Friday, October 12, 2012

Tentera mampu cipta sejarah


Melaka: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin tidak mempunyai sebarang keraguan bahawa skuad Tentera mampu mencipta sejarah dengan menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali, musim ini.

Apa yang penting baginya, skuad kendalian B Sathianathan itu perlu turun dengan semangat berserta iltizam yang tinggi untuk memenangi perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam, 20 Oktober ini.

Tentera meranapkan impian Lions XII mara ke final Piala Malaysia apabila mencatatkan kemenangan 5-4 menerusi sepakan penalti, malam kelmarin.


Dalam bola sepak, tiada yang mustahil

Pada perlawanan pertama di Singapura, kedua-dua pasukan terikat 1-1 dan selepas beraksi 120 minit, aksi timbal balik turut menyaksikan keputusan sama untuk agregat terikat 2-2 sekali gus pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

"Saya tidak mempunyai sebarang keraguan langsung terhadap semangat serta iltizam setiap pemain pasukan ini untuk menjuarai Piala Malaysia.

“Jadi, Sabtu depan mereka akan 'all-out' untuk mencipta sejarah," kata Zulkifeli selepas merasmikan majlis Perbarisan Tamat Kursus Pegawai Ikhtisas Kor Kesihatan Diraja di Kem Terendak, Sungai Udang, semalam.

Zulkifeli yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak ATM berkata, pasukan itu sudah mencipta sejarah dengan menjuarai Liga Perdana buat pertama kali pada musim ini sekali gus layak ke saingan Liga Super 2013.

"Kita juga mengulangi sejarah apabila layak ke final kali ketiga selepas melakukannya pada 1949 dan 1966.

"Bagi saya, dalam bola sepak, tiada yang mustahil dan apa yang pemain Tentera akan lakukan ialah turun dengan semangat juang tinggi serta beraksi habis-habisan untuk mencapai kemenangan," katanya.

Ditanya mengenai ganjaran jika Tentera menjuarai Piala Malaysia, Zulkifeli berkata: "Melalui pengamatan saya, soal ganjaran itu menjadi perkara kedua kerana pemain mempunyai keazaman tinggi untuk membawa pulang Piala Malaysia buat kali pertama ke pangkuan ATM."

Sumber: Bharian

No comments:

Post a Comment