Sunday, May 27, 2012

Dokumentari bertajuk Menyelami 'pesakit' Autisma di NTV7


MENURUT istilah sains, autisme dikategorikan sebagai gangguan perkembangan yang kompleks disebabkan kerosakan pada otak sehingga mengakibatkan gangguan pada perkembangan komunikasi, perilaku, kemampuan sosialisasi, pengetahuan dan belajar.

Pesakit mempunyai perbezaan dalam kemampuan dan perilaku mereka. Masing-masing memiliki sekumpulan ciriciri yang unik serta kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Talian Hayat kali ini paparkan masalah yang disuarakan seorang datuk mengenai cucunya mengalami masalah penyakit itu kepada penerbit yang juga pengacara Talian Hayat, Wan Kamaruddin Wan Ibrahim atau Wan K.

Menurut Wan K, akibat daripada penyakit itu kanak-kanak berdepan masalah terlalu aktif, mengulas percakapan orang dan sukar membawa diri. Penyakit ini juga menjadi salah satu faktor di mana ibu bapa berasa tertekan.

“Saya sendiri tidak begitu mengetahui mengenai autisme sehingga mendapat penjelasan daripada seorang profesor dan beberapa doktor yang membuat kajian serta sudah mengenal pasti mengenai penyakit ini.

“Tidak dinafikan, ramai ibu bapa yang kurang mengetahui mengenai penyakit ini. Malah, ada di kalangan profesor dan doktor berpendapat sebahagian besar masalah penderaan berlaku disebabkan penyakit ini.

“Ada beberapa gejala yang dikenal pasti pada golongan penghidap penyakit ini. Ada juga di kalangan saintis yang percaya penyakit ini disebabkan tekanan dan sikap ibu mengandung yang kuat merokok,” katanya.

Dalam episod sama, Wan K turut berpeluang meninjau kehidupan kelompok yang menghidapi penyakit itu termasuk berkunjung ke Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom) iaitu sebuah pertubuhan yang mengendalikan pesakit autisma yang terletak di Taman Tasik Titiwangsa di ibu kota.

Melalui beberapa kes, ada di kalangan pesakit yang mengikuti kaedah terapi dengan betul berjaya menunjukkan kecemerlangan dalam beberapa bidang seperti menguasai permainan piano dan ada juga mencatat pencapaian memberangsangkan dalam bidang akademik.

Kanak-kanak yang mengidap penyakit ini juga berjaya mencatat sejarah tersendiri apabila cubaan mereka dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi persembahan.

Seramai 25 kanak-kanak pengidap penyakit berkenaan berusia dari tujuh hingga 13 tahun turut menjayakan satu persembahan.

Tambah Wan K, pendedahan mengenai penyakit ini diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat dan memberi galakan kepada ibu bapa supaya mengambil iktibar mengenainya.

“Kanak-kanak yang menghidap autisme perlu diberi peluang. Malah, ibu bapa juga perlu melaksanakan kaedah yang betul bagi memulihkan penyakit berkenaan.

“Menurut kajian, ada beberapa ibu bapa yang mudah putus asa untuk membimbing pesakit autisme sehingga ada yang mengambil pendekatan salah seperti mengurung dan memukul anak-anak itu,” katanya.

Bukan hanya keluarga berdepan masalah autisme, masyarakat juga perlu mengambil tahu mengenai penyakit berkenaan.

 Oleh Wan Asrudi Wan Hasan


Saksikanlah dokumentari 
bertajuk Menyelami 'pesakit' autisme di NTV7

TALIAN HAYAT 1



TALIAN HAYAT 2



TAIAN HAYAT 3




No comments:

Post a Comment