Thursday, May 24, 2012

Harus pandai urus diri


KUAT SEMANGAT... atlet OKU berentap pada Paralimpik Malaysia ke-15, bulan lalu.
KUAT SEMANGAT... atlet OKU berentap pada Paralimpik Malaysia ke-15, bulan lalu.

“SAYANGI dan hargai badan sendiri, tidak kira berapa teruk pun keadaan atau kecacatan anda. Kalau anda tidak sayang badan sendiri, siapa lagi?” kata pakar perunding perubatan pemulihan, Dr Tunku Nor Taayah Tunku Zubir berulang kali kepada semua pesakitnya yang mengalami masalah ketidakupayaan.
Berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya, kebanyakan pesakit hanya berserah kepada takdir dan kurang memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan kerana beranggapan apa pun yang dilakukan tidak akan mengembalikan keupayaan mereka untuk berjalan.
Memang tidak dapat dinafikan siapa yang tidak berasa sedih apabila hilang keupayaan untuk berjalan. Ramai patah semangat untuk meneruskan kehidupan, murung, tertekan dan berasa diri tidak berguna kerana sudah menjadi beban pada keluarga.

Walaupun anda berhak untuk berasa sedih, jangan biarkan kesedihan itu berterusan sehingga ia bukan saja akan memadamkan semangat, malah boleh menjejaskan kesihatan atau membuatkan ibu bapa serta ahli keluarga susah hati.


Ada ramai personaliti kurang upaya boleh anda jadikan teladan dan perangsang semangat seperti aktivis sosial dan tokoh akademik, Dr Chandra Muzaffar; Ras Adiba Radzi; individu yang cacat penglihatan atau lihat saja skuad paralimpik yang berjaya meraih 94 pingat emas dalam Kejohanan Para Asean kelima tahun lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan, di seluruh dunia ada 600 juta orang kurang upaya (OKU) yang mewakili hampir 10 peratus penduduk dunia dan dianggarkan kira-kira 80 peratus daripada mereka tinggal di negara membangun.

Di negara kita ada 197,519 OKU berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat (data 2008) tetapi jumlah sebenar dijangka lebih tinggi kerana masih ramai belum berbuat demikian, terutama penduduk luar bandar.

Menurut Perunding Perubatan Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park itu lagi, ada tiga punca utama yang menyebabkan ketidakupayaan iaitu:



  • Sejak lahir atau kongenital — contohnya masalah serebral palsi, Sindrom Down
  • Kemalangan — Kemalangan jalan raya adalah punca utama kehilangan keupayaan (akibat kecederaan saraf tunjang yang menyebabkan pesakit lumpuh atau hilang kaki), terutama bagi golongan muda berumur 16 hingga 30 tahun.

    Kemalangan lain yang boleh menyebabkan kecederaan saraf tunjang ialah terjun dalam air cetek, kepala terhantuk ke dasar dan tengkuk terhentak ke lantai; jatuh dari tempat tinggi, ditikam, bersukan dan pembedahan.
  • Penyakit yang menyebabkan amputasi (kaki pesakit terpaksa dipotong) — kebanyakan kes membabitkan pesakit kencing manis. Penyakit lain yang boleh mengakibatkan amputasi ialah kanser tulang (biasanya pada kanak-kanak) atau jangkitan kuman (batuk kering atau polio) yang menyebabkan kecederaan pada saraf tunjang.

    Sehingga kini belum ada rawatan yang boleh memulihkan kecederaan saraf tunjang. Namun pesakit masih boleh menjalani kehidupan baik dan kembali bekerja selepas menjalani fisioterapi. Semua ini boleh dilakukan dengan mudah jika pesakit dapat menerima hakikat dan berasa selesa serta sayang pada diri sendiri.
    Menurut Dr Nor Taayah, banyak cabaran dihadapi OKU dalam aspek kesihatan, komplikasi, pergerakan dan pekerjaan. Ini sebabnya mereka perlu memberi lebih tumpuan kepada penjagaan kesihatan.

    Secara umumnya, OKU lebih terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan berbanding orang normal kerana mereka kurang bergerak. Pada individu normal, masalah kesihatan biasanya bermula apabila usia mencecah 70-an tetapi bagi OKU, ia bermula 20 hingga 25 tahun lebih awal.

    OKU juga mempunyai kebarangkalian tiga hingga empat kali lebih tinggi mendapat masalah kesihatan susulan daripada ketidakupayaan mereka berbanding individu normal. Antara masalah yang boleh dihadapi:
  • Luka tekanan atau ulser
  • Masalah kencing tidak lawas dan batu karang
  • Sembelit
  • Keretakan tulang pinggul akibat osteoporosis
  • Penyakit jantung (punca kedua utama kematian di kalangan pesakit yang alami kecederaan saraf tunjang)
  • Kencing manis (lima kali lebih tinggi berbanding orang normal)
  • Masalah kolesterol tinggi
  • Strok
  • Obesiti
  • Kanser
  • Osteoporosis (berlaku pada hampir 70 peratus pesakit yang ada masalah tidak boleh bergerak)

    Apa perlu dilakukan?

