Wednesday, May 2, 2012

Jangan ambil mudah anak lambat bercakap

DR. Zaidun Kamari menanyakan sesuatu kepada seorang kanak-kanak autisme, Muhammad Izzan Nabhan sambil diperhatikan ibunya, Nurasma Nawawi semasa program Bengkel 'Membuka Jendela Autisma' Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU 26 April - Golongan ibu bapa diingatkan tidak memandang ringan tanda-tanda yang menjurus kepada penyakit autisme di kalangan anak-anak mereka.

Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Datuk Dr. Zaidun Kamari berkata, ia termasuk masalah lambat bercakap, suka bermain bersendirian dan bermasalah penglihatan.

Menurut beliau, ibu bapa yang mempunyai anak-anak dengan tanda-tanda itu perlu dirujuk ke hospital dengan segera untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

"Biarpun pada dasarnya autisme tidak boleh dipulihkan tetapi jika kita dapat mengesan awal sebarang kekurangan pada kanak-kanak, mereka ini boleh diberi terapi khusus oleh pihak hospital dan diajar bertutur dan menguruskan diri sendiri sama seperti kanak-kanak normal lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan bengkel 'Membuka Jendela Autisme' anjuran Unit Pemulihan, Unit Audiologi, Patologi Pertuturan dan Klinik Psikiatri HUSM di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), di sini.

Menurut Dr. Zaidun, autisme merupakan penyakit paling banyak dihidapi kanak-kanak lelaki berbanding perempuan dan statistik Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) menunjukkan seorang daripada 150 kanak-kanak berkemungkinan mengalami autisme.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, HUSM mempunyai fasiliti dan kepakaran rawatan penyakit autisme paling lengkap di Pantai Timur bagi kemudahan kepada ibu bapa merujuk anak-anak mereka.

Katanya, hospital itu menyediakan pakar dalam bidang psikiatri, psikologi, pertuturan dan pemulihan cara kerja di bawah satu bumbung bagi membolehkan kemajuan pesakit dipantau secara sempurna.
Tambah beliau, pihaknya menerima purata seorang pesakit baru autisme setiap bulan dan akan dirawat tanpa had tempoh sehinggalah mereka disahkan berupaya berdikari.

 Sumber: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment