Wednesday, December 18, 2013

PMR: Calon OKU catat kejutan

Foto
80 orang pelajar SMK Perempuan St George, Pulau Pinang mendapat 8A dalam keputusan PMR .

14 calon keperluan khas raih keputusan cemerlang dalam PMR, pencapaian ini membuktikan bahawa kekurangan tak jadi halangan.

Ini bukan keputusan PMR 2013 tapi PMR 2012. Untuk renungan rakan2 yang mempunyai anak2 istimewa bahawa anak2 istimewa ini juga mampu mencapai keputusan yang cemerlang dalam PMR 2013.  Amat diharapkan anak2 istimewa yang menduduki PMR 2013 turut  mencipta sejarah tersendiri.

Kuala Lumpur: Empat belas calon keperluan khas mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 yang diumumkan semalam.

Antara mereka ialah pasangan kembar, Ainul Yaqin Lokman dan Ainul Asyraf, yang menderita akibat Thalasemia. 
Pasangan itu bukan saja meraih keputusan 9A, malah turut dinobat pelajar terbaik SMK Dato Syed Ahmad di Kuala Nerang, Kedah. 
Mereka menghidap Thalasemia sejak kecil kerana ibu bapa mereka adalah pembawa penyakit itu.

Di Kota Bharu, keadaan lumpuh dari pinggang hingga ke kaki sejak berumur setahun tidak menghalang Anis Adilah Amlaki, pelajar SMK Zainab I memperoleh 7A dan 1E.

Kesusahan berbaloi

Dia mendapat E dalam subjek Kemahiran Hidup (Perdagangan) kerana gagal mengambil kerja khusus atas faktor kesihatan. 

“Kesusahan ibu bapa yang terpaksa mendukung saya setiap hari ke sekolah akhirnya berbaloi,” katanya yang menggunakan kerusi roda di sekolah.

Ketua Penolong Kanan (Pentadbir) sekolahnya, Wan Marina Wan Omar, berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan Kementerian Pelajaran mengenai status pelajar itu kerana Anis Adilah sepatutnya dikecualikan daripada menduduki kerja khusus bagi pelajar OKU.

Terima anugerah khas

Di Johor Bahru, Khairunnisaq Khairuddin dari SMK Bandar Mas, Kota Tinggi, yang mengalami penyakit genetik otot saraf (SMA) menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Calon Berkeperluan Khas (CBK) bagi kategori calon berkeperluan khas (fizikal).

Khairunnisaq yang menghidap SMA sejak lahir dan terpaksa berkerusi roda akibat lemah anggota badan mencatat keputusan 8A.

Teh Yong Shing, 17, pelajar cacat penglihatan dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak di sini, adalah calon tunggal daripada 23 calon sekolah itu yang mendapat A dalam semua mata pelajaran.

“Pagi tadi (semalam), cikgu telefon dan saya agak terkejut. Tapi saya tidak boleh ke Kuala Lumpur untuk mengambil keputusan kerana ayah bekerja,” katanya yang tinggal di Seremban. 

Di Georgetown, Chew Sui Teng, 15, yang juga pelajar cacat penglihatan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan St George mendapat 6A 1B.

Dua lagi calon keperluan khas (CBK) di Pulau Pinang iaitu Neoh Xin Ee dari Sekolah St George dan Khor Wei Quan yang rabun, masing-masing memperoleh 7A dan 7A 1B.

Di Kuala Terengganu, Alia Syuhada Aziz, pelajar yang cacat pendengaran sejak lahir dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mizan mencapai keputusan 8A.

Di Besut, pelajar cacat fizikal Nurfarah Hanim Mohamad dari SMK Tengku Mahmud memperoleh keputusan 7A 1B. Nurfarah yang cacat kedua belah kaki akibat kereputan tulang, didukung ke sekolah sejak Tahun 1.

Di Ipoh, Oui Yuen Shie, yang terpaksa menggunakan kanta khas untuk membaca turut memperoleh A bagi semua mata pelajaran.

No comments:

Post a Comment