Demikian jelas menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam.
Beliau mengulas cadangan beberapa pihak agar diwujudkan skim bayaran pencen untuk atlet paralimpik yang berjaya memenangi pingat seperti yang diberikan kepada atlet elit normal.
Katanya, KBS juga akan mengekalkan jumlah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) untuk atlet paralimpik, yang bermakna atlet paralimipik Hasihin Sanawi, pemenang pingat perak acara memanah pada Sukan Paralimpik London akan menerima RM200,000 di bawah Shakam.
Ini kerana pemenang pingat emas Sukan Paralimpik ditetapkan menerima RM300,000 untuk pingat emas dan RM100,000 untuk gangsa di bawah Shakam.
"Saya akan melakukan perbincangan pada peringkat Kabinet bagi mengenal pasti bentuk imbuhan lain yang lebih sesuai bagi kebajikan atlet paralimpik," katanya kepada pemberita pada sambutan Aidilfitri kementerian itu di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Hasihin memenangi pingat perak selepas kalah kepada pencabar dari Itali, Oscar de Pellegrin pada pusingan penentuan setelah terikat kedudukan 5-5, perlawanan lima set peringkat akhir acara memanah recurve individu lelak i di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, London, Isnin lalu.
KBS, katanya, memberi elaun sara hidup kepada atlet paralimpik dan beberapa elaun tambahan lain bagi menjaga kebajikan mereka.
Ahmad Shabery berkata, jika dibandingkan dengan negara lain seperti Singapura dan Australia, Malaysia memberi elaun dan kemudahan yang lebih baik kepada atlet paralimpik.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pandelela Rinong Pamg membuat keputusan bijak untuk menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan kerana atlet renang negara itu boleh meneruskan latihan di bawah jurulatih kegemarannya tanpa mengabaikan aspek akademik.
Katanya, Pandelela memaklumkan kepadanya bahawa dia selesa berlatih bersama jurulatihnya, Yang Zhuliang dan tidak mahu ketinggalan dalam program pembangunan sukan terjun yang disusun Majlis Sukan Negara (MSN).
Ahmad Shabery berkata, mutu pendidikan yang ditawarkan IPT tempatan tidak kurang hebatnya, malah ramai pelajar dari luar negara menyambung pelajaran di negara ini.
"Malaysia adalah tempat terbaik untuk Pandelela berlatih dan juga untuk menyambung pelajaran," katanya.
Pemenang pingat gangsa bagi acara 10 meter platform wanita pada Sukan Olimpik London 2012 itu baru-baru ini mengambil keputusan menolak tawaran belajar di Australia.-KOSMO
Komen : Mengapakah dibezakan golongan OKU?
No comments:
Post a Comment