Friday, May 4, 2012

Pembelajaran Bahasa Melayu Kanak-kanak Autisme



Autisme dihuraikan buat pertama kalinya oleh ahli psikologi, Leo Kanner (1943), sebagai sindrom kumpulan tingkah laku yang unik, iaitu satu masalah gangguan afektif, persepsi, linguistik, kognitif dan komunikasi. Kanner menyifatkan kanak-kanak autisme sebagai individu yang suka menyendiri dan terasing, berkomunikasi dengan pertuturan berulang, tertarik dengan objek bukan hidup dan sukar bertolak ansur jika ada perubahan dalam rutin harian.

Dengan kata lain, kanak-kanak autisme berada dalam alam yang tersendiri. Autisme berkaitan dengan gangguan dalam komunikasi, interaksi dalam bersosial, gangguan deria, pola bermain yang berbeza dan sikap yang mempengaruhi emosi, seperti hidup dalam khayalan.

Kini, masyarakat Malaysia mula membuka mata dan memberikan perhatian khusus terhadap kanak-kanak autisme, terutamanya dalam bidang pendidikan. Hal ini terbukti dengan wujudnya Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKI) di sekolah dan di NASOM (National Autism Society of Malaysia). Melalui program ini, guru menggunakan kaedah peneguhan positif dan negatif untuk kanak-kanak autisme. Namun begitu, masih belum terdapat Sukatan Pengajaran Khas atau Modul Pembelajaran untuk kanak-kanak autisme.

Menurut Razhiyah, kanak-kanak autisme mempunyai tumpuan belajar yang singkat, mudah jemu dan tidak berminat terhadap pembelajaran secara teori. Mereka lebih gemar akan sesuatu yang praktikal. Oleh itu, para pendidik seharusnya memainkan peranan penting bagi mencari kaedah yang terbaik untuk kanak-kanak autisme.

Kanak-kanak autisme boleh diajar untuk bertutur dan bergaul dengan masyarakat, bukannya dipinggirkan.

Dalam konteks pembelajaran bahasa Melayu, persoalannya bagaimanakah kaedah yang sesuai untuk mengajar kanak-kanak autisme? Oleh itu, tingkah laku dan emosi kanak-kanak ini harus dilihat dari sudut positif dan elemen ini harus digabungkan dalam proses pembelajaran bahasa Melayu khusus untuk mereka.

Gejala gangguan sosial dan kemahiran asas sosial yang terdapat pada kanak-kanak autisme perlu ditangani dengan bijak. Proses pembelajaran yang bersahaja dan santai amat perlu bagi kanak-kanak autisme supaya mereka mempunyai minat untuk bertutur.


Sumber: Jessica Ong Hai Liaw
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011.

No comments:

Post a Comment