Friday, April 20, 2012

Kecacatan tidak halang Anthony


Antara reka bentuk piuter hasil kehalusan kerja tangan Anthony.


SETIAP pekerjaan yang dilakukan dengan penuh minat dan kesungguhan pasti akan membuahkan hasil dan kepuasan kepada diri sendiri walaupun menghadapi kesusahan pada peringkat permulaan.

Anthony Das T. Sunderarajah, 48, yang berasal dari Kuala Lumpur adalah insan yang berhati cekal kerana sentiasa komited meneruskan kelangsungan seni kraf tangan piuter sehingga hari ini.

Bapa kepada dua orang puteri ini bukan sahaja mempunyai semangat tinggi dalam setiap kerja yang dilakukan, malah kemahiran mengukir piuter bagai sudah sebati dalam dirinya.

Apa yang membezakan dirinya dengan insan lain adalah semangat yang tidak pernah luntur untuk memartabatkan hasil seni kraf tersebut walaupun beliau boleh dikategorikan sebagi orang kelainan upaya (OKU) kerana masalah pendengaran dan pertuturan.

Walaupun keadaan dirinya yang tidak sempurna seperti insan lain, beliau boleh berbangga kerana menjadi salah seorang pekerja di Jabatan Komisen Khas Royal Selangor yang berperanan besar dalam penghasilan barangan piuter berprestij seperti pingat tempahan syarikat swasta mahupun sektor awam.

Mengimbas kembali saat dirinya mula terlibat dengan penghasilan kraf tersebut, Anthony mengakui tidak mempunyai ilmu dan pengalaman ketika pertama kali bekerja di Royal Selangor.

"Ketika mula bekerja di sini saya memang tidak tahu apa-apa tentang proses pembuatan piuter.

"Namun itu bukanlah halangan untuk saya terus bekerja apatah lagi pada ketika itu telah timbul minat dan keinginan untuk belajar lebih mendalam tentang kraf piuter.

"Pertama kali cuba mengukir piuter saya terus jatuh cinta walau pada peringkat permulaannya menghadapi kesukaran dari segi memahami cara produk dihasilkan yang sememangnya memerlukan ketelitian dan kesungguhan.

"Namun kesukaran seperti teknik dan cara untuk menghasilkan produk ini hanya mengambil masa selama setahun tambahan ketika itu saya mendapat tunjuk ajar dan sokongan daripada penyelia kanan," katanya.

Anthony mengakui, ada ketika beliau juga berasa tertekan lantaran perlu mengejar masa yang diberikan untuk menyiapkan sesuatu produk dalam tempoh tertentu.

Produk yang dihasilkan olehnya adalah mengikut lakaran dan graf yang disediakan oleh pelanggan dan syarikat tertentu.

Setelah ia siap diproses, produk tersebut akan dinilai dahulu oleh pihak atasan sebelum diserahkan kepada pelanggan untuk memastikan kualiti dan ketepatannya.

Tambahan, kemahiran khusus beliau dalam pengikisan hanya dimiliki oleh beberapa orang pengendali di Royal Selangor selain tugasnya yang lain termasuk membuat penggilingan, pembentukan, pematerian, kemasan dan banyak lagi.

Walaupun tidak berupaya mendengar dan bertutur, Anthony tidak menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan sekerja dan majikan.

Sehingga kini, beliau juga menghasilkan trofi-trofi untuk acara sukan berkelas dunia termasuk acara Formula One di Sepang, Singapura dan Shanghai, kejohanan Shanghai ATP Masters dan CIMB Asia Pasific Classics Malaysia.

Selain itu, selama tempoh 30 tahun berkhidmat di Royal Selangor beliau telah menerima dua anugerah iaitu Anugerah Yong Peng Kai (2010) dan baru-baru ini menerima Anugerah Tukang Ulung 2012 yang diberikan oleh Kraftangan Malaysia kerana kemahiran dan komitmen beliau terhadap ketukangan.


No comments:

Post a Comment