Monday, March 26, 2012

Ibu buntu gelagat si kecil di sekolah, rumah




Masalah yang turut dihadapi oleh ibubapa anak2 autisma sehingga mampu mengugat tahap kesabaran yang ada.

Soalan

Dr Mastura,SAYA mempunyai seorang anak lelaki tunggal berusia lima tahun. Anak saya nakal, sensitif, memberontak, mengeluarkan perkataan yang tidak sedap didengar, tidak mendengar kata. Dari segi pembelajaran pula agak sederhana (baru dua bulan masuk tadika) dan kerap berkhayal. Masalah itu menjadikan orang di sekelilingnya termasuk saya hilang sabar. Saya berasakan dia agak kurang kasih sayang bapa kerana dalam kedudukan keluarga yang tidak sempurna. Di rumah, anggota keluarga melabelkannya anak tidak elok dan itu amat menyedihkan saya kerana saya sendiri tidak suka mengeluarkan perkataan bukan-bukan. Pelbagai ikhtiar saya usahakan termasuk berdoa, beri air penerang hati, air zam-zam dan bertawakal kepada Allah supaya dia menjadi anak yang baik. Apa lagi harus saya lakukan?

Jawapan:

MEMBIMBING anak di peringkat awal usia ialah membentuk keperibadian mulia, cari pendekatan sesuai bagaimana dia boleh belajar untuk mengawal dan mendisiplinkan diri.
Kanak-kanak tidak tahu bagaimana mengawal dorongan perasaannya dan bagaimana untuk memastikan tingkah laku yang ‘dipilihnya’ diterima semua. Kebolehan mengawal dan mendisiplinkan diri adalah satu kemahiran perlu dipupuk dan dipelajari.

Kanak-kanak akan belajar mengawal emosi dan tingkah lakunya bila ibu bapa, pendidik atau orang dewasa yang dekat dengannya berusaha mewujudkan persekitaran yang tenang, selamat dan dapat mententeramkan jiwanya. Persekitaran itu perlu mempamerkan contoh teladan yang baik untuk diikuti dan nilai murni dipraktikkan melalui tutur kata dan perlakuan harian.

Sebagai contoh, jika bapa menjerit menyuruh si kecil melakukan sesuatu, kanak-kanak akan mempelajari cara meminta bantuan dengan seseorang ialah dengan menjerit! Begitu juga jika dia dipukul kerana memukul, dia akan mempelajari cara melepaskan geram ialah dengan memukul.

Begitu juga bila Puan katakan dia sering mengeluarkan perkataan yang tak sedap didengar. Persoalannya dari mana dia belajar perkataan itu? Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci dan bersih dari segala noda. Mereka belajar bercakap dari apa yang didengari. Pada mulanya dia akan meniru sebutan perkataan itu sebab itu adalah cara utama kanak-kanak belajar bercakap. Jika dia sering mendengar orang menyebut perkataan itu, lama kelamaan dia akan mengulang ‘perkataan baru’ yang dipelajarinya itu walaupun tidak faham apa maksudnya. Pembentukan konsep kendiri dalam diri anak dipengaruhi oleh “cermin“ yang dipegang oleh orang yang memberi makna dalam hidupnya.

Dalam hal ini, saya teringat kata-kata Ibn Khaldun, “The father of sociology”, seorang tokoh ilmuan Islam yang unggul dalam sejarah ketamadunan manusia. Beliau menyebut di dalam bukunya Al-Muqaddimah: “Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan buruk kepada orang yang dididik lebih-lebih lagi kanak-kanak. Barang siapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka akan sempit pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat…”

Mengenai dia selalu berkhayal dalam kelas, cuba puan tanya gurunya, bila dia suka berkhayal? Adakah sepanjang masa dia dalam kelas tadika atau ketika dia melakukan sesuatu aktiviti tertentu atau terpaksa ‘duduk diam untuk belajar’? Proses pembelajaran bagi kanak-kanak memerlukannya memerhati, memanipulasi, meneroka, mencuba dan mengalaminya sendiri dalam keadaan dia aktif bergerak kerana kanak-kanak secara semula jadinya kurang daya tumpuan. Daya tumpuan ini akan bertambah dengan peningkatan usia dan jika dia turut dibabitkan dengan aktiviti yang dapat menarik minat dan perhatiannya.


INFO:

Teknik bantu memupuk konsep kendiri yang positif dan berkeupayaan mengawal dirinya:

Beri banyak peluang membuat pilihan perkara sesuai dengan umurnya dan kita perlu bersedia menghormati pilihan dibuatnya sebagai contoh : “Kamu suka baju yang merah atau nak pakai baju biru?”, “Kamu suka tak kalau kita main di belakang rumah?”, “Kamu nak duduk di kerusi yang mana?”

Suatu yang penting kanak-kanak merasai kesan atau akibat pilihan yang dibuatnya bagi membentuknya menjadi insan bertanggungjawab. Sebagai contoh: “Sebab tadi kamu pilih nak main di luar, kasut yang kotor tu kena basuhlah”

Tingkatkan keyakinan dirinya yang dia cekap dan boleh dipercayai dengan beri peluang melaksanakan tanggungjawab seperti menyiram pokok setiap pagi, memberi makan binatang peliharaan dan sebagainya.

Sediakan peralatan, bahan atau permainan yang membolehkannya membuat perancangan dan melaksanakan tugasan hingga berjaya.

Jadikan diri puan sebagai model dan tunjukkan kepadanya cara bersesuaian untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan cara menangani sesuatu perasaan dialami

Berikan sebab dan batas pada setiap peraturan ditetapkan.

Bantu membuat kaitkan atau memahami hubungan antara tingkah lakunya dengan hasil/kesan dari perbuatannya.

Berbincang dengan ahli keluarga agar membataskan tayangan/tontonan cerita-cerita ganas di media elektronik

‘Bincang’ dengan anak beberapa strategi dalam membantunya membuat sesuatu pilihan dalam keadaan dia tahu atau faham apa dilakukannya

Jangan sesekali membandingkan diri anak puan dengan anak orang lain kerana setiap individu anak adalah unik.

Sumber:
Bersama Dr Mastura Badzis
bhnita@bharian.com.my

No comments:

Post a Comment