‘HOMEMAKER’ atau bekerja di rumah
sesuai untuk wanita yang ingin memiliki kerjaya dan pada masa yang sama
mengimbangi kehidupan berkeluarga. Idea ‘Small Office Home Office’ atauSOHO
sudah lama wujud dan ada segelintir wanita yang mengimpikan kerjaya
begini. Itu impian Nor Aina Abdul Rahman, 45, yang sudah 22 tahun mengajar
kelas tambahan Matematik dan Matematik Tambahan. Beliau yang lebih dikenali
dengan panggilan Cikgu Aina di kalangan murid-murid dan ibubapa kepada
pelajarnya. Sekarang ini beliau menyewa sebuah unit apartmen yang jaraknya 8
meter sahaja daripada rumah untuk dijadikan kelas tambahan.
“Idea untuk mengadakan kelas
tambahan Matematik dan Matematik ini timbul sebaik sahaja saya mula mengajar
di sebuah sekolah. Dari pemerhatian saya, ramai murid Melayu yang ketinggalan
dalam matapelajaran ini. Saya bermula dengan mengadakan kelas percuma di
waktu petang untuk mereka dan setelah diajar di dalam kumpulan yang lebih
kecil, ternyata mereka lebih faham. Itu yang menimbulkan semangat kepada saya
untuk mengadakan kelas tambahan dalam matapelajaran ini. Pada tahun 1987,
saya dan keluarga berhijrah ke Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah dengan pendapatan
RM7 ribu sebulan, saya boleh membesarkan enam orang anak, Mohd Muaz 23, Mohd
Khalid 21, Siti Sarah 20, Mohd Anas 16, Siti Suraya 13 dan Siti Safura 12. Di
peringkat usia ini, perbelanjaan untuk membesarkan mereka semakin meningkat
dan saya suka dengan kerjaya saya,” kata Cikgu Aina yang berasal dari
Kelantan ini.
“Keputusan yang saya buat ini
tidak salah kerana saya mempunyai masa untuk menyusukan dan membesarkan
keenam-enam anak saya sendiri di rumah sambil mengajar. Minat yang sangat
mendalam dalam matapelajaran Matematik sudah ada sejak kecil lagi. Jika ayah
yang sewaktu itu bertugas sebagai guru ingin mencampur markah pada kertas
jawapan peperiksaan anak muridnya, saya yang akan membantu ayah mencampurkan
semua markah itu. Hingga dewasa minat itu ada dalam diri saya. Hingga saya
melanjutkan pelajaran dalam bidang Matematik.
Menceritakan pengalamannya yang
bermula berdaftar dengan agensi, setiap pembayaran RM160 pelajar kepadanya
akan diambil oleh agensi sebanyak 30 peratus. Modal berdaftar dengan agensi
hanya RM20 dan itulah modal beliau sewaktu memulakan perniagaan. Pada
peringkat awal, ini adalah batu loncatan kepada Cikgu Aina dan lama-kelamaan
dia berunding dengan ibu bapa pelajar dan mereka setuju menghantar anak
mereka kepadanya dengan bayaran diskaun RM140 sahaja. Ada yang setuju dan
salah seorang pelanggan pertamanya ialah Puan Jamilah dari Bank Negara
Malaysia.
“Bermula dari Pn. Jamilah, jumlah pelajar
saya bertambah. Jamilah ialah seorang yang berpengaruh di tempat kerjanya dan
ramai rakannya yang menghantar anak mereka kepada saya. Perniagaan saya
berkembang dengan ‘word of mouth’ dan tiada strategi lain pada waktu itu.
Beliau memberi saya keyakinan untuk meneruskan kelas Matematik saya. Daripada
beliau lebih ramai adik-beradik, anak saudara dan ipar duainya yang
menghantar anak mereka untuk belajar daripada saya.
“Di waktu itu saya mengajar dari
rumah ke rumah. Alhamdulillah, pelanggan saya yang kebanyakannya dari
golongan berada dan ada waktu saya membawa bayi saya yang masih menyusu ke
rumah pelanggan. Sambil saya mengajar, pembantu rumah pelanggan saya akan
menjaga anak saya,” ujar Aina lagi.
