Friday, February 3, 2012

Bacalah, untuk anakmu!


Buku bermain dengan angka juga boleh memenuhi jadual aktiviti anak-anak. - Gambar hiasan


PEPATAH Inggeris menyatakan rumah tanpa buku ibarah tubuh tanpa jiwa. Ia menggambarkan membaca memberikan ilmu dan menjadikan seseorang itu lebih berpengetahuan daripada yang tidak membaca. Setiap ibu bapa tentunya juga mahukan anak mempunyai kemahiran celik huruf seawal usia yang mungkin.

Aktiviti membaca sangat penting buat kanak-kanak dalam mendidik mereka menerokai bidang ilmu dan meneroka imaginasi si kecil dengan cara yang ceria.

Ia membolehkan mereka mengenali dunia baru yang kritikal untuk digunakan bagi tujuan komunikasi.

"Adalah menjadi tanggungjawab mutlak bagi ibu bapa untuk membantu dan memperkenalkan dunia membaca kepada si kecil. Hal ini boleh dimulakan sejak bayi dalam kandungan lagi dengan sentiasa membacakan bait-bait indah Al-Quran mahupun buku berunsur keagamaan, buku ilmiah dan juga buku cerita," ujar Hafiza Abdul Rahman, 29, yang melakukan kajian menerusi pengalaman peribadinya sebagai pejuang pendidikan di rumah.

Hafiza yang pernah berkhidmat sebagai pustakawan selama sembilan tahun mengakui terdapat beberapa dilema yang dihadapi oleh ibubapa mengenai cara mengajar membaca kepada anak kecil dalam suasana yang meriangkan.

Waktu yang sesuai

Menurut Hafiza, waktunya tiada istilah waktu yang sesuai untuk mengajar anak-anak membaca kerana ia tiada had. Ibu bapa memainkan peranan besar sebagai model mutlak anak-anak untuk memastikan setiap masa terluang idak dibazirkan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Sebelum mengajak anak-anak membaca, ibu bapa sendiri perlu menanam minat membaca dalam diri mereka.

Anak-anak yang sudah terbiasa dengan sifat mulia ibu bapa itu akan lebih mudah mendapat inspirasi dan mengambil teladan tersebut sebagai rutin harian mereka pula.

"Sebagai panduan, ibu bapa perlu menyediakan sesi khas setiap hari (15-30 minit) tanpa culas, untuk membacakan buku buat si kecil (yang baru lahir) hingga ke usia lewat remaja.

"Sesi ini dipanggil Read-A-Loud, yang menggunakan kaedah membaca sambil bercerita mengikut tonasi dan gaya yang menarik. Sesi ini singkat tetapi bermakna iaitu dipenuhi dengan kasih sayang dan suasana yang tenteram.

"Perkongsian ini akan mengikat tali silaturrahim yang lebih akrab antara ibubapa dan anak-anak. Sesi latihan membaca juga tidak perlu dihadkan dengan buku-buku sahaja. Tetapi boleh dijalankan dengan lebih kreatif seperti meminta anak-anak cuba mengeja dan membaca kad imbasan (flash kad), label, jenama, papan notis dan kenyataan, surat khabar, bil, sesi permainan komputer, majalah, brosur dan lain-lain lagi," kata ibu kepada empat anak itu lagi.

Bagaimana memulakannya?

Hafiza berkata, sebagai permulaan, ibu bapa perlu berusaha mencari bahan bacaan yang berkualiti tinggi, mempunyai kosa kata yang menarik, ringkas dan sesuai dengan peringkat umur anak-anak.

Sesi membaca untuk bayi boleh dimulakan dengan bercakap dan bercerita tentang gambar yang terdapat dalam buku dengan si manja, menyanyi dan membuat alunan bunyi untuk menarik perhatian bayi, bermain 'peek-a-boo' dengan buku tersebut bersama bayi dan berikan pengalaman bayi untuk menyentuh dan merasai tekstur buku yang dikongsi bersama.

Contohnya, bagi anak-anak baru lahir hingga tiga bulan, buku-buku bergambar dan objek berwarna merah, hitam dan putih adalah paling sesuai dengan si kecil bagi memupuk daya fokus buat permulaan.

Dari usia empat hingga 12 bulan, buku-buku yang diperbuat daripada fabrik lembut amat sesuai digunakan beserta gambar sebenar objek dan gambar ilustrasi sebagai bandingan buat si kecil memahami alam sekitarnya.

Oleh kerana di usia ini si comel gemar bereksperimen dengan alamnya. Buku-buku begitu dapat mengelakkan si kecil tertelan cebisan kertas. Usia awal kanak-kanak, buku-buku berkadbod tebal sesuai digunakan untuk menarik perhatian. Buku-buku berkonsepkan tauladan, hikayat dan alam semesta amat sesuai digunakan bagi sesi Read-A-Loud.

Anak-anak berusia satu tahun ke tiga tahun lebih menggemari cerita-cerita pendek dan tonasi pembacaan yang meriangkan. Bagi anak-anak pada usia tiga hingga enam tahun pula, buku-buku karya klasik seperti nukilan Dr. Seuss, kisah para anbiya' dan karya tempatan (berunsur hikayat dan legenda) yang dibacakan mengikut urutan bab setiap hari dapat memikat hati si kecil.

Untuk umur tujuh hingga sembilan tahun novel-novel mini seperti siri Enid Blyton boleh diperkenalkan pada anak-anak dan diteruskan kepada karya Datuk A Samad Said, Datuk Usman Awang, C.S Lewis, J.R.R Tolkie, J. K. Rowling, Kenneth Grahame dan penulis-penulis agung dunia lain.

Ia bagi memberi pendedahan kepada anak-anak supaya dapat menjadi sumber inspirasi buat si kecil dalam dunia penulisan dan persuratan yang penuh kreativiti dan imaginasi.

Anak-anak kecil lelaki pula lebih mudah menghayati bahan bacaan yang bergambar. Jadi ibu bapa boleh membantu dengan menyediakan komik yang mempunyai jalan cerita positif serta menggunakan bahasa Melayu yang tnggi.

Setiap anak-anak adalah unik, jadi adalah tidak wajar jika minat dan keperluan bacaan mereka disalahertikan tanpa diberi bantuan. Jangan sesekali hadkan ruang pembacaan ini, buku-buku boleh ditambah untuk judul bersiri, buku aktiviti serta buku pelajaran.

Membantu anak minat membaca

Semuanya bermula dari rumah. Ibu bapa bertanggungjawab mewujudkan perpustakaan mini untuk kegunaan keluarga. Lengkapkan rak-rak buku secara berkala dengan buku-buku, bahan ilmiah, majalah berunsur pendidikan, surat khabar dan peralatan menulis. Bina sudut kecil yang selesa, mempunyai ruang pengudaraan yang baik, tersusun dan menarik serta mudah dicapai atau diakses oleh anak-anak agar dapat memotivasikan anak-anak kepada ruangan ini. Hal ini perlu didahulukan berbanding ruang hiburan yang terdapat di rumah-rumah zaman ini.

No comments:

Post a Comment