Laporan media cetak dan elektronik pada 14 dan 15 Ogos 2012, dan beberapa ulasan dari pelbagai pihak sehubungan dengan kenyaataan saya di Makkah Al Mukaramah adalah dirujuk.
Hudud
Saya kekal dengan pandangan saya bahawa Karpal Singh bukan hanya sekadar anti hudud tetapi anti Islam.
Sebagai seorang peguam yang lama, dia tahu apa itu substantive law dan apa itu procedural law. Pelaksanaan hudud memerlukan kepada standard of proof yang cukup tinggi untuk boleh dilaksanakan, ada kesalahan yang memerlukan tahap pembuktian ke taraf 'beyond any shadow of doubt' iaitu tahaf pembuktian yang maksimum, sebelum boleh ia dilaksanakan tetapi dia menolak semua itu hanya kerana ia adalah undang undang Islam.
Berapa kali sudah dia mengungkapkan bahawa pelaksanaan sistem perundangan Islam 'is over my dead body' menunjukan dia sanggup mati untuk pertahankan pendiriannya, maka saya juga sanggup melakukan apa saja 'at whatever cost' untuk mempertahankan agama saya. Terpulanglah kepada mana pihak yang mungkin kerana percaturan politik akan mendiamkan diri seperti syaitan-syaitan bisu yang sering diungkap oleh pimpinan, insya-Allah saya tidak akan biarkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya menghina agama saya.
Pas harus lebih tegas menyatakan pendiriannya dalam hal ini kerana sokongan yang diberikan oleh masyarakat umum kepada Pas adalah kerana perjuangannya untuk menegakkan Syariah ALLAH SWT, namun dalam isu hudud yang diserang dan dikecam oleh Karpal Singh ini, masih ramai yang tertunggu apa sikap Pas terhadap Karpal Singh. Adakah tahaluf siyasi yang sedang diamalkan oleh Pas turut membolehkan kesepakatan dengan mereka yang menolak dan memerangi Islam. Harapan saya adalah apabila penjelasan dibuat oleh pimpinan tertinggi Pas kepada masyarakat umum, maka akan terjawablah kekaburan yang ada pada masyarakat umum. Pemimpin Pas mungkin sudah faham, ahli Pas juga mungkin sudah mengerti tetapi masyarakat umum masih menanti penjelasan. Pas tidak akan menang hanya dengan undi dari ahlinya sahaja.
Isu Pertemuan Di Makkah
Kepada mereka yang membuat andaian, tuduhan dan suu' dzan, nasihat saya adalah ittaqillah, ittaqillah, ittaqillah dan bersitghfarlah khasnya pada hari-hari terakhir Ramadan ini. Kasihan saya melihat mereka yang menghukum tanpa tahu hujung pangkal. Berbaik sangkalah sesama Muslim. Hampir sebulan sepanjang Ramadan ini, doa qunut yang dibacakan di hadapan Kaabah ketika solat witir, menyeru kepada merapatkan saf dan menyatupadukan orang orang Islam. Imam solat saban malam memohon dengan doa Ya ALLAH satukanlah suara umat Islam.
Saya telah mengaturkan pertemuan di Makkah antara beberapa orang ulama di Makkah bersama dengan YAB Perdana Menteri bersempena dengan persidangan OIC. Saya dijemput ke Makkah dengan visa khas selepas YAB Perdana Menteri bersetuju untuk bertemu dengan ulama-ulama tersebut. Perbincangan telah diadakan di sebuah villa kenalan bersebelahan dengan Masjidilharam. Yang dibincang antara lain adalah isu di Syria dan Rohingya. Para ulama tersebut menyebut tentang peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia. Perbincangan juga menyentuh beberapa kejayaan yang telah dicapai oleh Malaysia. Mereka juga telah meninggalkan beberapa pesanan kepada Perdana Menteri seperti memastikan Malaysia terus mengangkat pegangan ahli sunah wal jamaah dalam memelihara kesucian Islam.
Pertemuan itu sedikit pun tidak berbincang tentang Pas atau Umno sebab isu yang dibincangkan adalah jauh lebih besar dari Pas atau Umno. Kami berbincang tentang keadaan semasa ummah. Rasullullah menyebut, man lam yahtamma biamril muslimin falaisa minhum.
Adakah berbincang tentang ummah satu jenayah?
Tiba-tiba dikaitan dengan saya akan masuk Umno. Untuk kesekian kalinya saya sebutkan secara terbuka, saya tidak ada niat untuk masuk Umno, cuma saya menganggap semua yang mengucap kalimah syahadah sebagai saudara saya seiman termasuklah pemimpin dan ahli Umno, dan mereka yang bukan Islam sebagai saudara saya seinsan. Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya dijadikan sebab untuk kita tidak memikirkan maslahat ummah.
No comments:
Post a Comment