Tidak semua kanak-kanak dapat menerima dan
menguasai pembelajaran seperti yang diharap dan dirancangkan. Terdapat beberapa
golongan kanak-kanak yang tidak bernasib baik sehingga menghalang proses-proses
pembelajaran berlaku dengan baik dan cemerlang. Antara golongan itu adalah
kanak-kanak bermasalah pembelajaran.
Guru di kelas biasa turut memainkan peranan
penting dengan membantu mengenal pasti murid dengan masalah pembelajaran agar
mereka tidak terus ketinggalan. Dr. Aminah Bee (2000), menggariskan peranan
pihak sekolah/guru dari segi mengenal pasti murid iaitu :
• Guru kelas biasa perlu peka apabila
kanak-kanak kurang memberi tumpuan/perhatian ataupun kuran cekap dalam
pelajaran.
• Guru kelas biasa perlu sedar terdapat di
kalangan kanak-kanak normal yang mempunyai masalah pembelajaran dan jangan
meletakkan label ‘malas’ ataupun ‘bodoh’ kepada murid.
• Guru kelas biasa perlu merujuk kes yang
disyaki kepada guru yang mempunyai latihan dalam pendidikan khas (jika ada)
kerana guru ini dapat mengenal pasti secara kasar masalah yang dihadapi murid.
• Kanak-kanak yang baru memulakan persekolahan
di tahun satu perlu disaring bagi mengenal pasti masalah pembelajaran spesifik.
• Merujuk kanak-kanak kepada pasukan kesihatan
sekolah ataupun klinik kesihatan yang berdekatan bagi pemeriksaan lebih
terperinci.
Walau dalam situasi bagaimana sekalipun, murid
dengan keperluan khas perlu dilihat dan dilayan seperti murid normal yang lain.
Corak perkembangan murid tipikal dan strategi pengajaran bagi murid murid
berasaskan pengetahuan perkembangan boleh diaplikasikan terhadap murid dengan
keperluan khas. Guru perlu mendapatkan semua sumber maklumat yang boleh
diperoleh, termasuk ibu bapa, doktor, perpustakaan dan persatuan bagi membantu
murid berkenaan.
Rancangan sekolah selalunya dibuat berdasarkan
kepada murid yang sederhana dan cerdik. Kanak-kanak yang bermasalah
pembelajaran seolah-olah dipaksa menghadapi kegagalan serta kekecewaan dan akan
berdepan dengan kesukaran. Dalam situasi sekolah seperti ini, kanak-kanak ini
merasakan dia akan gagal dalam hidup, cita-citanya tidak diendahkan, terbantut
atau dimusnahkan. Dia juga mungkin percaya jika diarah supaya percaya dia tidak
akan Berjaya. Bagi membantu seseorang itu belajar, seorang guru perlu tahu
muridnya sendiri, sifatnya, keperluannya serta latar belakangnya. Guru perlu
mempertimbangkan bagaimana membantu muridnya menangani situasi yang dihadapinya,
merangsangnya supaya terus belajar, mempermudahkan proses pembelajarannya dan
menyediakan persekitaran yang membolehkan kanak-kanak ini mengamalkan apa yang
dipelajarinya.
Ada antara kanak-kanak ini boleh berjaya di
sekolah dan dalam hidup jika minat mereka dirangsang dan mereka diberikan
peluang. Mereka boleh dipimpin supaya menguasai banyak perkara abstrak yang
mudah. Perbendaharaan kata yang mudah harus digunakan, bahan bacaan mesti
ditulis berkaitan kepentingan hidup, serta pengajaran am dan kadar pembelajaran
mestilah dilambatkan. Dengan itu barulah mereka boleh menerima faedah yang
banyak dan menjadi murid yang berjaya. Sebahagian daripada kegagalan mereka
yang bermasalah pembelajaran dikaitkan dengan segolongan pendidik tidak
bewibawa yang menempatkan kanak-kanak ini ke dalam situasi dimana mereka tidak
boleh berjaya dan kemudiannya tidak membuat sesuatu bagi menolong penyesuaian
mereka.
