Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3
Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya.
Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta
meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah
bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam
serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim
Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta
dividen atau bonus yang diterima adalah harus.
Keterangan/Hujah:
1.
Hifz al-mal merupakan
salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi
perhatian serius oleh pemerintah. Soal kekukuhan ekonomi umat adalah merupakan
salah satu faktor penting kepada penerusan kemajuan umat Islam. Islam menegah
umatnya menjerumuskan diri dalam kemudharatan dan kefakiran yang boleh
menggugat kekuatan ummah.
2.
Setiap hukum yang
diputuskan perlu memenuhi tuntutan keadilan, maslahah dan menghindar daripada
kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar. Dalam hal ini, Maybank adalah satu
institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik. Sekiranya PNB melepaskan
pegangan dalam Maybank, ia bukan hanya akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham
yang majoriti adalah orang Melayu Islam, bahkan ia juga akan memberi kesan besar
kepada situasi ekonomi negara dan banyak organisasi berkaitan orang Islam.
Begitu juga peluang pekerjaan yang melibatkan 16,531 kakitangan Bumiputera
Islam juga akan turut terjejas
3.
Dalam menentukan hujah
keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat hujah
bersandarkan maslahah ummah ditafsirkan sebagai mengenepikan prinsip-prinsip
Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam
penentuan sesuatu hukum.
4.
Prinsip pensyariatan
Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima(5) perkara iaitu
agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan
kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam. Sekiranya terjejas
salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang
akan menjejaskan agama dan kehidupan. Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan
ASN dan ASB tidak boleh dilihat dari aspek tertentu sahaja, tetapi perlu
mengambilkira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama dan umat Islam.
5.
Dalam isu pelaburan yang
bercampur antara halal dan haram, telah jelas bahawa PNB tidak melabur dalam
sektor yang berkaitan dengan arak dan judi. Percampuran hanya berlaku dalam
sektor kewangan di mana 70% pelaburan menepati syariah, hanya 30% sahaja
pelaburan dalam Maybank yang dianggap masih tidak comply dengan syariah. Dalam
keadaan ini, pelaburan dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang
haram. Menurut sebahagian besar fuqaha’ iaitu Hanafi, Maliki, Shafi‘i dan
Hanbali, pendekatan untuk mengharuskan masyarakat Islam melabur dalam saham
syarikat yang bercampur aktiviti halal dan haram adalah berasas. Ini kerana
fuqaha’ muktabar tidak mengharamkan syarikat sedemikian ketika menilai status
syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam.
6.
PNB telah melaksanakan
perubahan yang terbaik khususnya dalam aspek pelaburan bagi membolehkan
penguasaan umat Islam. Dalam hal ini, maslahah umat Islam adalah penting dan
kemudharatan yang lebih besar perlu dielakkan.
Keputusan Fatwa Kebangsaan
lain berkaitan: Sila layari http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/pelaburan-dalam-asn-asb-dan-seumpamanya
Ulasan seperti tertera dalam laman (Klik) berikut http://www.zaharuddin.net.
No comments:
Post a Comment