Friday, November 30, 2012

47,000 penduduk Malaysia Autisme


Ibu bapa perlu tahu cara mengetuk ‘pintu rahsia’ anak sebelum boleh mendekati dan berinteraksi dengan anak autisme. Jika pintu rahsia ini tidak ditemui, anak anda makin sukar didekati dan mungkin terus hidup dalam dunianya sendiri.

Anak autisme sering dilabel sebagai kanak-kanak bodoh, degil, berkelakuan pelik, mementingkan diri dan berkemungkinan besar keciciran dalam pelajaran.

Walaupun kebanyakan kanak-kanak autisme ada masalah terencat akal, tetapi melalui pendidikan sewajarnya mereka mampu memiliki kehidupan baik, malah mungkin lebih berjaya daripada individu normal.

Dunia kanak-kanak autisme masih menjadi misteri kerana tiada siapa tahu apa yang bermain dalam fikiran mereka, khususnya apabila mereka mula ‘buat perangai’, sama ada tidak mengendahkan orang lain, asyik mengulangi perkara sama atau melakukan perkara yang boleh mencederakan diri.

Autisme adalah gangguan perkembangan otak yang dicirikan masalah hubungan sosial, komunikasi, emosi, kurang kebolehan imaginasi dan bermain serta menunjukkan tingkah laku terhad dan berulang; biasanya berkaitan minat, aktiviti dan perangai.

Dianggarkan satu daripada 500 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah ini dan statistik menunjukkan kini ada kira-kira 47,000 penduduk negara kita menghidap autisme. Daripada jumlah ini, empat atau lima orang bagi 10,000 pesakit mengalami autisme tulen yang mengakibatkan mereka kehilangan keupayaan memahami keadaan sekeliling, kecuali diri sendiri.

Hampir 70 peratus kanak-kanak autisme ada masalah terencat akal pada tahap berbeza. Ini sebabnya proses pembelajaran mereka lebih lambat, ada masalah berinteraksi, berkomunikasi dan tingkah laku.

Kekurangan dialami kanak-kanak ini menyebabkan mereka tidak faham perasaan orang lain, tiada usaha menggembirakan orang lain dan tidak pandai berinteraksi secara spontan.

Pun begitu, bukan semua individu autisme mengalami masalah pembelajaran kerana ada yang berjaya dan menjadi orang ternama seperti Albert Einstein, Bela Bartok dan Bill Gates. 

Mereka berkongsi masalah sama, iaitu mengalami Sindrom Asperger iaitu sejenis autisme.


Date: 30 July 2008
Sumber: http://www.psychiatry-malaysia.org

No comments:

Post a Comment