Friday, April 6, 2012

Kerenah birokrasi pinggirkan peluang OKU


KOTA BHARU- Orang kelainan upaya (OKU) sering dipinggirkan kerana masalah birokrasi menyebabkan hanya satu peratus sahaja di kalangan mereka dijanjikan dalam perkhidmatan awam.

Presiden Majlis Intelektual Melayu (MIM) OKU Malaysia, Dr Mohd Nawi Ismail berkata, mereka masih tidak mendapat tempat untuk turut sama berkhidmat dalam jabatan kerajaan biarpun terdapat banyak syarat tambahan.

“Keadaan ini menunjukkan seolah-olah golongan OKU hanya sekadar dimanipulasikan untuk tujuan tertentu apabila janji kuota dibuat pihak kerajaan, sedangkan perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Tidak dinafikan, kerajaan banyak membantu golongan OKU, malah nasib kami sebenarnya jauh lebih baik daripada rakan-rakan di negara membangun lain, namun kerenah birokrasi di peringkat pelaksanaan menyebabkan kuota satu peratus tidak dipenuhi,” katanya semasa berucap pada Seminar Intelektual Muslim dan Mesyuarat Agung Tahunan MIM OKU Malaysia, di sini.

Beliau berkata, kuota itu mesti diatasi agar OKU tidak merasakan diri mereka dimanipulasikan dan dipinggirkan daripada hak yang dinyatakan secara jelas oleh kerajaan.

“Di universiti, ada OKU yang mempunyai kelulusan PhD (doktor falsafah), tetapi tidak diberi jawatan tetap atas alasan tidak ada keperluan dan tidak memenuhi syarat menghasilkan penerbitan jurnal berimpak tinggi, sedangkan ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan,” katanya.

Katanya, hasil daripada pelaburan besar kerajaan, bilangan OKU yang berpendidikan sudah semakin ramai dan mereka sepatutnya diberi ruang untuk di arus perdana bagi membangunkan negara.

Sumber:
Wartawan Sinar Harian
26 Mac 2012

No comments:

Post a Comment