Kefahaman mengenai kanak-kanak adalah asas
kepada sebarang pertolongan atau bimbingan yang mungkin diberikan kepada
mereka. Anak-kanak ini sedang maju ke hadapan dan perlu mempunyai jalan yang
disediakan untuknya. Dia mesti dapat memahami nilainya dan mengenal pasti
rintangan-rintangan serta potensinya. Justeru, kanak-kanak ini perlu dibimbing
menuju ke sesuatu matlamat yang ingin dicapainya. Proses pembelajaran adalah
satu aktiviti yang kompleks kerana banyak perkara berlaku serentak pada masa
yang sama. Sewaktu sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran dikendalikan,
terlalu banyak perkara yang perlu diberi perhatian oleh kanak-kanak ini bagi
memastikan mereka menguasai apa yang diajar oleh guru. Proses ini tidak dapat
dilakukan secara maksimum oleh sisiem neurologi seperti yang diharapkan. Walau
bagaimanapun, pembelajaran boleh dimudahkan dengan wujudnya keadaan seperti
berikut:
• Terdapat objektif yang jelas dan berpotensi
di capai.
• Murid mempunyai motivasi untuk belajar.
• Murid disediakan dengan tugasan pembelajaran
yang sesuai dan memberikan mereka peluang mengamalkan tingkah laku yang
diperlukan.
• Apabila pembelajaran berlaku, murid mendapat
peluang mengamalkan tugas yang lebih sukar yang mendorongnya supaya belajar
lebih lanjut.
• Murid diberitahu mengenai kemajuannya dan
dibantu supaya mencapai objektif yang dimahukan.
Kebanyakan kanak-kanak bermasalah pembelajaran
tidak dapat berkomunikasi dengan baik di dalam kelas. Murid memerlukan bentuk
komunikasi yang baik dan jelas bagi memudahkan proses pengajaran dan
pembelajaran. Guru perlu mengambil kira dalam komunikasi, setiap mesej yang
hendak disampaikan memerlukan tidakan yang sesuai dengan kehendak murid.
Sehubungan ini, komunikasi corak berikut dapat diwujudkan di dalam kelas:
• Komunikasi antara perseorangan – melibatkan
dua orang yang berinteraksi secara bersemuka.
• Komunikasi kumpulan kecil – himpunan
individu yang berinteraksi antara satu sama lain secara langsung atau tidak.
Ini adalah proses di mana sesuatu kumpulan bertukar-tukar pendapat.
• Komunikasi umum – melibatkan kumpulan yang
lebih besar. Guru perlu berkemampuan menarik perhatian murid dengan nada suara
yang menarik, bijak menyusun kata, tegas dan mempengaruhi.
• Komunikasi massa – melibatkan penggunaan
alat-alat komunikasi seperti televisyen, radio, internet, akhbar dan majalah.
• Komunikasi bercirikan kekeluargaan – murid
digalakkan beralah, menahan rasa marah bagi mewujudkan hubungan yang harmoni.
Guru juga perlu memikirkan cara komunikasi
seperti yang berikut supaya komunikasi antara guru dan murid lebih berkesan:
1. Gunakan teknik komunikasi yang jelas.
• Penyampaian secara khusus
• Nyatakan serta merta sesuatu perkara atau
teguran
• Jangan buat penilaian terlalu awal sebelum
mendengar dan meneliti
• Selaraskan maklumat dengan cara
berkomunikasi: apa yang disampaikan mestilah konsisten dan tidak berubah-ubah
bagi mengelakkan kekeliruan
2. Tunjukkan penghormatan dan kasih sayang
• Cakap dengan lemah lembut
• Jawab apabila ditanya
• Penuhi permintaan yang munasabah
• Minta bantuan pelajar dengan cara yang sopan
• Sedar kasih sayang lebih berkesan daripada
cara yang keras
3. Elakkan menyebut perkataan-perkataan yang
negatif. Padamkan rekod negatif dalam minda murid.
4. Kembangkan potensi dan kebolehan murid.
Jangan perkecilkan kebolehan murid.
5. Dengar dengan aktif serta berikan perhatian
kepada apa yang dituturkan, isi perkataan dan selami serta fahami perasaannya.
