Wednesday, April 4, 2012

Kekurangan bukan halangan jadi cemerlang



Azreen Husaini Husop (tengah) bersama Pengetua SMK Jengka Pusat, Hafidzah Jono (kiri) dan Penolong Kanan sekolah tersebut, Mat Rozi Mat Sani sewaktu mengambil keputusan peperiksaan SPM di sekolah berkenaan di Maran, kelmarin.


MARAN 23 Mac - Kesukaran bertutur, menulis dan berjalan bukan halangan bagi seorang remaja orang kurang upaya (OKU) untuk muncul antara pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 di negeri ini.

Dalam keputusan yang diumumkan kelmarin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat di sini, Azreen Husaini Husop, 18, memperoleh 5A 3B dan 2C, sekali gus melayakkannya diiktiraf sebagai calon Berkeperluan Khas Terbaik Pahang bagi SPM 2011.

Beliau sebelum ini membuktikan kecemerlangannya dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 dengan memperoleh 8A 1B seterusnya dinobatkan pelajar Calon Berkeperluan Khas Terbaik Pahang.

Azreen Husaini ketika ditemui di rumahnya di Felda Jengka 1 di sini berkata, dia amat gembira dengan keputusannya itu yang dianggap setanding dengan pelajar normal lain.

"Walaupun dikategorikan sebagai OKU, saya berusaha membuktikan yang saya mampu melakukan yang terbaik. Tiada perasaan rendah diri dalam kamus hidup saya, malah kekurangan itu dijadikan pemangkin untuk belajar bersungguh-sungguh," kata anak seorang bilal Masjid Felda Jengka 1 itu.

Anak sulung daripada tiga adik-beradik itu mengakui kejayaannya banyak disokong oleh guru dan rakan yang sering membantu dalam semua perkara bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dalam kegiatan harian.

Menceritakan rahsia kejayaannya, Azreen Husaini memberitahu, tumpuan dalam kelas, membuat latihan dan nota pendek terbukti berkesan untuk mencatat keputusan cemerlang.

Tambahnya, walaupun menghadapi masalah untuk menulis kerana kecacatan anggota tangannya, ia bukan halangan untuk membuat segala tugasan yang diberikan guru.

"Cara belajar bersistematik yang diamalkan sepanjang tinggal di asrama sangat membantu menjawab soalan di dewan peperiksaan," katanya yang berhasrat untuk menjadi guru terutama dalam bidang pendidikan khas bagi memberi motivasi kepada golongan yang senasib dengannya.

Dalam pada itu, bapanya, Husop Muhamad, 45, memberitahu, akibat kecacatan anggota kakinya, anak sulungnya itu tidak mampu bergerak pantas dan perlu dibantu terutama jika menaiki tangga dan sebagainya.

Azreen Husaini juga jelasnya, mengalami masalah pertuturan yang menyebabkan sesetengah orang tidak memahami apa yang diperkatakan.

Katanya, masalah fizikal anaknya itu hanya disedari ketika Azreen berusia dua tahun apabila dia tidak menunjukkan perkembangan yang normal sebagaimana bayi seusia dengannya ketika itu.

"Namun setelah mendapat rawatan secara moden dan tradisional, perkembangan fizikalnya semakin baik walaupun pergerakan tangan dan kakinya sangat perlahan," katanya.

Ibunya, Noraini Abdul Hamid, 44, tidak dapat menyembunyikan rasa bersyukur dan gembira atas kejayaan anak sulungnya dalam SPM 2011.

"Saya bersyukur kerana anak sulung saya Azreen Husaini itu mendapat kejayaan baik walaupun terdapat kekurangan pada dirinya tetapi dia tidak pernah berputus asa.

''Sejak kecil dia sangat suka berdikari dan membaca buku, malah diberi jolokan 'ulat buku' oleh kawan-kawan sedarjah. Azreen juga sangat manja dengan arwah datuknya, Abd. Hamid Salleh, 74, yang meninggal dunia pertengahan tahun lepas akibat lelah," katanya.

No comments:

Post a Comment