pix_gal0
Utamakan penjagaan kecantikan, kesihatan bentuk personaliti menarik

Senario di mana kebanyakan wanita selepas berkahwin, akan mengabaikan penampilan dan kesihatan diri mereka kerana sibuk dengan tanggungjawab serta aktiviti harian tidak lagi menjadi bahan sering diperkatakan.

Hari ini, wanita apabila semakin berumur dan sudah berkahwin, sebaliknya semakin peka dengan kecantikan serta kesihatan diri mereka. Ini berikutan ramai sudah menyedari, apabila meningkat usia, mudah terdedah dengan pelbagai jenis penyakit yang menyebabkan kesihatan dan produktiviti hidup terjejas.
Justeru, untuk sentiasa sihat dari segi luaran dan dalaman penjagaan kesihatan serta kecantikan sentiasa diutamakan. Hasilnya, ia membentuk personaliti menarik dan berkeyakinan tinggi tetapi juga mempunyai sikap positif terhadap amalan gaya hidup sihat.



Jaslin juara ibu menawan



CANTIK, bijak, berketrampilan, petah dan berpengetahuan tinggi antara kriteria dimiliki Harvin Derjit Kaur untuk dipilih sebagai pemenang peraduan Glowing Youthful Mother anjuran Mega Lifesciences Sdn Bhd di ibu negara, baru-baru ini.

Berusia 31 tahun, ibu kepada dua anak iaitu Ashvir Singh, 5 tahun dan Jaslin Kaur, 2 tahun sememangnya layak dinobatkan sebagai pemenang kerana bukan saja mempunyai penampilan menarik malah berkeyakinan sepanjang pertandingan berlangsung.
Anak kelahiran Taiping, Perak ini mengakui pada awalnya, dia menyertai pertandingan itu sekadar 'suka-suka' kerana tertarik dengan konsep pertandingan yang menerapkan amalan gaya hidup sihat.

Jaslin langsung tidak menyangka akan memenangi pertandingan itu berdasarkan kepada saingan hebat yang dihadapi daripada 22 peserta lain yang juga menampilkan persembahan hebat.

“Saya berbangga kerana kejayaan ini hasil daripada sokongan berterusan suami dan keluarga terutama abang saya yang banyak membantu sepanjang sebulan terbabit dengan pelbagai aktiviti penganjur seperti kem ratu cantik yang merangkumi sesi kesihatan dan yoga, latihan catwalk dan sesi penggayaan diri bagi menjayakan acara ini.

“Banyak ilmu pengetahuan dan nilai yang saya serta rakan peserta lain pelajari sepanjang peraduan berlangsung terutama dalam aspek penjagaan kesihatan keluarga dan kesedaran mengenainya,” katanya.

Ketika diminta berkongsi rahsia kecantikannya, Harvin mengakui dia sangat mementingkan aspek penjagaan kecantikan dalaman dan luaran sejak zaman remaja lagi.

Ibunya mendidik dia dan adik-beradiknya supaya menitikberatkan penjagaan kecantikan sejak kanak-kanak dan apabila dewasa, dia meneruskan rutin penjagaan yang diajar kepadanya.

“Tafsiran kecantikan itu sendiri sebenarnya adalah luas. Setiap seorang mempunyai pengertian tersendiri mengenai kecantikan.

“Bagaimanapun, lebih penting daripada segala unsur kecantikan itu ialah tubuh badan sihat, segar sepanjang masa dan mampu menjalani hidup harian dengan cergas dan penuh bertenaga,” katanya.

Baginya, amalan pemakanan sihat, aktiviti riadah bersama keluarga dan pengambilan mikronutrien yang mencukupi sangat penting untuk kesihatan dan fungsi badan normal.

Suri rumah sepenuh masa ini turut mengamalkan yoga serta pemakanan seimbang, di samping sering ke gimnasium setiap hujung minggu.

