Thursday, March 29, 2012

Salah tanggapan terhadap institusi pendidikan khas

Jangan salah anggap

BATU PAHAT – Salah tanggapan segelintir ibu bapa terhadap institusi pendidikan khas menyebabkan ada dalam kalangan mereka tidak menghantar anak orang kurang upaya (OKU) ke institusi tersebut sekali gus dikhuatiri menjejaskan potensi golongan terbabit sebagai modal insan berguna kepada negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, akibat persepsi yang salah itu, agak ramai ibu bapa tidak menghantar anak OKU mereka ke institusi pendidikan khas yang disediakan.

“Misalnya, masih ada ibu bapa yang bukan sahaja tidak menghantar anak mereka ke sekolah sistem pendidikan khas, bahkan tidak juga menghantar anak itu ke Pusat Dalam Komuniti (PDK) berdekatan rumah kerana menganggap ia hanya untuk orang Melayu sedangkan kemudahan itu untuk semua.

“Ini satu kerugian kepada negara kerana golongan OKU sebenarnya mempunyai kemampuan setanding malah ada yang melebihi orang biasa. Sebab itu istilah kurang upaya sudah ditukar jadi kelainan upaya,” katanya selepas merasmikan Majlis Konsolidasi Transformasi Pendidikan Vokasional di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, semalam.

Hadir sama Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, Profesor Madya Dr Ahmad Tarmizi Abdul Karim; Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Ahmad Tajudin Jab dan Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Md Hasidin Zaini.

Mohd Puad berkata, ibu bapa yang mempunyai anak OKU tidak tegar turut digalakkan menghantar anak mereka ke sekolah pendidikan khas integrasi yang membolehkan mereka belajar di dalam kelas bersama pelajar normal yang lain.

“Dengan cara ini, mereka dapat bersaing bersama pelajar-pelajar normal dan membolehkan potensi sebenar mereka didedahkan.

“Ini juga memberi cabaran baru kepada guru-guru untuk mendidik dan mencungkil potensi mereka yang ada di antaranya melebihi pelajar-pelajar biasa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan terutamanya daripada segi menjadikan persekitaran dan kelengkapan sekolah lebih mesra OKU dan menambahkan jumlah guru terlatih untuk mendidik golongan tersebut.

No comments:

Post a Comment