahun ini
  • 5 - babitkan lima organ lain
  • strok (otak), jantung, buah pinggang, mata dan kaki
  • Risiko - berdepan dengan pesakit angin ahmar, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang.
  • Menu Sajian Sihat - kempen ‘Let’s Take 5!