Friday, December 2, 2011

Hak OKU dilindungi

Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my
2011/12/02

Kerajaan cuba penuhi keperluan golongan ini yang berhak nikmati kemudahan asas sama rata

MEMPERKATAKAN mengenai pembangunan infrastruktur awam dalam sesebuah negara, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran adalah sejauh mana infrastruktur di negara kita memenuhi keperluan dan keselesaan pengguna awam baik secara keseluruhan termasuk untuk orang kurang upaya (OKU).
Yang pasti semua orang berhak menikmati kemudahan asas disediakan tanpa mengira kedudukan atau hirarki sosial yang didiami, begitu juga dengan pecahan dalam masyarakat membabitkan OKU yang memang memerlukan kemudahan khas.
Pelbagai pihak mungkin mencuba sedaya upaya untuk memenuhi kehendak dan keperluan OKU daripada aspek kepenggunaan awam, namun pastinya ada yang terlepas pandang mengenai keperluan mereka dan banyak lagi keperluan infrastruktur yang perlu disediakan.

Jika dibandingkan dengan negara lain, Malaysia masih belum mencapai standard terbaik untuk kemudahan untuk OKU.

Pandangan itu diakui Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kei, yang menjelaskan kemudahan OKU di negara ini amat kurang berbanding negara lain, namun kerajaan sedaya upaya cuba memenuhi keperluan berkenaan memandangkan kelompok ini juga berhak untuk menikmati kemudahan asas sama rata.

“Berdasarkan kajian Audit Akses Untuk Ruang Awam Bagi OKU, pada 2008 lalu, terdapat 16 kawasan yang meliputi tipologi bangunan di seluruh negara menunjukkan bahawa, hanya empat saja daripada 16 kawasan yang dikaji itu berada pada tahap sederhana hingga ke tahap memuaskan.
“Manakala sebahagian besar lagi kawasan, bersamaan dengan 75 peratus kawasan masih lagi berada pada tahap yang tidak memuaskan, dari segi aksesibiliti kepada OKU. Walaupun kajian ini hanya meliputi segelintir saja kawasan, tapi ia cukup untuk menggambarkan senario semasa, berhubung tahap aksesibiliti OKU mengenai bangunan dan kemudahan awam di negara ini,” katanya pada ucaptama seminar Aksesibiliti OKU Kepada Bangunan dan Kemudahan Awam Bertemakan PBT Prihatin OKU Inklusif, baru-baru ini.

Seminar mengenai aksesibiliti OKU ini adalah kerjasama pintar antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi lain yang berkenaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaras dengan hala tuju pembangunan kerajaan yang berlandaskan kepada pembangunan inklusif dan keadilan sosial, meliputi semua strata masyarakat.

Pelbagai polemik timbul bagi menyuarakan pendapat mengenai nasib OKU yang dikatakan tidak sewajarnya dipandang sebelah mata kerana OKU juga adalah sebahagian anggota masyarakat, menjana keperluan mereka yang tersendiri dalam usaha untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Bahkan jika diperhatikan, tidak banyak kemudahan awam untuk OKU di seluruh negara disediakan PBT, kecuali ia mungkin boleh dilihat dengan banyak di institusi pengajian awam mahupun lokasi tertentu seperti hentian awam, namun bagaimana pula dengan kemudahan di dalam bangunan.

“Sehubungan itu, usaha perlu dipergiatkan bagi mewujudkan lebih banyak persekitaran yang bersifat bebas halangan demi mempertingkatkan mobiliti OKU.

“Adanya persekitaran mesra alam dan bebas halangan juga mampu membantu proses mengintegrasikan golongan OKU di negara ini supaya mereka boleh hidup berdikari tanpa perlu pergantungan kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, isu ini bukan tanggungjawab satu pihak saja kerana ia memerlukan gabungan badan tertentu untuk memahami keperluan dan kepentingan OKU supaya apa yang dilaksanakan berupaya memberi manfaat kepada OKU dalam pelbagai aspek.

“Isu aksesibiliti kelompok OKU kepada bangunan dan kemudahan awam, bukan hanya perlu diletakkan pada satu pihak saja, sebaliknya ia membabitkan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan, badan profesional serta masyarakat keseluruhannya.

“Oleh itu, kerjasama bersepadu merentasi pelbagai Kementerian dan agensi adalah perlu dalam usaha mempertingkatkan aksesibiliti OKU kepada kemudahan awam,” katanya.

Heng berkata, tidak kira apa kedudukan individu dalam masyarakat, sebagai rakyat Malaysia, mereka berhak menikmati sebarang kemudahan yang disediakan kerajaan walau di mana saja kerana kerajaan juga memerlukan sokongan rakyat untuk diiktiraf sebagai sebuah negara maju.

“Seiring dengan visi negara mencapai status negara maju, menjelang 2020, penyediaan infrastruktur di negara ini seharusnya juga bertaraf kelas pertama yang mana dapat diakses dan dimanfaat oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira batasan usia dan keupayaan supaya dapat menyokong pembangunan negara.

“Laporan Dunia mengenai Disability yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia, baru-baru ini menganggarkan 15 peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara adalah adalah OKU,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, golongan OKU bukanlah golongan minoriti dalam sesebuah negara dan langkah sewajarnya perlu diambil untuk meletakkan OKU dalam arus perdana, mengetengahkan mereka dalam perancangan dan pembangunan negara supaya potensi mereka dapat dioptimumkan dengan sepenuhnya.

“Dalam usaha meningkatkan penyertaan yang efektif oleh golongan OKU dalam masyarakat, banyak inisiatif dilaksanakan pihak kerajaan antaranya penggubalan Akta OKU 2008 serta Dasar dan Pelan Tindakan OKU yang diluluskan Kerajaan pada November 2007.

“Satu lagi penanda ukur mengenai komitmen kerajaan melindungi kepentingan dan hak golongan OKU adalah apabila negara Malaysia menjadi Negara Pihak (State Party) kepada Konvensyen Mengenai Hak OKU pada 19 Julai 2010,” katanya.

Sebagai Negara Pihak, adalah menjadi obligasi negara untuk mengambil langkah yang sewajarnya dalam memastikan OKU mendapat akses yang saksama kepada persekitaran fizikal, termasuk bangunan dan kemudahan awam.

Selain itu, konsep kemudahan untuk OKU tidak hanya perlu ditumpukan kepada pembangunan kemudahan awam saja, tapi perlu diperincikan lagi seperti apakah akses untuk OKU membabitkan cacat pendengaran kerana keperluan mereka mungkin sedikit berbeza dengan OKU yang membabitkan keupayaan fizikal.

Antara pembentang undangan pada seminar berkenaan, Mohamad Sazali Sha’ari, berkata PBT perlu menyeluruh dalam melaksanakan kemudahan awam kerana OKU boleh dibahagikan kepada beberapa jenis berdasarkan kekurangan keupayaan yang dimiliki.

“Bagi OKU membabitkan pekak dan bisu, apa akan terjadi sekiranya mereka berada di dalam bangunan dan bangunan berkenaan mengalami bencana seperti terbakar atau kerosakan. Kami tidak dapat mendengar dan tidak mempunyai suara.

“Jadi apakah yang boleh kami lakukan sekiranya ingin meminta tolong atau ingin memberitahu orang lain mengenai bencana yang dialami. Mungkin sulit keadaan itu jika tiada siapa berdekatan yang melihat kami dan kami juga tiada akses kepada mereka” katanya melalui jurubahasa.

Sazali turut menyarankan di dalam bangunan ada disediakan butang kecemasan khusus sama ada di kawasan tertentu seperti lif untuk kemudahan OKU membabitkan kehilangan pendengaran supaya jika berlaku sebarang bencana, mereka tahu bagaimana untuk bertindak atau meminta sebarang bantuan.

Selaras dengan pembangunan menyeluruh yang dirangka kerajaan, mungkin PBT yang terbabit perlu duduk dan berbincang secara terperinci untuk menilai semula sejauh manakah penyediaan kemudahan awam kepada OKU di negara ini benar-benar dimanfaatkan.

Penyelarasan juga perlu pada semua bangunan supaya OKU tidak menghadapi masalah apabila satu standard khas perlu dilaksanakan supaya apa yang dilakukan tidak membazir dan dapat digunakan sepenuhnya golongan OKU.

No comments:

Post a Comment