6. Nyatakan mesej tidak boleh, secara berhemah
dengan cara:
• Beri alternatif
• Beri penjelasan kenapa tidak boleh
• Fahami dan hormati perasaan murid dan
tunjukkan perasaan simpati dan empati, terangkan masalah ataupun risiko
berkaitan dengan perkara yang ditegah
7. Nasihat
Ketidaktentuan sewaktu berkomunikasi sekaligus
mewujudkan ketidakberkesanan dalam hubungan sosial murid. Di sekolah murid
dapat memperkembangkan kemahiran sosial bersama rakan-rakan. Tetapi di kalangan
murid bermasalah pembelajaran mereka mempunyai masalah bersosial dengan
rakan-rakan. Seorang guru mempunyai peranan yang sangat penting dalam membantu
mereka meningkatkan kemahiran bersosial dikalangan rakan-rakan. Seorang guru
boleh:
• Guru boleh melantiknya sebagai ketua
kebersihan atau apa saja jawatan yang penting supaya kanak-kanak ini sedar
bahawa mereka sentiasa dihargai guru dan rakan-rakan dan menerima mereka
sebagai sebahagian daripada ahli kelas. Ini mendorong mereka supaya lebih
berani untuk bersuara.
• Sentiasa menghampiri dan memberikannya
senyuman setiap masa. Ini mendorongnya rasa seronok untuk datang ke sekolah.
• Sentiasa menegurnya. Walaupun dia sering
mengelakkan diri, tegurlah dia supaya dia tahu ada yang sudi bercakap
dengannya.
• Galakkan murid-murid lain supaya sentiasa
menghampirinya terutama semasa rehat dan di dalam kelas. Ini penting supaya dia
sedar, dia tidak bersendirian dan ramai rakan-rakan di sekelilingnya.
• Libatkan kanak-kanak tersebut dalam
perbualan seharian seperti bertanyakan aktivitinya pada hujung minggu,
bertanyakan makanan kegemarannya atau hobi di masa lapangnya.
• Sentiasa memberikan pujian kepadanya. Kanak-kanak
akan merasa bangga apabila dipuji walaupun perkara itu kecil dan menyedarkan
dirinya dihargai.
Disamping perkara-perkara di atas,
elemen-elemen diri guru juga dapat membantu menyampaikan mesej kepada murid
dengan lebih berkesan. Antara elemen yang penting adalah:
Penampilan diri
Ini merangkumi kedudukan kepala, posisi tubuh
serta cara berpakaian. Penampilan luar menciptakan kesan murid kepada diri
mereka. Pelanggan tertarik membeli barang-barang yang bungkusannya kelihatan
menarik. Begitu juga dengan guru, dinilai oleh penampilan peribadinya.
Muka
Ia merangkumi kelembutan wajah serta mata
iaitu lirikan renungan dan sebagainya, mulut sama ada tersenyum atau tidak.
Guru yang digerakkan oleh semangat kelembutan dapat mengarahkan segala
tenaganya kepada tindakan dan seterusnya keberkesanan pengajarannya.
Suara
Gaya bercakap terletak kepada suara. Suara
mestilah jelas dan lantang. Ada guru yang terlampau cepat bercakap ataupun
suaranya tidak kedengaran. Amat penting bagi guru meminta kerjasama murid-muridnya
dengan memberitahu kalau-kalau suaranya tidak kedengaran atau percakapannya
terlalu cepat. Suara yang jelas dapat menutup jurang komunikasi antara guru dan
murid.
Sentuhan
Memegang tangan dan beberapa sentuhan lain
antara guru dan murid sangat penting. Sentuhan yang sihat dapat meyakinkan
murid kemesraan sudah wujud. Mereka merasa diri mereka disayangi, dihargai dan
sebagainya.
Interaksi yang berkesan adalah interaksi yang
merapatkan hubungan antara ibu bapa dan guru sama ada bersifat verbal atau
tidak. Walaubagaimanapun, interaksi yang berkesan ini kurang dipraktikkan oleh
guru dan ibu bapa kerana sibuk dengan tugasan harian. Guru berperanan untuk
menarik perhatian ibu bapa supaya dapat berinteraksi dengan lebih kerap agar
segala permasalahan anak dapat dibincangkan. Ibu bapa mestilah dianggap sebagai
rakan kongsi yang penting. Guru berperanan supaya penglibatan ibu bapa ini
lebih berkesan lagi. Guru haruslah juga melatih diri menjadi pendengar yang
baik, belajar mengenal pasti tanda-tanda sedih, marah dan kekecewaan serta
bertindak dengan sepatutnya.
Sumber:
http://childneed6093blogspotcom-sacemo.blogspot.com
No comments:
Post a Comment