Wednesday, March 28, 2012

"Anak Istimewa"



Saya tertarik dengan Solusi isu 40 pada artikel bertajuk "Anak Istimewa".

Segala yang dikatakan benar dan saya terpanggil untak mencadangkan Solusi menjadikan anak istimewa sebagai isu utama untuk keluaran bulanan kerana saya merasakan anak istimewa ini bukan sahaja tanggungjawab ibubapa mereka sahaja tetapi juga menjadi tanggungjawab kita bersama.

Anak istimewa ini terbahagi kepada beberapa kategori seperti kurang pendengaran, penglihatan, pembelajaran,fizikal,mental dan emosi. Walaupun ramai yang melihat kekurangan mereka, namun jika diamati istimewanya anak ini, maka kita akan lihat betapa indahnya ciptaan Allah yang Maha Agung yang ada pada mereka.
Anak-anak didik saya, tidak pernah merungut atau membezakan diri mereka daripada kawan-kawan mereka. Jika mereka boleh berjalan, mereka akan membantu rakan yang tidak boleh berjalan. Jika mereka boleh menyuap makanan sendiri, mereka juga tidak akan ragu-ragu untuk menyuap rakan-rakan mereka yang tidak berupaya berbuat demikian.Malah ada dari kalangan mereka yang sanggup membantu hingga ke tandas.

Mereka tidak pernah mengumpat, tidak pernah melihat kekurangan orang lain , tidak pernah berasa kurang atau bersedih dengan segala yang dianugerahkan Allah. Persekitaran sekolah bersih tanpa sampah, meja-meja tiada kesan contengan, barang-barang hampir tidak pernah hilang. Mereka amanah dan bertanggungjawab mengikut kemampuan mereka.

Namun yang menyebabkan meraka berasa kecewa dan marah, hanya kerana persekitaran yang tidak membolehkan mereka memperoleh hak yang sama seperti orang lain. Kita sebenarnya yang mengajar mereka tentang perasaan tidak cukup ini! Lihat kepada anak-anak yang masih kecil ini. Suci benar hati mereka. Jujur dan tulus. Menangis apabila diberi sedikit kerja rumah atau jika tidak dapat menyiapkan kerja rumah. Apabila ditanya mengapa, dengan jujur mereka menjawab :"saya tidak boleh buat sendir. Saya kena tunggu emak datang menolong."
Ada seorang pelajar di mana emaknya baru menjalani pembedahan. Segala tugasan kerja rumahnya dibuat sendiri dengan sungguh-sungguh agar tulisannya tidak perlu dipadamkan lagi oleh ibunya.

Apabila mereka diajar tentang perkara yang baik, mereka ikuti dengan bersungguh-sungguh. Seperti tingkah laku anak down syndrom yang tekun menyusun setiap kasut di rumah kenduri yang dihadirinya. Pernah di perhimpunan sekolah, tatkala guru sedang memberi ucapa, tiba-tiba seorang kanak-kanak autistik berdiri di tengah-tengah. Ketika semua orang duduk, dia yang datang berlari-lari melulu ketengah kelompok. Dalam nafas yang termengah-mengah, dia mengangkat tangan. Semua mata memandang. Dia berkata pada cikgu di hadapan ""Minta maaf cikgu, saya datang lambat ".

Semua pelajar ketawa. Guru-guru pun turut ketawa.Ya, memang mudah untuk mentertawakan mereka, namun berapa jujurnya hati anak ini meminta maaf yang mana mungkin telah dipesan oleh ibu atau ayahnya agar dia meminta maaf jika lambat.

Segala ajaran yang baik, mereka patuhi. Jika ibu dan ayah mendidik berlandaskan Islam, mereka akan pegang ajaran ini dengan teguh kerana bagi mereka tidak ada kata dua.
Saya ingin Solusi bongkarkan cara kita sebagai umat Islam untuk membantu ibu bapa sekiranya mereka mempunyai anak seperti ini. Ini adalah amanah dan anugerah indah daripada Allah dan mereka telah dipilih untuk menjaga amanah ini.

Ibu bapa seperti ini memerlukan sokongan kewangan, perubatan, pendidikan, agama dan keyakinan yang mantap bahawa anak ini hak Allah dan hanya Allah jua yang menentukan masa depan mereka.

No comments:

Post a Comment