Mereka hanya cacat anggota, tetapi tahap kecemerlangan
mereka sama dengan pelajar lain yang menduduki peperiksaan Penilaian
Menengah Rendah (PMR) 2013, dan 11 calon berkeperluan khas (OKU) ini mendapat
gred A dalam semua mata pelajaran.
PMR-OKU 1: PAHANG
Di MARANG,
pelajar Sekolah Menengah Agama Marang, yang kudung tangan kanannya,
Nur Aimi Yasirah Mohamad Samsor berjaya memperoleh 9A dalam keputusan yang
diumumkan di seluruh negara hari ini.
Anak
kedua daripada sembilan beradik itu menghadiahkan kejayaannya itu kepada
bapanya yang bekerja sebagai mekanik dan ibunya yang merupakan guru kelas agama
Fardhu Ain (KAFA).
Pelajar
yang bercita-cita menjadi pensyarah ini sedikit pun tidak menjangka memperoleh
keputusan cemerlang itu kerana hanya memperoleh 3A pada peperiksaan percubaan
lepas.
"Saya
belajar sama seperti pelajar lain, mengulang kaji pelajaran, mengikuti kelas
tambahan yang dibuat dan memberi fokus pada subjek yang lemah serta paling penting
saya tidak putus berdoa, bersolat dan restu kedua-dua orang tua.
"Saya
tidak menganggap kecacatan ini sebagai halangan, kekuatan saya hanya terletak
di tangan kiri sahaja untuk melakukan semua jenis aktiviti dan sebab itulah
memberi saya semangat dan dorongan untuk berusaha lebih gigih setanding dengan
pelajar normal yang lain," katanya.
PMR-OKU
2: SELANGOR
Di
SHAH ALAM, Nur Aliyah Hafizah Hassan, pelajar SMK TTDI Jaya yang cacat tulang
belakang sejak lahir, muncul sebagai antara tiga calon berkeperluan khas yang
memperoleh A dalam semua mata pelajaran di Selangor.
Nur
Aliyah Hafizah yang mendapat 8A berkata dia tidak terlalu memikirkan kesakitan
yang dialami ketika menduduki peperiksaaan PMR itu.
"Guru
selalu menasihatkan saya untuk berehat (pada waktu tertentu) tetapi saya
tidak mahu meninggalkan kelas kerana khuatir keciciran ilmu," katanya.
Anak
bongsu dua beradik itu bercita-cita menjadi akauntan dan mahu melanjutkan
pelajaran dalam bidang ekonomi di London.
Ibunya
Balkish Mohd Othman, 45, berkata Nur Aliyah Hafizah yang mengalami kerosakan
buah pinggang kanan akibat kecacatan tulang belakang itu memang tidak
jemu menelaah pelajaran.
"Saya
sering menasihati Aliyah supaya tidak rendah diri dan menjadikan kekurangan
dirinya motivasi untuk berjaya," katanya.
PMR-OKU
3: JOHOR
DI
JOHOR BAHARU, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai, Pasir Gudang,
Seri Irdina Syahirah Nordin yang menghidap penyakit saraf menyebabkan
kaki dan tangannya bengkok turut berjaya meraih 8A.
Pelajar
yang diserang penyakit 'Charcot–Marie–Tooth' sejak berumur tiga tahun
itu berkata dia pernah diejek sebagai robot ketika menggunakan alat bantuan
jalan 'rollator' di sekolah.
"Jadi
kejayaan hari ini amat bermakna bagi saya atas usaha dan pengorbanan yang
dilakukan," katanya yang bercita-cita menjadi saintis dan berharap mampu mencipta
pelbagai alat bantuan bagi kemudahan orang kurang upaya (OKU).
Ibunya,
Siti Rahayu Mohammad, 45, turut terharu dengan kejayaan itu dan menyifatkan
anak ketiga daripada lima beradik itu sebagai seorang yang tabah kerana
tidak pernah merungut tentang hal persekolahan.
"Saya
memang jangka dia boleh dapat keputusan yang baik sebab dia dapat 4A dan
4B pada ujian percubaan. Dia mula menggunakan alat bantuan jalan sejak tiga tahun
lepas dan saya menghantarnya ke sekolah setiap hari," katanya.
PMR-OKU
4 KUALA LUMPUR
Bagi
Muhammad Ilyasa' Nordin pula untuk meraih 8A dalam peperiksaan itu, dia perlu
menggunakan kanta pembesar dan teropong akibat masalah rabun, tetapi pelajar
SMK Tengku Mahmud Iskandar, Ledang itu tidak pernah cuai menumpukan perkara
yang diajar di dalam kelas dan mengikuti kelas tuisyen.
"Saya
mengulang kaji pelajaran di rumah setiap hari tetapi tidak mempunyai jadual
khusus. Terima kasih kepada guru dan rakan-rakan yang banyak membantu sejak
saya mengalami masalah ini tiga tahun lepas," katanya yang bercita-cita menjadi
seorang doktor.
PMR-OKU 5: KELANTAN
Di
TUMPAT, pelajar
cacat penglihatan Muhammad Nur Hafiz Razali, berjaya memperoleh
5A.
Dia
buta mata kanan dan rabun mata kiri sejak dilahirkan dan turut menggunakan
kanta pembesar sewaktu belajar di SMK Kampung Laut.
"Antara
subjek yang susah untuk dipelajari adalah Kemahiran Hidup Teknikal kerana
ada beberapa projek yang perlu disiapkan seperti pertukangan, lukisan dan elektronik
yang memerlukan saya untuk menyiapkan papan litar namun guru dan rakan-rakan
banyak membantu," katanya yang bercita-cita menjadi pakar fizik.
PMR-OKU 6: SARAWAK
Di
KUCHING, dua
calon PMR Daryl Raphale, yang menghadapi masalah pendengaran dan
Watson Manda Edwin yang mengalami masalah penglihatan dinobatkan sebagai calon
berkeperluan khas terbaik Sarawak hari ini.
Daryl,
pelajar SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor, yanng menghadapi masalah
pendengaran
sejak lahir memperoleh 2A dan Watson Manda pelajar SMK Batu Lintang yang
menghadapi masalah penglihatan akibat glukoma, berjaya memperoleh 1A selain B dan
C.
Ibu
Watson Manda, Rabiah Ullis, 43, berkata demi membantu anaknya itu mencapai
keputusan yang baik dalam peperiksaan, beliau membeli alat khas bantuan belajar
dari Singapura.
PMR-OKU 7: PULAU PINANG
Di
GEORGE TOWN,
pelajar cacat penglihatan Nur Fasihah Ahmad Fazdil dari SMK
Perempuan St. George berjaya memperoleh 5A.
Nur
Fasihah merupakan antara tiga calon berkeperluan khas di Pulau Pinang yang
memperoleh keputusan cemerlang PMR tahun ini.
"Walaupun
tidak memperoleh semua A dalam lapan mata pelajaran yang diambil, keputusan
hari ini sudah cukup menggembirakan dan kejayaan ini adalah hadiah kepada
ibu bapa saya," katanya.
Bapa
Nur Fasihah, Ahmad Fadzil Abdul Rashid yang menemani anaknya mengambil keputusan
PMR itu berkata beliau begitu terharu dengan keputusan yang diperoleh anaknya.
"Saya
dan isteri yang juga seorang OKU tak dapat banyak membantu...pihak asrama
dan guru-guru yang bertanggungjawab atas kejayaan anak saya, terima kasih semua,"
katanya.
--
BERNAMA
No comments:
Post a Comment