“Misalnya, jika orang lain gemarkan kopi atau teh, keluarga saya hanya mengamalkan minum susu setiap pagi selain memperbanyakkan sayuran dan buah-buahan dalam rutin makanan keluarga,” katanya sambil menyifatkan penjagaan kesihatan melalui amalan pemakanan memerlukan disiplin tinggi bagi memastikan keberkesanannya.

Sambil menyifatkan dirinya juga masih terkejut dengan kemenangan itu, Harvin berharap kaum wanita dapat mengambil manfaat daripada nilai yang diterapkan dalam peraduan itu kerana perubahan gaya hidup hari ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kesihatan wanita.

Dengan kemenangan itu, Harvin membawa pulang wang tunai RM25,000 dan beberapa hadiah sampingan manakala tempat kedua dimenangi Alwizah Al-Yafii Ahmad Kamal, 38.

Peguam yang juga ibu kepada dua orang anak itu menerima RM10,000 serta hadiah iringan.
Alwizah berkata kemenangan itu membuktikan wanita bekerjaya juga boleh menjadi ibu yang cemerlang dan menjaga kesihatan keluarga dengan sempurna.

Katanya, walaupun sibuk dengan kerjayanya, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga terutama dua anaknya yang masih kecil.

“Kesihatan dalaman dipengaruhi gaya hidup, pengambilan makanan seimbang, makanan tambahan yang betul dan bertepatan. Ibu yang menjadi nadi keluarga perlu bersikap positif terhadap kepentingan kesihatan dalaman kerana ia mendorong kepada pembentukan keluarga sihat dan ceria.

“Rutin harian sihat yang diamalkan golongan ibu turut mendorong kepada kehidupan keluarga yang sihat apabila tubuh badan dijaga pada tahap optimum,” katanya.

Perunding Hartanah, Biruntha L Mooruthi, 32, pula berada di tempat ketiga membawa pulang RM5,000 bersama beberapa hadiah lain.

Ketiga-tiga pemenang itu contoh wanita moden yang mementingkan pengambilan mikronutrien yang betul untuk mengekalkan kejelitaan kulit, kesihatan jantung, hati dan sendi.

Mereka mengalahkan 20 peserta akhir lain untuk menawan hati juri yang terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dalam perfileman, televisyen dan fesyen iaitu Amber Chia, Noniswara, Daphne Iking dan Bon Zainal.

Sementara, penganjur acara yang juga Pengarah Serantau Mega Lifesciences, Sudhir Gandhi berkata beliau berharap penganjuran acara itu dapat memberi kesedaran kepada kaum ibu mengenai kesihatan dalaman kulit serta pentingnya mikronutrisi di samping gaya hidup sihat.

“Bukan mudah memikul banyak tanggungjawab dalam satu masa demi memastikan kehendak bidang profesional dipenuhi dan keperluan keluarga tidak terabai.

“Bagaimanapun, tekanan terhadap kehidupan seharian menjadi faktor kepada pengambilan diet tidak seimbang menyebabkan kekurangan nutrisi kepada kulit hinggakan kulit matang sebelum usia.

“Justeru, pertandingan ini adalah usaha terbaik menghargai kaum ibu dan mendidik mereka mengenai kepentingan mikronutrien dalam penjagaan kesihatan diri dan keluarga,” katanya.


INFO:
Glowing Youthful Mother


* Diadakan buat kali kedua pada tahun ini.
* Menerima lebih 500 borang penyertaan di seluruh Malaysia.
* Peraduan membabitkan wanita berusia di antara 30-an, 40-an dan 50-an melalui laman facebook
* Hanya 100 peserta dipanggil untuk pusingan pemilihan sebelum 23 finalis dipilih untuk ke pusingan akhir.
* Hadiah ditawarkan:
- Juara - wang tunai RM25,000 dan hadiah iringan
- Tempat kedua - wang tunai RM10,000 dan hadiah iringan
- Tempat ketiga - wang tunai RM5,000 dan hadiah iringan