    “Perkara pertama dan paling penting ialah mengetahui keadaan tubuh anda. Setiap pesakit perlu belajar dan tahu penyakit yang dialami atau masalah yang boleh dihadapi akibat ketidakupayaan mereka.

    “Jangan serahkan semuanya kepada doktor kerana hanya sesekali anda berjumpa doktor. Tidak boleh mengharapkan bantuan keluarga sepenuhnya kerana mereka ada tanggungjawab masing-masing; lagi pun sampai bila anda mahu bergantung kepada orang lain?

    “Jadi, perlulah cuba berdikari, hanya anda yang boleh sayang diri sendiri sepenuhnya. Anda akan berasa lebih sedih jika menjadi beban keluarga sedangkan ramai orang lumpuh atau OKU lain boleh berdikari, malah ada yang menanggung keluarga,” katanya.

    Antara soalan yang pesakit perlu tanya pada diri sendiri ialah:
  • Apakah penyakit atau diagnosis anda?
  • Adakah teknik pembuangan kencing anda selamat atau cukup lawas? Ramai OKU mengalami masalah tidak dapat mengawal kencing yang lama-kelamaan boleh mengakibatkan hidronefrosis, batu karang dan paling dikhuatiri, kegagalan buah pinggang.

    Hidronefrosis ialah pengembungan dan pengembangan buah pinggang yang berlaku apabila aliran air kencing dari buah pinggang tersekat. Akibatnya air kencing berkumpul dalam buah pinggang dan menyebabkan hidronefrosis.

    Aliran ini mungkin tidak tersekat sepenuhnya, jadi air kencing masih boleh mengalir tetapi perlahan.

    Jika anda ada masalah berkenaan, usah malu untuk memberitahu doktor kerana ia perkara biasa pada individu OKU. Doktor akan mencadangkan penggunaan tiub khas yang bukan saja memudahkan pesakit buang air kecil secara selamat, malah dapat mengelak masalah kebocoran.

    Pada masa sama, pesakit dinasihatkan buang air kecil setiap empat jam. Oleh kerana ia dianggap ‘leceh’, ada pesakit mengurangkan kekerapan kencing dengan minum sedikit tetapi ia bukan langkah sihat kerana badan boleh mengalami masalah kekurangan air.

    Pesakit disaran minum banyak air dan air kencing yang baik seharusnya berwarna kuning cair dan jernih. Jika masih ada masalah, minta doktor jalankan pemeriksaan kerana perkara ini boleh merosakkan buah pinggang.
  • Adakah kawalan usus besar teratur (untuk buang air besar)? Ini termasuk masa buang air besar yang tetap dan teratur serta tekstur najis (keras) sehingga menyebabkan anda sembelit.

    “Pesakit perlu buang air besar sekurang-kurangnya sekali dalam masa dua hari. Jika lebih, maklumkan pada doktor kerana masalah ini boleh diatasi dengan mudah melalui pengambilan ubat atau mengamalkan teknik rangsangan rektum,” katanya.

    lAdakah anda mengalami masalah ulser atau luka tekanan? Ini adalah masalah kulit yang paling kerap berlaku dan menjadi punca utama kematian pada individu lumpuh.

    Ia berlaku akibat pesakit terlantar atau duduk terlalu lama sehingga kulit yang ditindih tidak mendapat bekalan darah. Akibatnya sel pada bahagian berkenaan mati dan mudah mendapat jangkitan hingga menjadi kudis.

    “Jika satu hari pesakit tidak lakukan aktiviti mengurangkan tekanan pada satu-satu bahagian, dia akan dapat ulser atau luka tekanan.

    “Punca lain yang biasa menyebabkan luka pada individu OKU ialah penggunaan alat pemanas sehingga kulit melecur atau meletakkan makanan panas di atas paha, terutama apabila ke pasar malam.

    “Bahagian yang kerap alami luka tekanan ialah siku, belikat, atas dan bawah punggung, lutut, buku lali, belakang tumit dan jari kaki,” katanya. Cara mengelak luka tekanan:

    A.Angkat punggung selama 10 minit setiap 15 minit. Oleh kerana sensitiviti pada kesakitan berkurang, ramai pesakit tidak mengubah kedudukan badan dan tidak sedar ada luka pada punggung mereka.

    B.Bersihkan diri dan mandi setiap hari

    C.Cermin dan periksa kulit dua kali sehari. Tengok bahagian punggung, kawasan yang ada tekanan. Periksa jika ada kawasan merah dan jika tidak hilang dalam tempoh 20 minit, ia adalah petanda tidak baik.

