TEMERLOH 28 Mac - Anak-anak yang tergolong dalam kategori orang kurang upaya (OKU) turut mempunyai hak untuk mendapat pendidikan sama seperti rakan mereka yang normal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong berkata, ibu bapa yang mempunyai anak OKU tidak boleh berasa malu sebaliknya mesti menghantar mereka ke sekolah pendidikan khas demi masa depan anak-anak tersebut.
Katanya, dengan pendidikan dan latihan, ramai kalangan OKU ini membuktikan mereka mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat yang normal.
"Ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU perlu memikirkan masa depan mereka dengan menghantar ke sekolah kerana sekarang ini sudah banyak sekolah pendidikan khas dan guru terlatih untuk mendidik pelajar ini dengan kaedah yang bersesuaian.
"Melalui kelas pendidikan khas ini bakat dan kemahiran mereka yang mungkin tidak diketahui ibu bapa sebelum ini dapat dicungkil," katanya ketika berucap merasmikan Program Hari Ladang
Program Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Bandar Mentakab, di sini baru-baru ini.
Program berkenaan dianjurkan Pejabat Pertanian daerah Temerloh dengan kerjasama Kem Tentera Batu Lima, Temerloh dan turut dihadiri wakil Pegawai Pertanian Daerah, Ahmad Rani Mahmud dan Guru Besar, Jamluddin Ab. Karim.
Menurut Boon Seong, banyak perkara baru yang boleh dipelajari anak-anak OKU itu di sekolah pendidikan khas terutamanya dalam bidang kemahiran tertentu seperti berkebun.
Katanya, pelajar pendidikan khas itu boleh mempraktikkan kegiatan berkebun itu dan menjadikannya kemahiran yang boleh menjana pendapatan apabila mereka dewasa kelak.
"Mungkin dengan adanya kegiatan berkebun ini menjadikan mereka berminat menceburi bidang ini.
''Kita perlu berikan mereka bimbingan dan tunjuk ajar setiap masa supaya mereka boleh menjadi petani yang berkemahiran serta berjaya dalam hidup," katanya.
No comments:
Post a Comment