Sunday, September 2, 2012

Aduan Rakyat OKU



Orang kurang upaya turut mempunyai hak yang sama seperti insan lain.

Dalam erti kata lain - mereka juga sepatutnya menikmati segala keperluan.

Namun apa yang bakal dipaparkan Aduan Rakyat, hak golongan istimewa terbabit dalam menggunakan pengangkutan awam cuba dinafikan.

Yang dimaksudkan wartawan Loo Tung Seang dalam laporan Aduan Rakyatnya kali ini - perkhidmatan teksi di ibu negara.

ADNAN TAHA / GOLONGAN OKU
" Bila orang cacat tahan, orang buta tahan, tak nak berhenti . Apa masalah bagi orang teksi sekarang ? Perkara ini berlaku sejak selepas saya potong kaki tahun 2005 sampai ke hari ini. Boleh dapat tapi lambat, makan masa, kadang-kadang sampai 10 - 15 biji teksi, baru berhenti satu. Itu pun dah kena marah, baru dia ambil. Kalau dia tengok orang cacat dengan orang sihat, dia akan ambil orang sihat dulu. Orang cacat dia tak akan ambil. Patutkah orang teksi buat dekat saya macam ini ? Bukan setakat saya seorang, saya dah jumpa ramai orang-orang OKU yang macam saya yang pakai wheel chair".

Aduan Rakyat ke Jalan Tunku Abdul Rahman bagi mendapatkan pengesahan sejauh mana kebenaran dakwaan Adnan.

Melalui rakaman jarak jauh lensa kamera Aduan Rakyat, kelihatan Adnan yang menggunakan kerusi roda hanya mampu merenung teksi yang lalu di hadapannya.
Tanpa jemu - tangannya melambai-lambai namun tiada yang sudi berhenti mengambilnya sebagai penumpang.

Seorang pemandu teksi yang sempat ditemui menegaskan bahawa wanita mengandung, warga emas termasuklah golongan OKU harus diutamakan.

ABDUL GHANI ABDUL GAFFOR / PEMANDU TEKSI


"Dalam permit itu, kat belakang itu dia dah ada undang-undang dia, apa-apa dia punya kategori Lembah Klang punya teksi semua dah ada. Contoh macam OKU ini patutnya kita kena bagi dia 50% diskaun dan kita kena utamakan kepada dia orang dulu. Golongan dia orang dulu sebab dia orang oku".

Orang ramai turut berpendapat sikap segelintir pemandu teksi yang tidak mesra OKU adalah tidak wajar.

PAUZI CHE AHMAD / ORANG RAMAI

"Bukan semua. Hanya segelintir tapi yang segelintir inilah yang memburukkan pandangan orang ramai terutama OKU terhadap pemandu teksi".

ZULKEFLAY YAHMAT / ORANG RAMAI

"Anggapan teksi ingat orang OKU nak naik percuma, bukan semua orang -orang OKU itu mengambil kesempatan, segelintir yang saya tahu orang-orang OKU ini dia ada pendapatan".

LOO TUNG SEANG / WARTAWAN 

  "Persepsi atau keadaan tersebut yang berlaku mungkin disebabkan oleh kejahilan masyarakat tentang hak dan kepentingan golongan OKU. Oleh itu, luahan golongan OKU seharusnya disusuli dengan tindakan sewajarnya daripada pihak berkuasa bagi mengelakkan perkara seumpama ini berterusan. Penjelasan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, SPAD dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan cuba diperolehi dalam masa terdekat ini. Loo Tung Seang, Aduan Rakyat, TV3 ambil berat".


Sumber: http://www.tv3.com.my

No comments:

Post a Comment