Selepas tiga tahun saya berusaha
untuk memperkenalkan nama saya di kalangan pelanggan akhirnya ‘Cikgu Aina
sudah menjadi satu jenama saya. Pada tahun 2002, saya mula menyewa kedai di
Danau Kota dengan berkongsi dengan seorang rakan. Bayaran sewa RM100 dan kami
kongsi berdua. Seorang hanya perlu membayar RM50 dan jumlah pelajar saya
waktu itu 30 orang. Waktu siang digunakan untuk mengadakan kelas ‘Personal”
dan di waktu malam untuk kelas “berkumpulan” atau “group”. Kelas ‘personal’
memberi tumpuan ‘one to one’ dan kepada pelajar inginkan pembelajaran
intensif. Kelas berkumpulan pula lebih kepada belajar secara berkumpulan.
Satu kumpulan terdiri daripada empat orang.
Setelah membeli rumah di apartmen
Melati Impian Gombak, Aina menyewa sebuah unit apartmen berhampiran rumahnya
sebagai pusat kelas tambahan. Sejak itu semua pelanggan menghantar anak
mereka ke situ. Kelasnya sudah setempat.
“Saya percaya jika kita bagus dan
memberikan perkhidmatan yang baik serta memuaskan hati kepada pelanggan,
tidak kira di mana kita berada, pelanggan akan tetap mencari kita. Walaupun
ke pelusuk dunia. Ada ibu bapa yang sanggup datang dari Cheras, Shah Alam,
Rawang, Bentong, Pahang dan Perlis untuk menghantar anak mereka belajar
dengan saya. Mereka akan menginap di rumah sanak saudara yang ada di Kuala
Lumpur dan menghantar anak belajar dengan saya. Alhamdulillah, semua anak
mereka mendapat keputusan yang cemerlang di dalam matapelajaran Matematik dan
Matematik Tamabahan.
“Antara anak murid saya ialah cucu
Sultan Perlis, anak Dato’ Zahid Hamidi, anak M.Nasir dan Shasha Elite. Ramai
lagi dan sepanjang 22 tahun ini sudah lebih 4000 orang anak murid saya ajar.
Waktu cuti sekolah adalah waktu yang paling sibuk kerana ramai anak-anak
murid yang belajar di MRSM dan asrama penuh lain akan datang belajar dari jam
9 pagi hingga 5 petang. Waktu malam, kelas berkumpulan untuk mereka yang
sudah lama belajar dengan saya.
Bila ditanya bila bercuti, Aina
memberitahu, cutinya bermula di hari semua pelajarnya menjawab kertas Matematik
dan Matematik Tambahan di sekolah. Di waktu itu, Aina akan pergi bercuti
selama seminggu bersama suami dan anak-anak ke destinasi tertentu. Selepas
seminggu kelas untuk tahun akan datang akan bermula.
“Konsep pembelajaran saya berbeza. Saya
mengajar bukan untuk peperiksaan, ilmu yang diajar ialah ilmu sepanjang
hayat. Setiap hari kita menggunakan Matematik dan ilmu ini mengambil masa
untuk difahami. Bukan boleh dicapai dalam tempoh beberapa bulan. Ada 10 orang
pelajar saya yang mula belajar sejak berusia 10 tahun dan pada tahun ini
mereka akan menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Mereka ini mempunyai
pengetahuan asas Matematik dan Matematik Tambahan yang kuat dan Insya’allah
menjadi pelajar harapan yang menjadi tauladan kepada yang lain. Sudah tujuh
tahun mereka belajar dengan saya dan mereka adalah harapan saya dan ibu bapa
mereka,” tambah Aina lagi.
Aina dapati ada tiga kelemahan
pelajar Melayu yang perlu diperbaiki untuk memastikan mereka berjaya dalam
bidang Matematik dan Matematik Tambahan. Antara kelemahannya, tidak menghafal
sifir dengan baik. Sifir mesti dihafal kerana banyak pengiraan akan menjadi
lebih mudah jika sifir dihafal. Kedua, terlalu banyak menyalin sewaktu di
sekolah. Matematik tidak perlu banyak menyalin di papan hitam.
