Friday, December 27, 2013

Karya seni remaja autistik


Amir Faisal memberi penerangan pada Marc Mullie dan isteri mengenai arca yang dibuatnya.

Amir Faisal Agil, 18, yang bersekolah di Sekolah Menengah Wangsa Maju dalam kelas pendidikan khas, menunjukkan minat dalam pembuatan arca berbentuk seperti robot,makhluk asing, binatang, dinasor dan makhluk-makhluk pelik.

Sejak kecil lagi, dia memang bermain dengan blok-blok lego yang dicantum satu demi satu bagi membentuk pelbagai objek.

Kemudian minatnya berubah kepada membentuk makhluk-makhluk pelik dengan menggunakan tanah liat.

Melihat kepada kecenderungannya itu, sejak dua tahun lalu ibunya, Zaiton Mohd Yatim, telah mendaftarkan Amir Faisal ke kelas seramik, Clay Expressions di bawah bimbingan guru serami berbakat, Cindy Koh.
Menurut Zaiton, Amir Faisal yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dikesan menghadapi language pragmatic disorder selepas dia masih tidak dapat bercakap walaupun umurnya telah memasuki tiga tahun.

"Amir Faisal suka berenang, menonton permainan video aksyen dan membuat pelbagai bentuk pelik daripada lego. Paling penting dia suka membaca buku walaupun sebelum dia tahu bercakap.

"Sejak menyertai kelas seramik ini, ideanya semakin banyak dapat dicurahkan dan dapat dilihat pada arca-arca yang dibuatnya.

"Dia nampak seronok sangat kerana arca tersebut memang nampak cantik, unik dan dibuat sendiri olehnya. Ini merupakan pameran pertamanya dan sebagai percubaan serta melihat kepada penerimaan orang ramai.

"Mungkin pada masa akan datang, pihak kami akan cuba membawa pameran arca ini ke galeri pula jika ada pihak yang mahu menaja," kata Zaiton yang ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, Nadiah Suraya Mohamad Zackir Rakesh, 14, yang menghadapi masalah komunikasi sehala, menghasilkan objek-objek berbentuk kepala anak patung yang juga nampak unik dan mudah menarik perhatian orang.

Dia yang berminat dengan seni tanah liat dan lukisan sejak berumur 10 tahun, kini belajar di Sunflower Therapy yang terletak di Taman Melawati, Ulu Klang, Selangor.

Aktivitinya setiap hari ialah melukis pelbagai objek termasuk apa yang dialami dalam fasa kehidupannya.

Setakat ini dia telah mengambil bahagian dalam empat pameran seni, iaitu - What a Child sees in Art pada 2009, Emerging the Unknown pada 2011, Pieces of Joy’ pada tahun 2012 dan Colours of Joy pada tahun lalu.

Bagi mengasah minatnya dalam seni seramik dan tanah liat, Nadiah Suraya telah mengikuti kelas tanah liat anjuran Cindy dan ini merupakan pamerannya yang pertama.

Nyata dia nampak begitu teruja sekali walaupun sesekali menunjukkan emosi kerana persekitaran yang kurang selesa.

Sementara itu Sasha Lee Pau Yu, 13, yang merupakan anak bongsu kepada pasangan Dennis Lee dan Jennifer E. Peters, mengikuti program sekolah di rumah yang memfokus pada perkembangan akademik dan meningkatkan kemahiran berdikari.

Menurut ibunya, bakat Sasha dalam membentuk tanah liat dapat dilihat pada objek yang dibuatnya yang berbentuk seperti bekas bunga tinggi yang dibuat dengan banyak lapisan tanah liat.

Mengikuti kelas tanah liat sejak tahun 2010, Sasha juga turut berminat membuat kek dan ingin menjadi chef.
Sasha juga mempunyai minat yang mendalam dalam bidang muzik terutamanya bermain dram.

Dalam pada itu, sebagai guru seni seramik dan tanah liat, Cindy, yang mempunyai studio di Subang Jaya, melihat bakat ketiga-tiga remaja istimewa amat luar biasa.

"Sejak dari awal lagi mereka memang berbakat dan saya hanya bertindak sebagai pembimbing sahaja.

"Saya tidak mahu mereka membuat objek yang stereotaip sebaliknya menggalakkan mereka menghasilkan sesuatu yang lahir daripada idea mereka sendiri.

"Mengajar kanak-kanak istimewa memang mencabar kerana pendekatan mereka berbeza dan kita harus pandai menarik perhatian mereka. Saya hanya mengajar teknik dan yang lain, mereka lakukan sendiri.

"Tujuan diadakan pameran sehari ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada mereka bagaimana pengalaman menyertai sebuah pameran supaya mereka lebih berminat untuk menghasilkan lebih banyak hasil seni pada masa hadapan. Semua yang dapat anda lihat hari ini adalah kreativiti mereka sendiri.

"Kami sengaja memilih tempat terbuka ini dan tidak dikenakan bayaran," kata Cindy yang kelasnya disertai oleh semua peringkat umur daripada yang kecil hingga warga emas. – MERAN ABU BAKAR


Sumber: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment