Thursday, May 10, 2012

Pilihan penempatan anak autisma

PUTRAJAYA 5 Mei - Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa digesa menghantar anak-anak mereka ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi memastikan golongan itu mendapat didikan dan asuhan sepatutnya daripada pakar.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, Noormah Abdul Rauf berkata, dengan menghantar anak-anak istimewa ke PDK, ibu bapa tidak lagi dibebani kerenah golongan istimewa ini kerana selain mendapat pendidikan mereka juga akan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

Beliau berkata, sehingga kini JKM telah membuka sebanyak 428 PDK di seluruh Wilayah Persekutuan dan ia mampu menampung kira-kira 344,000 orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar di kawasan tersebut.

"Usahlah berasa malu kerana mempunyai anak OKU, jadikan ia sebagai cabaran dan anggap sebagai dugaan hidup, Oleh itu bagi memastikan anak mendapat hak yang sepatutnya hantarlah mereka ke PDK untuk menjalani pemulihan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung PDK Putrajaya di sini hari ini, selepas menyampaikan peruntukan JKM sebanyak RM155,688 kepada pusat tersebut.
Menurut Noormah, PDK akan melatih kanak-kanak terlibat dengan pelbagai kemahiran khususnya pengurusan diri bagi membolehkan mereka berdikari.

"Mereka ini terlalu istimewa dan harus diberi kasih sayang yang lebih berbanding insan normal lain. Jangan sisihkan kerana mereka tidak minta dilahirkan sebegitu.

"Hantarlah mereka ke PDK, di situ mereka akan memperoleh ilmu dan kemahiran, kadangkala anak kita kelihatan normal, tetapi hasil ujian mendapati sebaliknya," katanya.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga akan mewujudkan 'Job Coach' di kawasan-kawasan terpilih bagi membolehkan golongan OKU memasuki sektor pekerjaan.

"Di PDK juga ada disediakan modul pengajaran kemahiran yang mana golongan istimewa dan OKU akan dilatih dalam satu-satu bidang khusus bagi membolehkan mereka mendapat pekerja tanpa mengira sektor, ia bertepatan dan dianggap sebagai langkah awal untuk membolehkan mereka menyertai Job Coach yang akan tubuhkan oleh kementerian," katanya.

Oleh HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment