Wednesday, April 11, 2012

Mengubah suai tingkah laku kanak-kanak istimewa

GOLONGAN kanak-kanak istimewa ibarat permata yang tiada tandingannya. Kehadiran mereka dalam rumah tangga juga menjadi penyeri seperti kehadiran anak-anak normal lain.

Walaupun tidak sempurna, mereka mempunyai keistimewaan deria serta kebijaksanaan tersendiri. Seiring dengan peredaran zaman serba canggih ini, kanak-kanak ini boleh dibentuk ke arah pembangunan mental yang berkualiti.

Justeru, ibu bapa tidak harus menyisihkan kehadiran mereka yang sekali gus akan membantutkan penyertaan mereka dalam aktiviti keluarga.

Terdapat juga ahli keluarga yang terlalu memanjakan mereka sehingga kanak-kanak ini tidak mampu berdikari walaupun setelah mencecah alam dewasa.

Mary Anne Joseph, pemilik Mary Anne Special Needs, sebuah pusat kanak-kanak keperluah khas berkata, golongan istimewa ini sebenarnya memiliki enam deria dan perlu dididik untuk belajar berdikari sebelum usia mencecah tujuh tahun lagi.

“Tidak ada ubat khusus untuk golongan ini, tetapi perhatian dan bagaimana cara kita mengajar mereka melakukan aktiviti harian semasa mereka masih muda lagi, dapat membantu golongan ini.

“Tingkah laku merupakan kunci segalanya bagi memastikan mereka dapat melakukan kerja-kerja yang melibatkan pengurusan diri seperti makan, minum dan sebagainya, tanpa bantuan orang lain,” jelasnya ketika ditemui di premisnya di No. 50, Jalan 10/27A, Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Mary Anne telah bekerja bersama individu keperluan khas selama 18 tahun. Kerjayanya bermula pada tahun 1989, apabila beliau telah diperkenalkan kepada seorang pelajar autistik.

Inilah yang menjadi titik permulaan kepada kerjaya Mary Anne, yang sehingga kini beliau anggap ia berlaku sebagai kebetulan.

Bercerita tentang keperluan kanak-kanak istimewa, Mary Anne menjelaskan, golongan ini juga mempunyai keperluan seperti insan sempurna lain.

Bezanya, perhatian yang diberi terhadap mereka mungkin lebih sedikit dengan latihan dan didikan harus dimulakan dari usia muda lagi.

“Apabila mereka sudah mencapai umur setahun atau dua tahun, ibu bapa boleh memulakan terapi rawatan seperti yang dilakukan di pusat kami.

“Ada kes yang menunjukkan golongan ini lebih pintar dan bijak berbanding golongan sempurna,” jelasnya.

Pusat kanak-kanak keperluan khas milik Mary Anne ditubuhkan pada 14 November 2003.

Menurutnya, ia merupakan organisasi persendirian yang menyediakan program latihan kepada kanak-kanak keperluan khas.

“Kanak-kanak yang datang ke sini termasuk mereka yang menghidap sindrom Down, palsi serebrum, autisme dan mereka yang mempunyai beberapa kekurangan.

Pengubahsuaian tingkah laku

“Tugas kami lebih menumpu kepada pengubahsuaian tingkah laku dengan harapan dapat menolong kanak-kanak ini memupuk atau meningkatkan kemahiran supaya boleh berdikari dan mampu menghadapi pelbagai cabaran,” katanya.

Tambah Mary Anne, visinya adalah untuk membantu seberapa banyak keluarga yang mempunyai kanak-kanak keperluan khas melalui pengubahsuaian tingkah laku.

Di samping itu beliau juga berhasrat memberikan kesedaran kepada masyarakat secara amnya.

“Kami ingin meringankan beban keluarga, agar anak-anak mereka yang istimewa dapat hidup berdikari dalam masyarakat terutama dari aspek sosial, mental dan pendidikan.

“Kami juga ingin menyedarkan masyarakat bahawa kanak-kanak keperluan khas ini mempunyai banyak potensi yang perlu dicungkil dan dipupuk,” jelasnya.

Selain itu, Mary Anne juga ingin memberikan keyakinan sepenuhnya kepada keluarga berkenaan bahawa mereka masih boleh membesarkan kanak-kanak istimewa dengan penuh kasih sayang tanpa membebankan diri mereka.

“Khidmat kami adalah seperti memberi penilaian dan laporan, sesi terapi individu, sesi terapi individu di luar, latihan bagi ibu bapa, sesi latihan kehidupan, perbincangan atau seminar, menunggu kuda, berenang dan sebagainya.

“Kami menyediakan pakej istimewa bagi sesi terapi dengan harga antara RM300 ke atas.

“Kami berhasrat menyediakan khidmat berkualiti kepada pelanggan kami melalui ahli terapi yang berkelulusan dan berpengalaman, sesi latihan peribadi, pemantauan secara tetap terhadap kemajuan kanak-kanak dan maklum balas daripada ibu bapa,” ujarnya.

Menurut Mary Anne, pusat kanak-kanak keperluan khas tersebut dilengkapi dengan kemudahan bilik terapi berhawa dingin, pemantauan melalui televisyen tertutup, muzik siar pusat, bahan bacaan untuk kanak-kanak dan ibu bapa, serta alat pembelajaran.

Mary Anne berharap usaha beliau ini dapat membina masyarakat penyayang, berkualiti dan berdikari.

Sumber: RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

No comments:

Post a Comment