Sunday, December 22, 2013

Ilmu perlu didik anak autisma


Coretan pengalaman sebuah keluarga ...IBUBAPA PERLU BERILMU

Bila pertama kalinya saya berhadapan dengan realiti bahawa anak saya seorang insan autisme (tahun 2007), maka tertanya-tanyalah saya apa itu AUTISME?  Sejauh mana kepakaran pihak hospital untuk mengesahkan anak saya bermasalah autisme? Bagi saya, Syahmi tiada yang kurangnya. Hanya lambat bercakap, sedangkan menurut kata Opah 'pakar' rujuk  kami di kampung katanya.... masalah biasa jer.. anak orang lain pun ramai yang macam tu. 

Opah di kampung pun ada bidang yang menjadi kepakarannya!


Oleh itu,  ilmu amat penting bagi kita. Kalau tidak berilmu bagaimana kita hendak mengetahui tentang Autisme? Kalau tidak dengan ilmu, bagaimana pula kita hendak menerima ketentuan Ilahi ini dengan ikhlas? Kalau tidak berilmu juga, bagaimana hendak menangani cabaran mendidik anak jannah ini nanti? Bukan sehari dua, malah selagi hayat dikandung badan amanahNya perlu dipikul kerana kita ibubapanya. Jalan penyelesaiannya adalah melalui ilmu, ilmu dan ilmu......itu yang perlu kita cari. 

.
Jangan malu bertanya!

Dewasa ini, kita boleh mendapatkan maklumat dengan mudah melalui internet. Taip saja AUTISME/AUTISTIC/AUTISMA,  maka berderetlah  infomasi berkenaan topik berkaitan dapat dilayari. Memandangkan autisme merupakan perkara baru bagi kita di rantau ini, maka kuranglah infomasi yang diolah di dalam Bahasa Melayu. Kebanyakannya menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara. Bagi yang aktif di laman sosial Facebook - Autisme Malaysia  adalah antara jalan mudah untuk mendapatkan ilmu secara percuma menerusi  soal jawab di kalangan  ibubapa kepada anak autisme yang datangnya dari pelbagai latarbelakang.

Bahan bacaan pula, memang amat terhad. Kalau setakat kami nun jauh di Pantai Timur ni.....buku-buku yang berkaitan dengannya hampir tiada di pasaran.  Mungkin disebabkan kurangnya sambutan, maka janganlah disalahkan si empunya kedai buku. Kita sebagai ibubapa kena usaha lebih untuk memperbanyakkan ilmu. Sesiapa yang berkemampuan, bolehlah membuat pembelian  buku-buku berkaitan dengannya melalui pesanan di internet. Bagi mereka yang menetap di Kay Ell dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya, maka boleh juga menghadirkan diri ke kelas-kelas yang kerap dianjurkan oleh pihak yang prihatin seperti Fakulti Pendidikan UKM dalam usaha memberi pendidikan berkesan kepada ibubapa terhadap anak syurga masing-masing. Dari menghadiri 'mesyuarat tingkap', baik ke sana untuk mendapatkan ilmu!

Semasa sesi temujanji di hospital samada dengan Pakar Perunding Psychiatry, Speech Therapist dan sebagainya. maka ambillah peluang untuk mencedok sebanyak mungkin ilmu dari mereka yang berkepakaran. Kikiskan sikap malu bertanya kerana  mereka adalah pakar rujuk yang paling berpengetahuan dan berpengalaman mengendalikan kes-kes seumpamanya.

Sekiranya ilmu telah lengkap di dada, dengan tindakan yang bersepadu ....insyaAllah  kita akan berjaya mengatasi rintangan yang berliku dalam membesarkan insan istimewa ini. Sepanjang  pengalaman saya mempunyai anak istimewa, Syahmi.....sememangnya diakui bahawa sebagai ibubapanya kita kena 2X lebih bijak dari anak ini yang sarat dengan idea-idea di luar jangkaan kita...Jangan pandang rendah kepada insan istimewa ini ......Kita kena bersedia!





Pasti berjaya!

No comments:

Post a Comment