    D.Dua jam sekali pusingkan badannya (untuk pesakit yang terlantar)

    E.Senaman setiap hari. Untuk pesakit yang terlantar, penjaga boleh membantu dengan menggerakkan anggota badan pesakit
    F. Fikiran tenang

    G. Gunakan kusyen dan tilam yang sesuai

    H. Hati-hati apabila lakukan pemindahan (dari satu kedudukan atau tempat duduk ke kedudukan lain)

    I. Imbangan makanan yang sesuai
  • Adakah spasma mengganggu anda? Spasma ialah keadaan pengecutan otot yang berterusan dan tidak terkawal, menyebabkan tangan atau kaki bergerak-gerak tanpa henti. Ini berlaku kerana selepas kecederaan ada saraf yang menjadi terlalu sensitif.

    Jika ya, lakukan senaman regangan, duduk dalam posisi selesa, ambil ubat (seperti baclofan, diazepam, botulinum), memakai alat sokongan anggota (ortosis) dan menjalani terapi hidro (untuk mengurangkan pengecutan otot yang tidak terkawal).
  • Adakah kerusi roda sekarang sesuai dengan keperluan anda? Dr Taayah berkata, kerusi roda sangat penting untuk membolehkan individu lumpuh berdikari. Bagaimanapun, ada banyak jenis kerusi roda di pasaran dan hanya beli selepas pasukan jurupulih (rehabilitasi) membuat penilaian ke atas anda.

    Pada masa sama, pesakit juga akan diajar menggunakan kerusi roda berkenaan sebaik-baiknya dan mereka juga perlu tahu melakukan teknik ‘wheelie’ (pusing dan ‘mengangkat’ supaya kerusi roda berada di atas dua roda besar saja) kerana kemudahan yang kurang baik di negara kita membuatkan pengguna kerusi roda senang terjatuh, terutama di atas jalan raya.
  • Adakah hubungan sosial anda baik? Hubungan sosial dengan keluarga dan masyarakat sangat penting bagi individu OKU. Namun ramai OKU masih terpencil atau lebih suka mengasingkan diri kerana malu dan terlalu sensitif. Perkara ini perlu diatasi segera kerana keadaan akan menjadi lebih teruk jika dibiarkan berlarutan.

    Cara paling mudah untuk mengatasinya ialah bercampur dengan menyertai aktiviti masyarakat setempat. Jika masih malu, individu OKU boleh mendapatkan bantuan dan nasihat daripada pelbagai kumpulan sokongan seperti Perkhidmatan Keluarga Interaksi Orang-orang Kurang Upaya (Kioku), Persatuan Kecederaan Saraf Tunjang Malaysia (Masia), Beautiful Gate, Persatuan Warga Istimewa & Rehabilitasi Anggota K9 (PERWIRA K9), Persatuan Damai Orang-orang Kurang Upaya Selangor & Wilayah Persekutuan (Damai), Pusat Spastik dan Tasputra (sekadar menyebut beberapa nama).

    lBagaimanakah hubungan anda dengan pasangan? Hubungan suami isteri juga penting untuk kesejahteraan diri, keharmonian rumah tangga dan keluarga. Ramai pesakit tidak mengendahkan keperluan ini kerana malu untuk bertanya.

    Kebanyakan lelaki mengalami masalah ereksi yang secara tidak langsung menjejaskan kesuburan mereka. Kebolehan untuk ereksi bergantung kepada ciri fizikal seseorang, namun ia boleh dicapai melalui dua cara iaitu ereksi psikogenik (melalui berfikir) atau ereksi refleksogenik (sentuhan). Jika masih tidak berupaya, pesakit boleh menggunakan pil perangsang atau teknik ereksi lain.

    Sebaliknya pula, pada wanita, disebabkan masalah kekeringan yang menjadikan hubungan seks menyakitkan tetapi ia boleh diatasi dengan menggunakan jeli atau bahan pelincir lain.

    Walaupun pesakit wanita akan mengalami masalah kitaran haid, ia akan kembali normal selepas setahun dan mereka masih boleh mengandung. Bagaimanapun, wanita OKU yang mahu hamil dinasihatkan berbincang dulu dengan doktor kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan dan dirancang sebaik-baiknya.

    Bilakah hubungan seks boleh dimulakan? Ia boleh dilakukan bila-bila masa; yang penting individu berkenaan mesti selesa dengan dirinya supaya hubungan seks dapat dinikmati.

    Bahkan individu OKU juga digalakkan membuat eksperimen sendiri bagi mendapat rangsangan dan mendapatkan posisi terbaik.

    “Akhir sekali, amalkan gaya hidup sihat dengan menjalani pemeriksaan kesihatan yang tetap, kekalkan berat badan seimbang, berhenti merokok, tingkatkan kecergasan dan belajar mengurangkan tekanan.

    “Individu OKU bukan mahu dikasihani tetapi peluang untuk menjadi lebih baik. Mereka berhak dilayan dan dihormati seperti orang normal tetapi untuk mendapat rasa hormat ini, individu OKU mestilah hormat dan sayang pada diri sendiri terlebih dulu,” katanya.

  • Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
    norlaila@hmetro.com.my

    No comments:

    Post a Comment