Friday, October 5, 2012

Ketabahan ibu anak Autisma

Jenny tabah menjaga anaknya, Low Pei Yin yang bermasalah autisme.

HAIRAN dan rasa risau bersarang di hati How Sheng Boew, 53, apabila melihat anak kecilnya, Low Pei Yin tidak memperlihatkan sebarang reaksi ketika mereka berinteraksi biarpun ketika itu sudah mencecah usia tiga tahun.

Bimbang sesuatu terjadi pada anak perempuannya itu, wanita yang lebih mesra dengan panggilan Jenny itu membawanya ke hospital untuk mendapatkan kepastian.

"Anak saya pada ketika itu tidak boleh bercakap tetapi ada mengeluarkan perkataan dan bunyi yang saya sendiri tidak faham.

"Setelah diperiksa dan mendapat pengesahan daripada pihak hospital, doktor mengesahkan anak saya menghidap autisme," katanya.

Pada masa sama, Jenny juga mempunyai seorang anak lelaki, Low Sia Kiong yang mengalami masalah dalam pembelajaran (lembam) serta sukar bergaul dengan orang sekeliling.

Setelah mendapat nasihat daripada doktor pakar, keluarga dan kawan-kawan, Jenny telah menghantar kedua-dua anaknya ke sekolah pendidikan khas di Ampang, Selangor.

Waktu itu Pei Yin baru masuk usia empat tahun dan abangnya berusia tujuh tahun.

Berkat kesabaran wanita ini, Sia Kiong yang kini berusia 21 tahun, dapat menjalani kehidupan seperti orang lain.

Anak lelakinya itu kini sudah mampu bekerja dan dapat membantu serba sedikit dalam perbelanjaan rumah.

"Sia Kiong kini bekerja di salah sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur," tambahnya.

Melihat perkembangan anak lelakinya yang mampu berdikari sedikit sebanyak Jenny menarik nafas.

Namun hati seorang ibu tetap dilanda rasa rawan lebih-lebih lagi apabila mengenang masa depan Pei Yin, yang kini sudah berusia 18 tahun.

Sebagai remaja autisme, Pei Yin memerlukan penjagaan dan perhatian hampir sepanjang masa. Menurut Jenny, anak perempuannya bagai berada di dunianya sendiri dan masih tidak boleh mengurus diri sepenuhnya.

"Paling saya bimbang dia suka merayau dan keluar dari rumah, malah sudah tiga kali hilang termasuk baru-baru ini dia menaiki bas ke pusat bandar seorang diri dan tidak tahu jalan balik.

"Memang susah untuk menjaganya sepanjang masa sebab saya dan suami perlu keluar bekerja. Dulu masa Sia Kiong belum bekerja kami tinggalkan dia bersama abangnya itu," katanya.

Ada ketika, Jenny terpaksa mengurung anak gadisnya itu bagi mengelakkan dia merayau dan mengalami sebarang bahaya.

Katanya, bukan tidak kasihan atau bertujuan mendera tetapi itu saja cara terbaik sekiranya dia dan suami tiada di rumah.

"Suami saya kerja bawa teksi, jadi masanya banyak di luar bagi mencari mencari wang menampung kos menghantar anak-anak ke sekolah pendidikan khas," katanya yang turut menjadi sukarelawan di sekolah anaknya itu.

Jauh di sudut hati Jenny, dia mengharapkan agar ada pihak yang sudi membantu anak-anaknya bagi meringankan beban yang ditanggung.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment