Thursday, April 5, 2012

Inisiatif Kelas Pendidikan Khas SMK Dusun Nanding




DENGAN penuh berhati-hati, Mohd. Amirul Syafiq Soleh, mengambil sekeping doh yang telah siap digelek oleh rakan di sebelahnya.

Kepingan kecil doh itu yang diletakkan di dalam sebuah pinggan, kemudian digunting perlahan-lahan sehingga habis. Usai kepingan pertama, Amirul pantas mengambil kepingan doh baru pula untuk digunting.

Ternyata dia begitu teliti dan cermat dalam melakukan tugasnya itu. Apabila ditanya, adakah dia seronok dengan rutin tersebut, Amirul menjawab dengan suara perlahan: "Seronok sebab dapat belajar buat kuih gunting dan kuih siput. Kuih-kuih ini sedap. Lagi pun di sini ramai kawan."

Amirul merupakan salah seorang daripada 38 murid yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) - Bermasalah Pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Dusun Nanding, Hulu Langat, Selangor.

Sekali pandang, tiada sebarang perbezaan antara Amirul dan pelajar seusianya. Namun, jika diamati dengan baik barulah dikesan bahawa dia tergolong dalam kalangan pelajar lembam.


MENGAJAR anak-anak istimewa sebegini memerlukan kesabaran dan kesungguhan yang tinggi.


Pada usia 17 tahun, Amirul sepatutnya bakal menduduki peperiksaan penting, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi hasrat itu terpaksa ditangguhkan kerana pemikirannya yang agak lembap dan kurang aktif berbanding remaja lain.

Justeru, anak sulung daripada dua adik-beradik itu diserapkan dalam program tersebut yang terbukti mampu mendidik anak-anak istimewa menjadi pelajar yang pandai berdikari.

Menurut Pengetua SMK Dusun Nanding, Kamariah Abdul Rahman, 55, PPKI mula dibuka pada 16 Ogos 2006 dengan dua orang guru dan sembilan murid.

Ia bertujuan untuk mendidik murid-murid yang secara fizikalnya normal tetapi lemah dalam pembelajaran (lembam). Selain itu, program itu juga mengajar anak-anak yang mengalami kecacatan tertentu seperti sindrom down, hiperaktif, spastik, autisme dan sebagainya.

"Sehingga kini terdapat 38 murid yang mengikuti PPKI di bawah 10 tenaga pengajar yang mempunyai kelayakan Ijazah Pendidikan dalam Pendidikan Khas serta dibantu lima kakitangan pengurusan murid.

"Kebanyakan murid yang berdaftar dalam program ini terdiri daripada mereka yang berusia 13 hingga 19 tahun," ujar Kamariah ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, guru-guru amat kreatif, sabar dan sentiasa memberikan kerjasama untuk membantu kejayaan murid-murid PPKI dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.


WALAUPUN tidak seperti pelajar normal yang lain, tetapi kebanyakan mereka mempunyai bakat dalam bidang tertentu contohnya dalam bidang seni kreatif.


Perkara itu diakui oleh Penyelaras PPKI, Foziah Abd. Hamid, 44, yang gembira dengan pencapaian pelajar di bawah program tersebut sejak ia mula ditubuhkan.

"Alhamdulillah, banyak kejayaan dikecapi oleh pelajar ini dalam bidang kokurikulum sama ada di peringkat daerah, negeri mahu pun kebangsaan.

"Antaranya termasuklah dalam sukan lontar cakera, pertandingan bercerita Kisah Nabi dan pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan," jelas Foziah yang mempunyai kelulusan Sarjana dalam Pendidikan Khas dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Untuk bidang kurikulum pula, terdapat empat jenis kemahiran yang disediakan iaitu Kemahiran Jahitan, Kemahiran Masakan, Kemahiran Mendobi dan Kemahiran Perkebunan.

Lantaran kecemerlangan yang ditunjukkan, maka PPKI telah berjaya mengeluarkan Sijil Kemahiran untuk pelajar yang menamatkan persekolahan di situ pada 2009.

"Kejayaan itu merupakan hasil kerjasama dengan Unit Pendidikan Khas Negeri Selangor dan mantan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Dr. Zahri Aziz," ungkap Foziah sambil menambah pelajar istimewa tersebut adakalanya lebih berdisiplin daripada pelajar yang normal dan mereka mudah untuk diuruskan.

Dalam pada itu, bermula tahun ini PPKI menjalin kerjasama dengan Pusat Giat Mara Kajang apabila menghantar tiga pelajarnya mengikuti program jahitan, automotif dan masakan di sana.

Tidak ketinggalan, program itu turut mengikat kerjasama dengan ramai pihak luar untuk mempelbagaikan aktiviti pembelajaran secara aktif seperti Petronas, UKM, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).


KEBUN yang diusahakan pelajar PPKI hidup subur dan mereka seronok melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.


Bagi guru Kemahiran Mendobi, Nurjihan Nordin, 35, pengalaman mengajar anak-anak istimewa dalam PPKI memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Pelajar program ini sangat sensitif. Mereka perlu dilayan dengan baik dan tidak boleh dikasari. Walaupun adakala terasa penat apabila apa yang diajar tidak dapat ditangkap dengan cepat oleh pelajar, tetapi kami tetap tidak jemu menurunkan ilmu pada mereka.

"Cuma, satu yang istimewa bagi saya ialah pelajar ini sangat menghormati dan mempunyai perasaan sayang terhadap guru. Ini berbeza dengan kebanyakan pelajar normal lain yang sering bersikap kurang ajar atau biadap terhadap guru masing-masing," tutur Nurjihan sambil memberitahu pelajar sebegini perlu disayangi dan tidak dipinggirkan.


Sumber:

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment