Saturday, March 31, 2012

Didik OKU berdikari

Didik OKU berdikari

BENTONG - Ibu bapa yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) disaran tidak terlalu memanjakan anak mereka hingga tidak mampu berdikari.

Pegawai Kebajikan Ma­syarakat Bentong, Shahrulnizam Abdul Aziz berkata, OKU perlu diberi peluang dan ruang untuk belajar berdikari seperti melakukan kerja rumah yang ringan.

Menurutnya, ia secara tidak langsung dapat menguatkan fizikal dan mental mereka.

“Sebagai contoh apabila anak-anak dihantar ke Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK), mereka menjalani pelbagai aktiviti yang merangsang fizikal dan mental mereka.

“Ia perlu diteruskan di rumah di mana ibu bapa boleh mengajar anak mereka menguruskan diri sendiri dan menjalankan kerja rumah yang ringan seperti melipat baju, menyapu sampah dan sebagainya,” katanya.

Shahrulnizam berkata, sikap memanjakan anak dengan tidak membenarkan mereka melakukan kerja rumah yang mudah perlu diubah.

Katanya, sebaliknya anak OKU perlu dididik berdikari supaya mampu menguruskan diri sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

“Sekurang-kurangnya ibu bapa tidak perlu lagi bimbang kerana anak OKU mereka sudah mampu menguruskan diri walaupun tidak sebaik individu normal.

“Dalam masa sama, OKU juga dapat membuktikan keupayaan dan kemampuan mereka,” katanya.


Sumber: NORFARAHAH OTHMAN


No comments:

Post a Comment