Perbanyakkan latihan menggunakan ‘wok book’ dan pelajar akan lebih cekap mengira. Dalam mana-mana buku latihan, jalan kerja mesti ditunjukkan di tepi soalan. Itu sangat penting. Ketiga, kelemahan mencongak di kalangan pelajar Melayu. Sistem congak sudah lama diajar sejak tahun 1971 lagi, sewaktu Aina Tahun Satu malangnya sistem ini tidak dipraktikkan hingga sekarang. Kaedah mencongak ini akan melatih pelajar supaya berfikir dengan lebih cepat. Tidak memerlukan penggunaan mesin kira, sejak penggunaan mesin kira dibenarkan, semakin ramai yang tidak mencongak.
Dalam kelas Aina, pelbagai kaedah
ringkas diajar kepada pelajar. Ini akan membantu pelajar lebih mudah faham
dan ingat formula Matematik dan Matematik Tambahan. Aina juga memegang rotan
sewaktu mengajar. Padanya itu adalah asas pembelajaran zaman dahulu yang masih
dipraktikkan olehnya. Suami menyokong sepenuhnya idea dan tindakan Aina untuk
mengadakan kelas tambahan. Dia tidak perlu keluar rumah dan pada masa yang
sama boleh menjaga anak-anak di rumah.
Prinsip pembelajaran Aina juga
menjadikan ramai pelanggan berpuas hati dengannya. Antara prinsip Aina ialah
mengajar mesti ikhlas. Kedua, ilmu yang diajar mesti menjadikan anak murid
itu pandai sepanjang hayatnya. ketiga, berjasa tidak minta dikenang, berbudi
tidak harap dibalas. Keempat, menghantar anak ke kelas tambahan bukan untuk
peperiksaan semata-mata.
Memiliki 10 adik-beradik dan anak
yang ke 7, Aina ingat pesan arwah ibu, ‘jika kita berilmu letaklah di mana
pun, kita boleh hidup di dunia dan akhirat’. Ayahnya seorang guru dan ibu
sangat mementingkan akademik, sahsiah diri dan disiplin. Itu yang juga Aina
ajarkan kepada keenam-enam orang anaknya. Pendorong kejayaan Aina dan
adik-beradik lain ialah ayah yang berdisplin dan emak yang bertanggungjawab.
“Setiap wanita harus mempunyai
pendapatan sendiri tidak kira dengan kemahiran apa sekalipun dan apa jua
bidang ilmu. Ini sebagai persiapan di masa hadapan. Dengan pendapatan dan
simpanan sendiri seorang wanita boleh berdikari jika ada perkara yang tidak
diingini berlaku. Malang tidak berbau dan tiada siapa yang tahu,” ujar Aina.
“Alhamdulillah, saya dikurniakan
ramai anak murid yang baik dan mengenang budi. Ramai yang datang semula
berjumpa saya. Ada yang membawa buah tangan dan macam-macam lagi. Yang
dipamer di dalam almari ini adalah dari dua tahun kebelakangan ini, tidak
termasuk, beg tangan, baju, kain, tak cukup almari untuk dipamerkan.
“Saya gembira mengajar dan satu
lagi kebaikan jika saya mengajar, anak-anak saya tidak berani untuk
‘hanky-panky’ atau main-main dengan saya. Mereka tahu saya mengajar anak
orang lain dan mereka harus menghormati saya dan tidak melakukan perkara yang
tidak baik. Alhamdulillah, setakat ini anak-anak saya juga cemerlang dalam
pembelajaran mereka,” tambah Aina.
“Oleh kerana anak-anak sudah besar, masa lapang yang banyak
saya gunakan untuk menambah saliran pendapatan dalam bidang penghasilan
kristal. Sesiapa yang berminat untuk menghantar anak menghadiri kelas
Matematik dan Matematik Tambahan boleh menghubungi saya di talian 019-3101424
atau laman web ‘www.elegantstyle.biz’.Kepada anak-anak murid
lama yang terputus hubungan juga boleh menghubungi saya di talian di atas.
|
Sunday, November 4, 2012
Pengalaman Guru Tuisyen
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment