Sunday, April 15, 2012

Cabaran ibu didik anak sulung autisme

KELAINAN dirasakan ketika anak lelaki sulungnya berusia dua setengah tahun apabila tidak lagi mengeluarkan suara untuk bercakap malah, jika dipanggil tetap tidak memberikan reaksi menyebabkan dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena pada anaknya itu.

Bagi Zuairiyah Md Noor, 49, naluri seorang ibunya kuat mengatakan anaknya ada masalah kesihatan walaupun kebanyakan doktor yang ditemui tidak mengakuinya. Malah, dia dikatakan terlalu gemuruh kerana mengikutkan perasaan dan diminta tidak terlalu memikirkan perkara itu.

Bagaimanapun, apa yang ditakutinya menjadi realiti apabila anaknya Mohamed Danial Zulkifli kini berusia 22 tahun disahkan mengalami autisme di usia enam tahun. Katanya, dia tidak mengetahui apa itu autisme tapi tetap menerima ketentuan-Nya dengan hati terbuka dan mendapatkan maklumat berkaitan untuk lebih memahami permasalahan itu.

“Ketika itu tidak seperti hari ini segala maklumat berada di hujung jari, saya mulakan dengan mencari buku berkaitan autisme dan membuka minda mengenai apa yang sebenarnya dihadapi oleh anak.

“Saya mula menghantar anak berjumpa pakar sama ada untuk melakukan terapi pertuturan, tingkah laku dan pekerjaan dalam usaha membantunya,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Nasom di Damansara Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Namun, masalah mula timbul apabila Danial memasuki alam persekolahan kerana dia inginkan anaknya berada di sekolah biasa bukan di sekolah khas.

Zuairiyah berkata, disebabkan gangguan perkembangan Danial, dia tidak dapat bergaul dengan rakan sekelasnya seperti kanak-kanak normal lain. Di sekolah dia tidak bercakap, tidak bergaul dengan sesiapa serta sangat hyper.

“Ini menyebabkan guru kelasnya serta sekolah meminta saya memasukkan Danial ke kelas khas tetapi saya tetap nekad dan tidak menghiraukan semua itu.

“Untuk membolehkan Danial lebih terjaga saya menyediakan pembantu mengawasinya di dalam kelas dan meredakan ketegangan antara guru dan Danial,” katanya.

Menurutnya, pada waktu itu dia tidak mengetahui mengenai Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) dan perkhidmatan disediakan untuk kanak-kanak yang autisme seperti Danial.

“Tetapi apabila Danial mula memasuki sekolah menengah, saya mula mempertimbangkan mengenai keselamatannya kerana bimbang akan menjadi mangsa buli rakan yang tidak memahami golongan sepertinya dan mula mencari alternatif lain.

“Dia dimasukkan ke sekolah menengah pendidikan khas tetapi semua program berkaitan pembelajarannya saya sediakan sendiri dan ia amat berkesan untuk Danial,” katanya.

Hanya pada 2005 barulah dia menghubungi Nasom kerana pendekatan cara lama sudah tidak boleh diguna pakai untuk Danial kerana dia makin dewasa dan keperluannya berlainan dengan perkembangannya.

“Dia mula menunjukkan tanda agresif seperti suka menjerit, menangis, menendang pintu dan selepas melakukan pemeriksaan barulah saya mengetahui bahawa dia menghidap sawan.

“Semua gejala itu berlaku disebabkan rasa sakit yang dialaminya dan ia juga cara dia menyatakan kesakitannya,” katanya.

Dalam pada itu, Zuairiyah terpaksa berkorban masa berulang alik dari rumahnya di Kuantan ke Kuala Lumpur untuk memenuhi keperluan terapi yang diperlukan Danial setiap minggu.

Kemudian Zuairiyah memutuskan untuk menghantar Danial memasuki pusat vokasional remaja dan dewasa di Bandar Puteri, Klang yang disediakan Nasom.

Tetapi untuk melepaskan Danial pergi amat berat untuk dilakukan kerana dia tidak mempercayai sesiapa menjaga anaknya hinggakan Zuairiyah dan Danial perlu menghadiri terapi bagi melengkapkan diri secara mental dan fizikal.

“Ternyata keputusannya melepaskan Danial adalah sesuatu yang memberangsangkan kerana anaknya lebih gembira berada bersama rakan dan guru yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

“Setiap hujung minggu apabila Danial pulang ke rumah dia terus bertanyakan bila dia akan kembali ke pusat berkenaan. Walaupun sekejap tapi saya tahu Danial amat merindui rakan dan gurunya di sana,” katanya.

Namun, tidak dapat dinafikan tekanan menjaga anak autisme amat tinggi dan ibu bapa serta ahli keluarga akan merasai ketegangannya secara menyeluruh.

“Saya turut mengalaminya kerana ada satu tahap di mana saya berasa cukup tertekan dan hampir putus asa tetapi saya bertanya pada diri jika tidak melakukan sesuatu sekarang apa akan jadi padanya sekiranya saya tidak kuatkan semangat.

“Jangan terlalu fikirkan masa depan yang belum tentu dan mengabaikan masa kini kerana apa yang dilakukan untuk mereka kini lebih penting berbanding cuba mencapai sesuatu yang mustahil yang belum pernah dirasakan,” katanya.

Namun berlainan pula dengan guru yang perlu sentiasa berhadapan dengan pelbagai kerenah kanak-kanak autisme berkenaan, Saffiza Anuar, 30, kerana mungkin ramai beranggapan apabila menjaga anak autisme perkara utama yang akan dirasai adalah tekanan.

Walaupun, tidak dapat dinafikan pada mulanya dia berasakan susah untuk berhadapan dengan kanak-kanak ini kerana tidak tahu cara untuk menangani mereka tapi baginya, apabila berhadapan dengan perangai kanak-kanak ini ia seperti satu terapi untuk menghilangkan tekanan.

“Kebanyakan kelakuan serta perangai yang mereka lakukan ada kalanya amat menghiburkan kerana kita sendiri tidak boleh menyangka apa yang akan mereka lakukan kerana tidak seperti kanak-kanak normal lain.

“Saya cukup terhibur dengan gelagat dan keletah mereka dan tidak pernah sesekali menganggap ia sebagai bebanan,” katanya.

Bagaimanapun, sekiranya kanak-kanak ini menunjukkan tindakan kurang menyenangkan dan mula bertindak agresif apa yang boleh dilakukan ialah berundur dan jangan bertindak serta melakukan sesuatu yang boleh meningkatkan lagi ketegangan yang dialami mereka.

Sumber: Terlepas pandang, maaf...lupa nak catat

No comments:

Post a Comment